Tertanya-tanya tanda kolesterol tinggi? Kolesterol ialah sejenis lemak yang dikenali sebagai lipid. Ia diperlukan oleh tubuh untuk bekerja dengan baik. Badan kita boleh menghasilkan kolestrol yang diperlukan untuk fungsi badan. Malahan, ia juga boleh didapati melalui sumber makanan berasaskan haiwan.

Apabila kita mendengar sahaja nama kolestrol, mulalah terbayang penyakit jantung dan orang yang mempunyai lemak yang terlalu banyak. Inilah stigma masyarakat berkaitan kolestrol.

Sebenarnya, kolesterol merupakan sebahagian daripada kimia yang penting untuk tubuh badan kita. Kolestrol perlu dikekalkan pada tahap yang normal untuk kebaikan maksima.

Fungsi Kolesterol Kepada Tubuh

Kolestrol digunakan untuk membuat cecair hempedu yang dihasilkan oleh hati. Ia amat penting untuk melindungi saraf, membina sel-sel badan yang baharu dan menghasilkan hormon tertentu. Hormon ini berfungsi untuk perkembangan normal dan fungsi tubuh manusia.

Kolestrol kelihatan seperti lilin yang dibuat oleh hati. Ia terhasil daripada lemak dan steroid. Kolesterol kurang atau tidak larut dalam air. Oleh itu, lipoprotein tertentu diperlukan untuk mengangkut kolestrol dalam pembuluh darah.

Terdapat 4 jenis lipoprotein, iaitu:

  • High Density Lipoprotein (HDL)
  • Low Density Lipoprotein (LDL)
  • Trigliseride
  • Very Low Density Lipoprotein (VLDL)

High Density Lipoprotein (HDL) dikenali sebagai kolestrol baik. Ia berfungsi untuk mengeluarkan kolestrol dari pembuluh darah dan membawanya kembali ke hati.

Malahan, HDL juga membantu dalam mencegah pembentukan plak kolesterol dalam pembuluh darah. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat iaitu menjaga pemakanan dan bersenam dapat membantu meningkatkan HDL.

Manakala, Low Density Lipoprotein (LDL) dikenali sebagai kolestrol jahat. Kolestrol LDL berbahaya kerana ia cenderung untuk melekat di dinding arteri. Lama-kelamaan, plak kolestrol yang tebal dan keras akan terjadi. Kita perlu turunkan paras kolestrol LDL untuk kurangkan risiko penyakit jantung.

Trigliseride ialah bentuk lemak yang terhasil dalam tubuh. Kadar trigliseride yang tinggi disebabkan oleh amalan merokok, pengambilan alkohol, masalah obesiti dan gaya hidup yang tidak aktif.

Individu yang mempunyai tahap trigliseride yang tinggi lazimnya mempunyai tahap Jumlah Kolestrol (Total Cholestrol) yang tinggi. Ini termasuk LDL yang tinggi dan tahap HDL yang rendah. Pesakit diabetes dan jantung biasanya mempunyai tahap gliseride yang tinggi.

Dalam artikel ini, penulis akan kongsikan tanda-tanda kolesterol sudah tinggi dalam badan dan cara mencegahnya. Moga kita mengambil langkah berjaga-jaga tentang kesihatan kita dan ahli keluarga.

Tanda-Tanda Kolesterol

Orang yang mempunyai kolesterol tinggi di dalam badan, biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom. Ia sukar dikenal pasti pada peringkat awal. Namun begitu, terdapat beberapa gejala yang mungkin berlaku seperti berikut:

  1. Sakit dada atau dikenali sebagai angina. Angina adalah keadaan di mana saluran arteri yang membawa darah ke otot jantung menjadi semakin sempit. Tanda-tanda angina ialah:
  • Sakit dada seperti terasa dada ditekan, dihempap, dicucuk benda tajam dan panas
  • Sakit di bahagian tangan, rahang, bahu atau belakang badan
  • Loya dan muntah
  • Sesak nafas
  • Berpeluh
  • pening
  1. Rasa sakit pada bahagian betis apabila berjalan pada jarak tertentu akibat ketidakselesaan pembuluh darah koronari intermittent claudication. Ini akibat pembuluh darah di kaki tersumbat dan menghalang aliran darah yang lancar. Tanda-tandanya ialah:
  • Kekejangan pada kaki, betis, peha atau punggung selepas aktiviti fizikal
  • Kaki berasa sejuk
  • Kaki berasa kebas dan lemah
  • Luka di kaki yang sukar sembuh
  • Nadi lemah di bahagian kaki
  • Perubahan warna kulit di kaki
  • Bulu gugur di kaki
  • Mati pucuk bagi pesakit lelaki
  1. Strok atau strok mini boleh berlaku apabila darah beku atau pendarahan akibat salur darah pecah di bahagian otak tertentu. Ini menyebabkan bahagian otak yang terlibat hilang fungsi dan boleh mengakibatkan kelumpuhan anggota badan. Tanda-tanda awal strok ialah:
  • Lemah dan kebas sebelah badan secara tiba-tiba seperti di muka, tangan dan kaki
  • Susah untuk berjalan secara tiba-tiba dan tidak dapat mengawal koordinasi pergerakan
  • Kekeliruan secara tiba-tiba dan sukar untuk bercakap atau memahami perkataan
  • Masalah gangguan penglihatan secara tiba-tiba di sebelah atau kedua-dua belah mata
  • Sakit kepala yang kronik tanpa sebarang sebab
  1. Serangan jantung boleh berlaku akibat plak pecah. Ini menyebabkan berlakunya trombosis koronari dan penyumbatan aliran darah ke jantung.
  1. Berlakunya ketulan kuning pada kulit terutama di siku, lutut, tangan, kaki, sendi dan punggung yang dipanggil xanthoma. Ketulan kuning ini biasanya merupakan petanda pengumpulan lemak yang menyebabkan kolesterol tinggi dalam darah.
  1. Kehadiran xanthelasmas iaitu bintik kuning di dalam kelopak mata.

Cara Mencegah Kolesterol Tinggi

Kolesterol yang tinggi dalam badan amat berbahaya dan boleh mengakibatkan risiko penyakit-penyakit yang lain. Kita dapat mencegah kolestrol tinggi dengan mengikut langkah pencegahan yang berikut:

  1. Lebihkan produk tenusu dalam diet pemakanan harian
  1. Berhenti merokok
  1. Mementingkan makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan gandum). Makan makanan rendah lemak (elakkan daging merah dan kuning telur) dan karbohidrat rendah (untuk mengelakkan gula ringkas)
  1. Menurunkan berat badan dan capai berat badan ideal
  1. Lakukan senaman 30 minit sehari dan sekurang-kurangnya 5 hari seminggu. Fokus senaman di bahagian perut
  1. Makan ubat secara konsisten yang disyorkan oleh doktor
  1. Ubat untuk menurunkan paras kolestrol hanya boleh diambil selepas nasihat doktor

Faktor keturunan dan diet menjadi penyebab utama paras HDL, LDL dan paras kolestrol dalam badan kita. Oleh itu, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjaga pemakanan dan sentiasa bergerak aktif.

Jika anda ada tanda-tanda kolesterol tinggi yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor. Jangan biarkan masalah melarat tanpa mendapat nasihat dan rawatan. Rawatan awal boleh mencegah penyakit lain yang disebabkan oleh kolestrol tinggi seperti strok dan sakit jantung.

Semoga bermanfaat. Jemput juga baca artikel:

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.