Nak tahu khasiat bayam Brazil? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat bayam Brazil untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.

Bayam Brazil atau nama saintifiknya Alternanthera sissoo juga dikenali sebagai ‘bayam sambu’ dan ‘kobis samba’ merupakan tanaman hijau berdaun yang boleh dimakan yang banyak tumbuh di kawasan tropika. Sayuran ini banyak ditemui di negara Brazil, maka diberi nama bayam Brazil dan mula menjadi pilihan rakyat Malaysia sejak tahun 2015 dengan menanamnya sebagai landskap dan sumber sayuran.

Pokoknya bersaiz kecil yang boleh mencecah ketinggian 30 cm dan mempunyai daun-daun yang agak berkedut serta batang yang tidak berkayu. Cara pembiakannya sungguh mudah iaitu dengan mencucuk batangnya ke dalam tanah dan tunas pokok bayam Brazil yang baru akan tumbuh.

Penanamannya memerlukan kawasan yang agak redup, kurang sinaran cahaya matahari terik secara langsng dan tidak memerlukan siraman air yang kerap.

Antara masakan yang menggunakan bayam Brazil ialah salad mentah, kari, pai, sos pasta, lasagna, goreng tumis air, rebus, sup, masak lemak cili api dan goreng salut tepung. Namun, bayam Brazil mengandungi oxalate yang agak tinggi, jadi tidak boleh diamalkan selalu terutamanya mereka yang mengalami masalah buah pinggang kerana kandungan oxalate dalam tubuh yang terlalu tinggi boleh menyebabkan masalah pembentukan batu karang.

Imej via National Parks of Singapore

Khasiat Bayam Brazil

Khasiat bayam Brazil adalah lebih kurang sama dengan sayuran hijau yang lain. Secara ringkasnya, dalam setiap 100 g bayam, terdapat 4-8 mg beta karotena, 60-120 mg vitamin C, serat, garam galian (kalsium, zat besi) dan asid folik. Berikut merupakan khasiat kesihatan bayam Brazil yang boleh dijadikan pilihan hidangan seharian.

Potensi Melawan Kanser

Bayam Brazil mengandungi sebatian flavonoid yang tinggi yang mempunyai sifat anti kanser yang sangat baik. Hal ini dapat mengurangkan dan mencegah pertumbuhan sel kanser dalam tubuh. Mengikut kajian lepas, kandungan flavonoid dalam bayam boleh mengurangkan risiko kanser sehingga 34%.

Antara kajian yang menggunakan ekstrak flavonoid sebagai bahan antikanser ialah kajian ke atas kanser prostat, kanser kulit, kanser payu dara, kanser pangkal rahim, kanser rahim dan sebagainya. Kandungan asid folik dalam bayam juga membantu pencegahan mutase sel yang boleh menyebabkan kerosakan DNA punca kanser terjadi.

Penjagaan Kesihatan Mata

Bayam Bazil mengandungi karotenoid dan vitamin A. Nutrien ini membantu penjagaan mata yang lebih baik dengan melindungi saraf mata dan menjadikan penglihatan lebih jelas.

Di samping itu, nutrien tersebut amat penting untuk mencegah penyakit katarak mata dan mata kabur. Malah, kandungan vitamin A ini boleh membantu meningkatkan sistem pertahahanan tubuh dengan membantu meningkatkan penghasilan sel darah putih.

Sumber Vitamin K untuk Kesihatan Tulang

Tidak banyak makanan yang mengandungi vitamin K. Bayam merupakan antara bahan yang boleh menyumbang vitamin K untuk kesihatan kita dengan kandungannya yang agak tinggi. Antara kegunaan vitamin K adalah untuk membantu menguatkan otot dan mengurangkan gejala sakit sendi dan otot.

Penjagaan Sistem Pencernaan dan Masalah Berat Badan

Masalah berat badan boleh berpunca daripada sistem pencernaan dan diet seseorang yang tidak seimbang. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti bayam Brazil dan sayuran hijau yang lain dapat membantu tubuh mendapat sumber bekalan serat yang mencukupi.

Serat yang tinggi dalam sayuran hijau membantu sistem pencernaan yang lebih baik dengan melancarkan pergerakan makanan dalam usus. Selain itu, serat memberi rasa ketahanan kenyang yang lebih lama. Masalah sembelit juga boleh diatasi apabila badan menerima serat yang mencukupi.

Tambahan pula, bayam Brazil mengandungi pelbagai vitamin dan nutrien lain seperti vitamin A dan vitamin C. Nutrien ini membantu mengekalkan kesihatan sistem pencernaan dengan melindungi usus dan saluran pencernaan daripada serangan radikal bebas lain.

Berkhasiat untuk Wanita Mengandung

Sayuran hijau khususnya amat digalakkan buat golongan wanita yang sedang hamil. Apatah lagi dalam sayuran bayam seperti bayam hijau, bayam merah dan bayam Brazil, kandungan zat besi dan asid folik yang tinggi boleh membantu mengekalkan dan memberi kesihatan yang baik kepada ibu dan kandungan.

Asid folik memang diakui membantu dalam meningkatkan fungsi otak bayi dalam rahim. Manakala zat besi pula sangat bermanfaat buat para ibu mengandung untuk mencegah masalah anemia atau kurang darah merah. Mereka yang mempunyai masalah anemia akan mudah merasa lemah dan pengsan.

Membantu Masalah Penuaan

Sebatian antioksidan daripada bahan aktif dan vitamin C dalam bayam Brazil boleh membantu melawan radikal bebas dalam sistem sel manusia. Penghasilan radikal bebas boleh disebabkan oleh makanan tidak berkhasiat, persekitaran yang tidak sihat dan gaya hidup yang tidak seimbang. Seterusnya, badan kita akan menunjukkan tindak balas dengan mempamerkan penuaan pada kulit dan fungsi organ.

Hal ini boleh diatasi dengan kehadiran antioksidan untuk memerangkap keluar radikal bebas ini. Bayam boleh dikisar menjadi jus untuk diminum bagi memudahkan pengambilannya. Anda boleh campurkan jus bayam ini dengan makanan berkhasiat lain seperti buah-buahan (pisang, kiwi, strawberi, madu dan sebagainya) bagi memikat selera.

Kesimpulan

Bayam Brazil merupakan khazanah alam yang sama-sama dikongsi yang ternyata memiliki pelbagai khasiat kesihatan. Antara khasiat kesihatan bayam Brazil ialah antikanser, membantu penjagaan kesihatan mata, sumber vitamin K untuk tulang dan sendi yang lebih sihat, penjagaan sistem pencernaan, bagus untuk ibu hamil dan mencegah atau membaiki penuaan.

Namun, diingatkan sekali lagi bahawa bayam Brazil mengandungi oxalate yang agak tinggi yang boleh menyebabkan pembentukan batu karang. Maka, pengambilannya perlulah dilakukan pada kadar yang sederhana dan disertai oleh sayuran dan makanan lain yang sama-sama berkhasiat.

Jemput juga baca artikel lain:

Rujukan

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.