Rimas dengan jerawat yang muncul? Nak sembuh kenalah tahu jenis jerawat dulu. Mari kenali jenis jerawat dan punca berlakunya jerawat-jerawat ini.

Pengenalan

Jerawat ialah keadaan kulit yang terhasil apabila kelenjar minyak dan folikel rambut tersumbat dengan minyak berlebihan lalu menjadi tempat pembiakan bakteria. Antara punca yang dikenal pasti penyebab masalah jerawat ialah kombinasi beberapa faktor seperti aktiviti hormon, keturunan, bahan berminyak dan kesan sampingan pengambilan ubatan.

Menurut  tinjauan yang diterbitkan di American College of Nurse Practitioners pada tahun 2008, antara faktor  dipercayai golongan remaja yang menjadi punca jerawat ialah kebersihan dan penjagaan kulit (25%), makanan berminyak (11%) dan selebihnya tidak pasti.

Pada pandangan mereka, cara-cara menghilangkan jerawat adalah seperti berikut:

  • Mencuci muka (82%)
  • Minum lebih banyak air untuk hidrasi tubuh (50%)
  • Ubah diet pemakanan (21%)
  • Pemakaian alat solek (35%)
  • Penggunaan produk di pasaran (9%)
  • Dapatkan preskripsi ubat (3%)

Seterusnya, artikel ini akan membincangkan mengenai jenis jerawat dan punca berdasarkan pengelasan saintifik.

Bentuk-bentuk Jerawat

Liang pori yang tersumbat akan menyebabkan terbentuknya jerawat pada kulit dalam 6 bentuk iaitu:

  1. whitehead
  2. blackhead
  3. cyst
  4. papul
  5. pustul
  6. nodul

Imej via Muzdalifah et al. (2016)

Jenis Jerawat dan Punca

Seterusnya, pengelasan jenis jerawat dan punca yang akan diterangkan ini dipetik daripada penerbitan kajian oleh Kaminer & Gilchrest pada tahun 1995 dalam Journal of the American Academy of Dermatology.

1. Neonatal dan Infantile

Masalah acne yang sederhana dikesan dalam 20% bayi yang baru lahir. Jenis jerawat yang kebiasaannya dilihat adalah dalam bentuk whitehead pada hidung, dahi dan pipi.

Punca jerawat ini masih tidak jelas tetapi dikaitkan dengan rangsangan kelenjar minyak oleh hormon androgen ibu dan anak.

Namun, masalah ini akan hilang dalam tempoh 1-3 bulan selepas kelahiran tanpa meninggalkan kesan parut.

Dalam tempoh usia 3-6 bulan kelahiran, kehadiran lebih banyak bintik merah diperhatikan dengan pembentukan nodul dan parut muda.

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Punca jerawat ini juga tidak jelas tetapi dipercayai datang daripada hormon androgen yang dirembeskan oleh kelenjar gonad. Bayi lelaki adalah lebih mudah mendapat jenis jerawat ini berbanding bayi perempuan, dan berterusan sehingga usia 5 tahun atau lebih.

Bayi yang mempunyai sejarah jerawat ini berkemungkinan tinggi mendapat masalah jerawat acne pada usia remaja kelak.

2. Acne vulgaris

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Jerawat jenis ini ialah jerawat acne biasa yang dihadapi oleh golongan remaja apabila mencecah usia akil baligh. Ada kajian yang melaporkan 100% serangan masalah jerawat ini pada usia 16 tahun bagi remaja lelaki dan terus berkurangan sesuai dengan peredaran usia.

Namun, terdapat kes jerawat yang masih tumbuh bagi dewasa berusia 25-24 tahun (8%) dan 35-44 tahun (3%).

Selain perubahan hormon akibat akil baligh, jenis jerawat ini berpunca daripada perubahan hormon bagi wanita yang akan datang haid, faktor keturunan, pemakanan dan gaya hidup.

3. Perioral dermatitis

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Jenis jerawat ini melibatkan pembentukan papul dan pustul di sekeliling mulut. Keadaan ini biasanya hanya berlaku dalam kalangan wanita berusia 20-35 tahun.

Punca jerawat jenis ini masih belum diketahui secara tepat, namun, ada kajian yang berpendapat bahawa jenis jerawat ini berpunca daripada serangan kutu Demodex folliculorum, kesan sampingan steroid, penggunaan alatan kosmetik, ubat gigi berfluorida, cecair cucian mulut, sabun dan pengambilan diet buah sitrus.

