Benarkah makanan punca jerawat? Artikel ini akan mengupas kenyataan ini menurut kajian sains yang pernah dilakukan. Jom baca.

Pengenalan

Terma perubatan bagi jerawat atau acne ialah “acne vulgaris.” Ramai yang berpendapat bahawa hormon terutamanya dalam kalangan remaja dan ubat-ubatan menjadi punca jerawat.

Hormon androgen memainkan peranan yang penting dalam pembentukan jerawat. Walaupun hormon ini dikenali sebagai hormon lelaki, perempuan turut memilikinya yang menyebabkan baik lelaki mahupun perempuan, berdepan dengan masalah jerawat. Tambahan pula, bagi perempuan yang mengalami sindrom policistik ovari (PCOS), kandungan androgen mereka adalah lebih tinggi yang bakal menyebabkan jerawat yang lebih teruk.

Hormon testosteron bukan sahaja dihasilkan di dalam testis lelaki, tetapi dihasilkan di dalam kulit kita. Enzim yang terdapat dalam kulit akan menukarkannya menjadi bahan yang menyekat liang dan kelenjar minyak kulit. Hal ini bukan sahaja menyebabkan jerawat, malah menjadi punca pembentukan bintik hitam dan putih yang lebih dikenali ramai sebagai white head dan black head.

Kulit yang kotor dan mengalami kelenjar yang tersekat ini akan memerangkap bakteria yang sedia ada berada di permukaan kulit, Pripionibacterium acnes lalu menyebabkan jangkitan yang kita panggil, jerawat.

Makanan Punca Jerawat?

Persepsi atau pendapat yang mengatakan bahawa jerawat berpunca daripada hormon datang daripada pemerhatian ke atas golongan remaja yang paling banyak menghadapi masalah jerawat sepanjang tempoh mereka akil baligh.

Tapi, kenapa ada sebilangan remaja di kawasan lain khususnya etnik tertentu yang langsung tidak mempunyai jerawat?

Berikut ialah dapatan kajian pakar alahan, hormon, penyakit kulit dan keadaan perubatan dari Amerika Syarikat, Dr. Ray Schilling yang memerhatikan kaitan remaja vs jerawat, tiada kes jerawat dicatatkan bagi komuniti ini:

  • Penduduk pulau di Papua New Guinea
  • Suku Afrika Bantus dan Zulus
  • Orang asli Paraguay
  • Penduduk Okinawa, Jepun (sebelum tahun 1970)
  • Orang asli Lembah Purus, Brazil
  • Orang asli Inuit di Kanada (sebelum tahun 1950)

Persamaan mereka semua yang tidak mempunyai masalah jerawat ialah, diet pemakanan mereka tidak mengandungi gula, gandum, bijirin, alkohol, produk tenusu dan makanan segera yang tinggi minyak dan garam!

Oleh itu, berikut ialah senarai makanan yang menjadi punca jerawat sebagaimana yang telah dilaporkan dalam kajian saintifik.

Makanan yang Menyebabkan Jerawat

1. Susu

Imej via Bidadari

Dalam satu kajian yang berskala besar melibatkan 42 000 orang responden jururawat di sebuah hospital, didapati mereka yang telah didiagnos dengan masalah jerawat dan acne yang serius semasa remaja, mengambil lebih 3 hidangan susu sehari berbanding mereka yang hanya mengambil 1 atau kurang hidangan susu sehari.

Malah, pengambilan susu skim didapati lebih menyebabkan masalah jerawat berbanding susu segar. Jadi, para penyelidik berpendapat bahawa, kandungan lemak dalam susu bukanlah penyebab jerawat, tetapi kandungan hormon yang tinggi dalam susu skim berbanding susu segar yang menyebabkan punca jerawat.

2. Roti (makanan tinggi indeks glisemik)

Imej via Bidadari

Makanan yang tinggi nilai indeks glisemik seperti roti, gandum dan beras tertentu menyebabkan risiko jerawat yang semakin buruk.

Makanan tinggi indeks glisemik ini mempunyai kaitan dengan kepekaan atau sensitiviti insulin yang akan mengubah kandungan hormon menyebabkan pembentukan jerawat.

Ulasan pengkaji dalam artikel yang diterbitkan di Skin Therapy Letter pada tahun 2010 mengulas berkenaan kajian ke atas kumpulan kajian yang diberi diet makanan rendah indeks glisemik berbanding kumpulan kawalan, menunjukkan hasil tahap hormon SHBG (penyebab jerawat) yang jauh berkurangan berbanding kawalan.

Di samping itu, diet rendah indeks glisemik ini menjadikan kumpulan kawalan tersebut turun berat badan, kawalan gula dalam darah yang lebih baik dan kepekaan insulin yang tinggi.

3. Coklat

Imej via Bidadari

Dalam artikel tersebut juga, ada mengulas mengenai mentaliti orang ramai yang mengaitkan coklat dengan jerawat. Hal ini telah disangkal oleh kajian lepas yang melihat kesan pengambilan 114 gram coklat sehari selama 4 bulan oleh 65 peserta kajian.

Tiada hubungan yang jelas atau konklusif untuk mengesahkan dakwaan ini.

Namun, terdapat golongan yang mempunyai alahan kecil yang boleh berdepan dengan masalah jerawat apabila kandungan aktif dalam coklat menyebabkan perubahan hormon kulit mereka.

4. Kekacang (omega-6)

Imej via Bidadari

Walaupun belum ada lagi kajian terperinci berkenaan ini, namun sedia maklum melalui penerbitan saintifik sebelum ini bahawa asid lemak omega-6 adalah cenderung atau mudah untuk menyebabkan keradangan punca jerawat.

Antara contoh makanan tinggi omega-6 ialah:

  • kacang soya,
  • telur
  • daging
  • minyak bunga matahari
  • jagung
  • kekacang

5. Aiskrim

Imej via Bidadari

Aiskrim tergolong dalam produk tenusu dan tinggi kandungan gula. Satu resepi yang sangat mengundang kehadiran jerawat!

Hal ini dibuktikan melalui kajian oleh para penyelidik dari UKM pada tahun 2012. Mereka melihat trend risiko jerawat yang tinggi dalam kalangan responden yang makan ais krim sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

Lebih banyak makan aiskrim dalam seminggu, lebih tinggi risiko muka berjerawat!

Kesimpulan

Makanan punca jerawat adalah disebabkan kandungan mereka yang mengaktifkan enzim dan hormon pembentukan jerawat. Namun, seandainya makanan yang dikatakan punca jerawat ini tidak menyebabkan anda mengalami masalah jerawat yang teruk, janganlah terus berhenti mengambilnya dalam diet makanan seharian kerana makanan tersebut turtu mempunyai khasiat perubatan lain yang diperlukan badan.

Semua makanan boleh menjadi khasiat atau ‘racun’ cuma yang membezakannya ialah dos atau amaun yang diambil. Kekalkanlah bersederhana seperti yang dianjurkan dalam Islam.

Baca juga artikellain tentang tips kecutkan jerawat dan cara hilangkan jerawat

Rujukan

  1. Ferdowsian, H. R., & Levin, S. (2010). Does diet really affect acne. Skin Therapy Lett15(3), 1-2. (link)
  2. Ismail, N. H., Manaf, Z. A., & Azizan, N. Z. (2012). High glycemic load diet, milk and ice cream consumption are related to acne vulgaris in Malaysian young adults: a case control study. BMC dermatology12(1), 13. (link)
  3. Schilling, R. (2013). Pimples And Acne Can Be Caused By Food. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.