Jerawat pasir banyak tumbuh di kawasan sekitar dahi dan pipi. Pembentukannya yang banyak membuatkan kulit kita kelihatan kasar. Mari ketahui punca jerawat pasir di dahi dan pipi supaya langkah pencegahan dan rawatan seterusnya boleh diambil.

Pengenalan

Dari segi perubatan dermatologi kulit, jerawat pasir merupakan satu keadaan liang pori yang tersumbat lalu mengumpul sisa kulit mati yang berada di permukaan tersebut.

Kebiasaannya, jerawat pasir akan tumbuh secara berkelompok dalam keadaan kulit yang berminyak. Berbeza dengan jerawat biasa yang tumbuh secara rawak, jerawat pasir banyak tumbuh di sekitar pipi dan dahi yang mengandungi permukaan pori yang luas.

Individu yang mengalami jerawat pasir kurang merasa sakit atau pedih berbanding jerawat biasa. Hal ini demikian kerana jerawat pasir hanyalah pengumpulan sel kulit mati pada kawasan kulit. Terdapat juga kes tertentu apabila berlakunya jangkitan bakteria yang menyebabkan jerawat pasir mula mengalami keradangan atau mengandungi sedikit nanah.

Sebelum anda mencuba produk di pasaran yang boleh menelan kos yang tinggi, ayuh ketahui punca jerawat pasir untuk memastikan ikhtiar anda berkesan dengan mengubah gaya hidup yang sepatutnya.

Punca Jerawat Pasir

Berikut merupakan senarai punca jerawat pasir sebagaimana yang dikenal pasti berdasarkan ulasan kertas kajian penyelidik bersama Nottingham, Norway dan Amerika Syarikat mengenai masalah kulit jerawat.

1. Tidak Membersihkan Mencuci Muka dengan Kerap atau Betul

Faktor utama pembentukan jerawat pasir adalah apabila liang pori mula tersumbat dengan sel mati dan keratin yang terdapat di permukaan kulit. Sepatutnya, sel kulit mati ini jika dibersihkan dengan baik, tidak akan terkumpul dan menjadikan kulit tersumbat.

Kulit muka yang berminyak juga akan menyebabkan pengumpulan sel kulit mati yang banyak terutamanya di zon T iaitu dahi dan hidung.

Kurang membersihkan dan mencuci muka menyebabkan kulit semakin berminyak dengan penghasilan sebum yang makin bertambah dan tidak disingkirkan.

Penggunaan air sahaja untuk mencuci muka adalah tidak memadai kerana sifat air yang tidak boleh menanggalkan kotoran berminyak.

2. Diet Pemakanan Manis dan Berlemak

Bak kata pepatah bahasa Inggeris, “You are what you eat!

Pengambilan makanan berlemak seperti makanan segera, makanan bergoreng dan daging akan meningkatkan kandungan lemak dalam badan.

Hal ini turut mempengaruhi keadaan kulit yang akan menjadi semakin berminyak.

Sementara itu, makanan tinggi gula seperti sumber karbohidrat (tepung, roti, nasi), manisan (ais krim, gula-gula, kuih-muih) dan minuman berkarbonat akan meningkatkan kadar gula dalam darah.

Respon tubuh ialah dengan merembeskan hormon insulin untuk menukarkan gula ini menjadi sebatian yang lebih ringkas dan disimpan sebagai sumber tenaga.

Aktiviti insulin yang tinggi ini mengundang masalah pembentukan jerawat, tidak kiralah jerawat biasa mahupun jerawat pasir. Penghasilan sebum akan meningkat seiring dengan peningkatan kandungan insulin dan aktiviti penukaran gula dalam darah.

3. Cuaca Panas dan Matahari

Pendedahan kepada cuaca panas akan menyebabkan kulit berpeluh dengan suhu yang panas. Lebih-lebih lagi kita yang berada di Malaysia yang mempunyai suhu yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Apabila berpeluh, liang pori akan terbuka untuk mengeluarkan cecair peluh tersebut yang biasanya banyak di kawasan dahi dan hidung.