4. Acne conglobata

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Jenis jerawat ini pula dikesan hanya dalam kalangan lelaki yang sudah dewasa. Jerawat ini sangat berbeza daripada masalah jerawat semasa remaja akil baligh dengan pembentukan cyst yang besar dan mengandungi nanah.

Jerawat jenis ini juga meninggalkan kesan parut yang ketara.

Punca jerawat jenis ini adalah disebabkan liang yang tersumbat sama seperti acne vulgaris, cuma berlaku pada usia belia dan dewasa.

5. Hidradenitis suppurativa (HS)

HS merupakan penyakit kulit kronik yang memberi kesan ke atas kawasan kulit yang mengandungi kelenjar dan kulit kepala.

Keradangan yang berlaku menyebabkan pembentukan cyst dan nodul sehingga boleh berkembang menjadi saluran sinus.

Penyakit ini biasa ditemui dalam kalangan wanita 2 kali ganda lebih kerap berbanding lelaki, sebelum usia 40 tahun. Puncanya masih kabur tetapi sering dikaitkan dengan mekanisme pembentukan acnes conglobata atau sejarah keturunan keluarga.

6. Acnes fulminans

Jenis jerawat ini jarang ditemui yang merupakan masalah kulit muka dan kulit pada tubuh badan dengan jerawat bernanah atau cyst yang sangat teruk. Masalah ini sering dilihat dalam kalangan remaja lelaki.

Jenis jerawat yang teruk ini berpunca daripada serangan bakteria Propionibacterium acnes.

7. Pyoderma faciale

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Jenis jerawat ini juga jarang dilihat yang membabitkan wanita muda berusia 20-40 tahun. Kesannya agak teruk dengan jerawat di muka beserta bengkak, kemerahan, nanah yang dalam dan cyst yang tiba-tiba terbentuk.

Jenis jerawat ini berpunca daripada perubahan hormon akibat tekanan hidup yang berpanjangan.

8. Acne mechanica

Jenis jerawat ini berlaku pada kawasan kulit yang sering tercedera atau berlakunya trauma fizikal.

Daya mekanik berterusan yang dikenakan ke kawasan kulit yang tercedera menyebabkan liang pori dan folikel rambut menjadi semakin tersebut lalu mengakibatkan tumbuhnya jerawat.

Antara contoh ialah pemain violin yang sering mengenakan daya pada kawasan kulit leher, ahli sukan yang sentiasa memakai helmet keselamatan dan penggunaan head band, bra strap dan orthopedic cast.

9. Acne tropicalis

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Pembentukan jenis jerawat ini berlaku dalam kalangan pesakit yang sudah lanjut usia yang pernah mengalami acne vulgaris sewaktu remaja. Kawasan pertumbuhan jerawat ini adalah di bahagian belakang badan dan kulit punggung.

Jerawat ini muncul ketika musim tropika iaitu ketika cuaca panas dan lembab.

10. Sindrom Favre-Racouchot

Imej via Kaminer & Gilchrest (1995)

Juga dikenali sebagai solar comedone dengan pembentukan whitehead dan blackhead yang banyak di bahagian kiri dan kanan dahi, hidung, mata, pipi dan dahi dalam kalangan warga tua yang berusia 60-80 tahun.

Sindrom ini terjadi disebabkan pendedahan kepada cahaya matahari yang berlebihan tetapi golongan muda juga berisiko berdepan dengan jenis jerawat ini jika kerap didedahkan dengan sinaran UV daripada alatan elektronik seperti TV dan telefon pintar.

Baca juga tentang tips kecutkan jerawat dan cara hilangkan parut jerawat 

Rujukan

  1. Hedden, S. L., Davidson, S., & Smith, C. B. (2008). Cause and effect: The relationship between acne and self-esteem in the adolescent years. The Journal for Nurse Practitioners4(8), 595-600. (link)
  2. Kaminer, M. S., & Gilchrest, B. A. (1995). The many faces of acne. Journal of the American Academy of Dermatology32(5), S6-S14. (link)
  3. Muzdalifah, N., & Adi, K. (2016). Identifikasi Jenis Jerawat dengan Wavelet Haar dan Jaringan Syaraf Tiruan Propagasi Balik. Youngster Physics Journal5(4), 171-178. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.