Masalah hormon tidak stabil boleh mempengaruhi sistem fisiologi tubuh, aktiviti fizikal dan menjejaskan emosi. Ayuh ketahui punca hormon tidak stabil melalui pembacaan artikel ini.

Pengenalan

Hormon merupakan molekul atau sebatian kimia yang membawa isyarat tertentu melalui sistem peredaran tubuh kepada organ tertentu untuk mengawal atur fungsi fisiologi dan kelakuan.

Sistem endokrin merupakan tempat penghasilan hormon yang terdiri daripada kelenjar. Namun, hormon dilepaskan secara rembesan iaitu pelepasan secara sedikit demi sedikit untuk suatu tempoh.

Terdapat 3 jenis hormon yang dikelaskan mengikut struktur kimianya:

  1. Eikosanoid (asid lemak teroksida)
  2. Steroid
  3. Terbitan asid amino/protein

Komunikasi antara hormon dengan organ atau tisu adalah sangat penting bagi pengawal aturan dan aktiviti kelakuan seperti:

  • Pencernaan
  • Metabolisma
  • Pernafasan
  • Fungsi tisu
  • Penderiaan
  • Tidur
  • Perkumuhan
  • Laktasi (penghasilan susu ibu)
  • Perkembangan dan pertumbuhan
  • Pergerakan
  • Pembiakan
  • Manipulasi mood

Gangguan keseimbangan hormon akan mempengaruhi kecekapan sistem dan fungsi yang dinyatakan di atas. Hal ini sekali gus akan menjejaskan prestasi dan urusan seharian kita.

Punca Hormon Tidak Stabil

1. Pemakanan

Imej via Bidadari

Kajian penyelidik India pada tahun 2015 menemui kaitan antara diet makanan dengan hormon tidak stabil.

Mereka menemu bual 127 golongan wanita berusia 17 – 40 tahun mengenai corak diet dan kesan ke atas kitar haid dan pertumbuhan bulu pada wajah yang menjadi penanda ukur ketidakstabilan hormon.

Didapati, golongan yang tidak menjaga diet makanan yang seimbang merupakan golongan yang paling mengalami ketidakstabilan hormon (60.6%).

Diet makanan mereka merangkumi makanan ringan, jajan, pedas, buah, sayur dan semua jenis.

Manakala, golongan yang mendapat khasiat pemakan mencukupi melalui buah-buahan dan sayur-sayuran tidak menunjukkan simptom ketidakstabilan hormon bagi kedua-dua ukuran tersebut (0%).

2. Masalah Obesiti dan Kegemukan

Sementara itu, penemuan kajian Reis et al. pada tahun 2010 dari Brazil mengaitkan masalah obesiti dengan punca hormon tidak stabil, khususnya masalah mati pucuk dalam kalangan lelaki.

Menariknya, mereka membandingkan perubahan keadaan mati pucuk atau dikenali sebagai erectile dysfunction bagi mereka yang obes, sebelum dan selepas menjalani pembedahan gastric bypass  bagi mengurangkan berat badan.

Hasilnya, terdapat perubahan yang sangat ketara bagi kandungan hormon seperti testosteron, FSH dan prolaktin yang menunjukkan peningkatan bagi masalah mati pucuk.

Oleh itu, usaha mengubah gaya hidup untuk mencapai BMI normal boleh dilakukan sebagai salah satu usaha mencegah atau membaiki masalah mati pucuk.

3. Penyakit 3 Serangkai

Yang dimaksudkan dengan penyakit 3 serangkai ialah kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Hal ini disebabkan ketiga-tiga masalah tersebut saling berkaitan disebabkan perubahan komposisi dan fisiologi darah.

Kajian Reis et al. tadi turut ada menyelitkan ulasan mengenai risiko punca hormon tidak stabil bagi mereka yang mempunyai salah satu atau kesemua penyakit 3 serangkai tersebut.

Perubahan kandungan hormon secara keseluruhan disebabkan oleh persekitaran sistem tubuh dan fisiologi yang terganggu apabila tubuh badan kita berhadapan dengan masalah penyakit ini.

4. Minuman Beralkohol

Amalan minuman yang memabukkan kerana mengandungi alkohol sememangnya mempunyai larangan yang berhikmah oleh agama kita.