Kesan daripada penghasilan peluh yang banyak ini, bakteria boleh menggunakannya sebagai komponen air bagi mereka membiak dan hidup.Ditambah dengan jangkitan bakteria bersama liang pori yang tersumbat, masalah jerawat pasir akan menjadi lebih teruk terutamanya di kawasan dahi.

4. Memicit Blackhead Whitehead

Berbeza dengan jerawat pasir yang tumbuh di permukaan kulit akibat liang pori yang tersumbat, blackhead dan whitehead merupakan bahan yang tersumbat di dalam liang pori.

Pembentukannya disebabkan pengumpulan sebum, kotoran dan sel kulit mati. Pada liang pori yang tersumbat oleh blackhead dan whitehead inilah jerawat pasir boleh muncul.

Terutamanya, mereka yang suka memicit keluar blackhead dan whitehead ini. Liang pori yang telah dipicit keluar akan mengundang lebih banyak lagi pembentukan jerawat pasir yang baru jika tidak dibersihkan dengan produk yang sesuai.

5. Kulit Kurang Lembapan Dehidrasi

Air merupakan komponen yang penting bagi mana-mana sistem fisiologi tubuh. Di samping menghidratkan tubuh, air berperanan menyingkirkan toksik dalam badan secara semula jadi melalui proses perkumuhan.

Keadaan kulit kering atau berminyak sering dikaitkan dengan kekurangan air dalam tubuh. Apabila seseorang kurang mendapatkan air yang disarankan iaitu minimum 8 gelas sehari, antara kesan yang boleh dilihat ialah masalah kulit wajah.

Kulit yang kekurangan air akan mengganggu sistem fisiologi dan pemulihan sel. Dengan kulit yang lembab sebenarnya boleh mengurangkan masalah kulit berminyak antara punca jerawat pasir.

6. Persekitaran yang Kotor Tak Hygienic 

Jangkitan bakteria dan pengumpulan kotoran boleh hinggap di muka anda jika anda dikelilingi oleh persekitaran atau rutin harian yang kotor.

Antara contoh persekitaran yang kotor menjadi punca jerawat pasir adalah seperti berikut:

  • Sarung bantal yang jarang dicuci
  • Terdedah dengan kawasan berhabuk dan berdebu pada tempoh yang lama
  • Asap rokok
  • Tidak mencuci alat solek make up
  • Penggunaan alat kosmetik yang tidak sesuai/tidak selamat
  • Kerap menyentuh muka dengan tangan

Kesimpulan

Ringkasnya, antara punca jerawat pasir ialah tidak membersihkan muka dengan betul, diet pemakanan yang tinggi gula dan lemak, cuaca panas persekitaran, memicit blackhead dan whitehead, kurang minum air yang menyebabkan dehidrasi dan persekitaran yang tidak hygienic.

Jerawat pasir yang merupakan masalah kulit ini boleh menjejaskan keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai. Oleh sebab itu, usaha mengubah gaya hidup seperti diet makanan, amalan kebersihan dan persekitaran perlulah dijaga dengan baik.

Di samping itu, jika anda ingin menggunakan produk penjagaan wajah di pasaran, pastikan produk tersebut selamat dan berkualiti tinggi. Jemput juga baca artikel tentang jerawat di dagupunca jerawat lelaki dan makanan punca jerawat

Rujukan

  1. Haivorsen, J. A., Braae Olesen, A., Thoresen, M., HOlM, J. Ø., & Bjertness, E. (2008). Comparison of self-reported skin complaints with objective skin signs among adolescents. Acta dermato-venereologica88(6), 573-577. (link)
  2. Williams, H. C., Dellavalle, R. P., & Garner, S. (2012). Acne vulgaris. The Lancet379(9813), 361-372. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.