Hilang selera makan sesungguhnya ibarat hilang nikmat dunia! Ketika rakan-rakan dan orang keliling enak menjamu selera, kita hanya mampu melihat sahaja. Jom ketahui punca hilang selera makan yang akan dibincangkan dalam artikel ini.

Pengenalan

Makanan merupakan sumber utama manusia mendapatkan nutrien. Kandungan zat dan diet seimbang ini diperlukan tubuh untuk sistem fisiologi dan perkembangan yang baik.

Dengan nutrien yang mencukupi, aktiviti seharian pun boleh dilakukan dengan senang dan cepat.

Namun, apabila seseorang hilang selera makan, kuranglah zat dan nutrien untuk tubuh. Badan akan mulai lesu dan tidak bermaya.

Seorang individu dewasa memerlukan diet makanan yang mencukupi setiap hari. Lelaki memerlukan lebih kurang 2 500 kcal kalori sehari manakala perempuan memerlukan 2 000 kcal sehari. Oleh itu, artikel ini akan mengupas punca hilang selera makan.

Punca Hilang Selera Makan

1. Masalah Kemurungan dan Tekanan Perasaan

Persatuan Psikiatri Amerika telah menggariskan bahawa perubahan berat badan dan hilang selera makan sebagai salah satu gejala kemurungan di semua peringkat umur.

Kajian penyelidik dari Universiti Vanderbilt, Nashville pada tahun 2009 turut mengingatkan tentang risiko kehilangan selera makan yang tinggi dalam kalangan pesakit kemurungan yang mengulangi episod kemurungan mereka setelah sembuh.

Ironinya, kebanyakan kajian mendapati bahawa tekanan perasaan yang tinggi lebih membuatkan seseorang itu bertambah selera makan tetapi hanya memilih makanan yang manis dan berlemak sahaja.

2. Diet Ekstrim

Kajian tersebut turut mengulas faktor diet sebagai punca hilang selera makan. Dilaporkan hampir 60% remaja perempuan dan 10% remaja lelaki “berperang” dengan diri sendiri berkenaan isu imej dan penampilan diri.

Antara langkah yang diambil mereka ialah menahan diri daripada makan dengan diet ekstrim dan berlapar.

Namun awas, tindakan ini sebenarnya boleh mengundang rasa kemaruk ingin makan selepas tempoh diet itu berakhir atau sehingga badan kita sudah tidak mampu menahan rasa lapar.

Imej via Bidadari

3. Masalah Pemakanan

Masih lagi berkaitan dengan isu rasa tidak selesa dengan penampilan diri, diet dan kemurungan, masalah pemakanan seperti anorexia nervosa dan bulimia sering dilaporkan berkaitan dengan punca hilang selera makan.Kajian lepas juga melaporkan bahawa mereka yang mempunyai sejarah penyakit kemurungan berisiko tinggi  untuk mengalami masalah pemakanan ini.

Penyakit berkaitan mentaliti ini bermula seawal usia remaja 12 tahun dan merupakan rentetan daripada diet ekstrim yang dirasakan tidak berkesan.

4. Perubahan Hormon

Hormon ialah bahan pembawa isyarat yang mengarahkan tindak balas kepada sistem dan tindakan kelakuan.

Antara perubahan hormon yang dikaitkan dengan punca hilang selera makan ialah melanokortin, glukokortikoid, dan leptin. Tekanan, kerisauan, keresahan dan kemurungan merupakan antara faktor penambahan hormon-hormon tersebut.

Perubahan hormon ini dipengaruhi oleh tindak balas emosi dan kelakuan kita sendiri. Dengan peningkatan kandungan hormon ini, semakin rendah lah selera makan.

5. Proses Akil Baligh

Terutamanya bagi remaja, fasa kehilangan selera makan boleh mula dilihat semasa mereka sedang mencapai atau melalui usia akil baligh.

Ketika ini, hormon pertumbuhan semakin bertambah. Bagi lelaki, kandungan hormon testosteron yang tinggi mengurangkan rasa ingin makan.