Menurut kajian sekumpulan penyelidik dari Itali pada tahun 1995, pengambilan alkohol telah menyebabkan penurunan mendadak hormon seksual bagi kedua-dua lelaki dan perempuan.

Malah, akibat daripada ketidakstabilan hormon ini, risiko untuk berlakunya pembentukan kanser hati adalah semakin tinggi, ditambah dengan pengambilan alkohol berterusan.

5. Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Khusus bagi golongan wanita, punca hormon tidak stabil berkemungkinan besar disebabkan oleh PCOS yang menjejaskan kualiti kesuburan untuk menimang cahaya mata.

Kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik di Ukraine pada tahun 2020 melaporkan pengaruh PCOS ke atas penurunan level hormon kesuburan seperti FSH, LH, estrogen dan progesteron.

Hasil kajian tersebut turut melaporkan faktor tambahan obesiti sebagai penyumbang kepada fenomena PCOS.

6. Kemurungan

Sebelum ini, terdapat fahaman bahawa ketidakstabilan hormon boleh menyebabkan kemurungan. Namun, penyelidik dari Belanda pada tahun 2007 melaporkan bahawa kemurungan juga boleh menyebabkan ketidakstabilan hormon.

Secara asasnya, tekanan perasaan melampau yang menyebabkan kemurungan dapat dilihat dengan kandungan hormon kortisol yang sangat tinggi dalam sistem tubuh.

Seterusnya, kortisol didapati mengganggu keseimbangan pada reseptor mineralocorticoid and glucocorticoid yang berperanan mengurangkan tahap tekanan. Hal ini seterusnya membuka lebih risiko cetusan masalah psikotik yang lain.

7. Kanser dan Rawatan Kanser

Pertumbuhan sel kanser dilaporkan menyumbang kepada punca hormon tidak stabil. Terutama, jika berlakunya kanser di kelenjar pituitari yang merupakan pusat utama penghasilan banyak hormon.

Selain itu, rawatan kanser dan ubatan seperti kemoterapi menyebabkan berlakunya ketidakstabilan hormon. Rawatan yang agresif demi membunuh sel kanser terpaksa berhadapan dengan kesan sampingan ketidakstabilan hormon.

Kesimpulan

Antara punca hormon tidak stabil ialah diet pemakanan, obesiti, penyakit 3 serangkai, minuman beralkohol, PCOS, kemurungan, kanser dan rawatan kanser.

Ketidakstabilan hormon ternyata menjejaskan sistem dan fungsi sebenar tubuh. Oleh itu, sama-samalah kita menjaga kesihatan diri dan sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat. Semoga bermanfaat! Jemput juga baca tentang tanda kemurungan , punca kemurungan kanak-kanak dan jenis kemurungan selepas bersalin

Rujukan

  1. De Kloet, E. R., DeRijk, R. H., & Meijer, O. C. (2007). Therapy insight: is there an imbalanced response of mineralocorticoid and glucocorticoid receptors in depression?. Nature clinical practice Endocrinology & metabolism3(2), 168-179. (link)
  2. Farinati, F., De Maria, N., Marafin, C., Fagiuoli, S., Della Libera, G., & Naccarato, R. (1995). Hepatocellular carcinoma in alcoholic cirrhosis: is sex hormone imbalance a pathogenetic factor?. European journal of gastroenterology & hepatology7(2), 145. (link)
  3. Khmil, M., Khmil, S., & Marushchak, M. (2020). Hormone Imbalance in Women with Infertility Caused by Polycystic Ovary Syndrome: Is There a Connection with Body Mass Index?. Open Access Macedonian Journal of Medical Sciences8(B), 731-737. (link)
  4. Naveed, S., Ghayas, S., & Hameed, A. (2015). Hormonal imbalance and its causes in young females. Journal of Innovations in Pharmaceuticals and Biological Sciences (JIPBS)2(1), 12-16. (link)
  5. Reis, L. O., Favaro, W. J., Barreiro, G. C., De Oliveira, L. C., Chaim, E. A., Fregonesi, A., & Ferreira, U. (2010). Erectile dysfunction and hormonal imbalance in morbidly obese male is reversed after gastric bypass surgery: a prospective randomized controlled trial. International journal of andrology33(5), 736-744. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.