Golongan remaja perempuan pula berhadapan dengan penambahan hormon bagi sistem peranakan mereka melalui kitaran haid.

Proses ini sedikit sebanyak boleh mengganggu mood dan emosi seseorang, seterusnya membantutkan rasa ingin makan. Namun, fasa ini hanya normal bagi suatu tempoh yang pendek.

Proses akil baligh juga mengeluarkan hormon pertumbuhan dari kelenjar pituitari untuk merangsang ketinggian dan pertambahan jisim badan. Selera makan mereka sepatutnya kembali normal supaya dapat membesar dengan baik dan sihat.

6. Masalah Sistem Penghadaman

Salah satu punca hilang selera makan dikaitkan dengan masalah sistem penghadaman seseorang.

Oleh yang demikian, sekumpulan penyelidik dari Perancis membuktikan kajian ini secara saintifik menerusi penerbitan artikel mereka pada tahun 2017 di Journal of Gastroenterology and Hepatology.

Berdasarkan 1009 pesakit yang menghidapi masalah sistem penghadaman, 82% daripada mereka didapati hilang selera makan.

Antara masalah penghadaman yang boleh dikaitkan dengan punca hilang selera makan ialah esofagal, gastroduodenal, bowel dan anorektal.

7. Rawatan Perubatan

Pesakit yang sedang menjalani rawatan perubatan seperti kemoterapi bagi kanser dan dialisis bagi sakit buah pinggang sememangnya terdedah kepada punca hilang selera makan.

Hal ini adalah normal kerana rawatan yang diberikan membantutkan selera makan mereka.

Tambah memburukkan, keadaan ini akan menyebabkan mereka suka menerima makanan dan menyebabkan malnutrisi atau kekurangan nutrien makan.

8. Penyakit Thyroid

Gangguan keseimbangan hormon thyroid boleh menjejaskan selera makan seseorang. Hal ini juga dijadikan sebagai pengesanan diagnosis awal selain bengkakan di kawasan leher dan penurunan berat badan bagi mengenal pasti kehadiran penyakit thyroid.

Para penyelidik Louisiana, Amerika Syarikat pada tahun 2004 ada melaporkan berkenaan perubahan hormon seperti adiponectin, resistin dan leptin yang mempengaruhi selera makan dalam kalangan pesakit thyroid.

Kesimpulan

Ringkasnya, antara punca hilang selera makan ialah masalah kemurungan, diet ekstrim, masalah pemakanan, perubahan hormon, proses akil baligh, masalah penghadaman, rawatan perubatan dan penyakit thyroid.

Kita perlu cakna atau sedar dengan tanda-tanda seperti hilang selera makan dalam diri kita atau orang sekeliling kerana boleh memberikan sedikit petunjuk berkenaan kualiti kesihatan kita. Semoga bermanfaat! Jemput baca juga artikel petua tambah selera makan anak dan keburukan makanan segera

Rujukan

  1. Fysekidis, M., Bouchoucha, M., Mary, F., Airinei, G., Bon, C., & Benamouzig, R. (2018). Change of appetite in patients with functional digestive disorder. Association with psychological disorders: A cross‐sectional study. Journal of gastroenterology and hepatology33(1), 195-202. (link)
  2. Kalantar-Zadeh, K., Block, G., McAllister, C. J., Humphreys, M. H., & Kopple, J. D. (2004). Appetite and inflammation, nutrition, anemia, and clinical outcome in hemodialysis patients. The American journal of clinical nutrition80(2), 299-307. (link)
  3. Maxwell, M. A., & Cole, D. A. (2009). Weight change and appetite disturbance as symptoms of adolescent depression: Toward an integrative biopsychosocial model. Clinical psychology review29(3), 260-273. (link)
  4. Yaturu, S., Prado, S., & Grimes, S. R. (2004). Changes in adipocyte hormones leptin, resistin, and adiponectin in thyroid dysfunction. Journal of cellular biochemistry93(3), 491-496. (link)

 

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.