Nak tahu kelebihan latihan squat.

Semua wanita inginkan bentuk tubuh yang cantik, mantap dan solid. Tanpa perlu menggunakan sebarang alatan dan makan supplement kesihatan, anda boleh dapatkan bentuk badan yang cantik.

Yang penting, anda perlulah rajin buat latihan squat. Squat adalah salah satu teknik senaman kardio yang memerlukan anda mencangkung. Bukan cangkung cara biasa ye! Untuk buat squat, anda perlu tahu teknik yang betul. Kalau nak lebih faham, tonton video pada pautan ni:

YouTube video

Dalam artikel ni, kami akan berkongsi kelebihan latihan squat terutamanya bagi wanita. Tak kiralah anak dara ke, suri rumah ke atau wanita bekerjaya. Anda semua berhak untuk mendapat tubuh yang cantik. Malah, latihan squat ni juga bagus untuk kesihatan tau!

Bagi yang tak biasa buat atau baru pertama kali cuba, anda mesti berasa susah dan sakit. Sebelum menyerah kalah, ambil tahu dulu sama ada teknik yang anda buat tu betul atau tak. Jika dah biasa nanti, di mana-mana pun boleh lakukan latihan ni.

Sebelum mulakan apa-apa jenis senaman, kita perlu buat warm up dulu. Jangan terus bersenam kerana ia akan mengejutkan badan, memberi tekanan dan seterusnya anda akan berasa sakit selepas beberapa hari.

Sebagai permulaan, lakukan latihan ni sedikit dulu. Mungkin sebanyak 10 hingga 15 kali ikut keselesaan masing-masing. Jangan paksa otot untuk bekerja dengan keras. Lama-kelamaan anda akan berasa selesa. Bila dah nampak hasil, ketagih pula jadinya nanti.

Jom baca kelebihan latihan squat.

Kelebihan Latihan Squat

#1 Memantapkan Bentuk Pinggul dan Punggung

Jika dengar perkataan squat, perkara pertama yang terlintas dalam kepala ialah punggung yang pejal dan pinggul yang bulat. Tak nafikan, hasil melakukan senaman squat yang konsisten boleh memantapkan bentuk di kedua-dua anggota badan tersebut.

Bila buat latihan squat, bahagian utama yang akan nampak hasilnya memang punggung dan pinggul. Sebenarnya bukan ni saja kelebihan squat, ada banyak lagi yang ramai tak tahu.

#2 Pembinaan Otot Di Seluruh Badan

Walaupun latihan squat memfokuskan pergerakan kaki dan punggung, namun ia juga berkesan untuk membina otot di bahagian-bahagian lain tubuh. Senaman ni begitu ‘berkuasa’ hingga mampu membantu rembesan hormon yang penting untuk pertumbuhan tisu otot.

#3 Selamat Tinggal Selulit

Perasan tak di bahagian perut, pinggul, punggung, bawah lengan dan peha ada permukaan seperti kulit oren. Itulah namanya selulit. Ia merupakan pengumpulan lemak yang sukar disingkirkan.

Namun, selulit boleh dihilangkan dengan latihan squat yang konsisten. Bagi yang ada masalah ni, tak perlu rasa rendah diri lagi. Tanpa kos yang tinggi, anda boleh buat squat di mana-mana tanpa kira masa.

#4 Melancarkan Peredaran Darah

Dikatakan bahawa regangan ketika melakukan squat dapat mengepam darah ke seluruh tubuh dengan lebih lancar dan efisyen. Apabila perjalanan darah menjadi lancar, lebih banyak nutrien dan oksigen akan sampai ke organ-organ yang penting.

#5 Bantu Proses Penghadaman

Latihan squat dikatakan mampu membantu proses penghadaman yang baik dengan menyingkirkan bahan buangan. Apabila otot bertindak balas terhadap latihan squat ni, ia dapat memperbaiki aliran cecair di dalam badan. Jadinya, proses pembuangan melalui usus juga menjadi lebih lancar.

#6 Mudah Dilakukan Tanpa Sebarang Peralatan

Kadang-kadang yang buat kita malas nak bersenam ialah terpaksa ke gimnasium, nak beli peralatan pun mahal dan susah nak simpan. Ada pula tak cukup masa sebab sibuk dengan urusan harian. Tapi tak bagi latihan squat.

Latihan ni boleh dibuat di mana-mana pun dan pada bila-bila masa. Nak buat squat di dapur pun boleh, masa sedang kemas rumah pun boleh. Jangan buat dalam tandas pula ye!

#7 Menguatkan Lutut

Bagi orang yang masih muda lagi, senaman squat boleh menguatkan otot lutut. Apabila kita melentur dan meregangkan lutut, lebih banyak oksigen dan darah mengalir di sekitar sendi.

Jika diamalkan dari usia muda, anda boleh kurangkan risiko sakit lutut pada usia tua nanti. Squat dapat membantu untuk menjaga dan menguatkan lutut.

#8 Bagus untuk Masalah Punggung dan Buku Lali Lemah

Kebanyakan senaman yang berimpak tinggi memberi tekanan pada bahagian belakang tubuh. Malahan, senaman tersebut juga memberi tekanan yang tinggi pada lutut dan pergelangan kaki.

Jangan risau. Squat ialah latihan yang berimpak rendah dan tak mendatangkan tekanan serta kecederaan pada bahagian lain. Ia sangat baik untuk orang yang mempunyai masalah punggung dan buku lali yang lemah.

#9 Menurunkan Berat Badan

Biasanya kita bersenam selain untuk memantapkan bahagian yang diingini, untuk nampak kurus dah tentu tujuan utama. Latihan squat dapat membakar lemak. Disebabkan latihan squat dapat membina otot, ia dapat membantu meningkatkan metabolisme.

Anda bukan saja dapat tubuh badan yang diingini, mengekalkan kesihatan dan tetap cergas, tetapi juga dapat turunkan berat badan.

#10 Membetulkan Postur Tubuh

Apabila buat latihan squat, perkara pertama yang perlu dibuat ialah berdiri tegak. Teknik yang betul akan dapat memperbaiki postur tubuh dan membina keseimbangan tubuh yang lebih baik.

Bagi mereka yang mempunyai tubuh yang sedikit membongkok, latihan ni amat berkesan. Ia dapat menguatkan otot belakang dan mengelakkan sakit belakang. Lama-kelamaan, postur tubuh akan menjadi lebih lurus dan tak lagi membongkok.

Kesimpulannya, squat ialah senaman yang sangat mementingkan teknik. Apabila salah teknik, ia akan menyebabkan kecederaan di bahagian lutut dan pinggul. Akhirnya, anda akan berasa bosan, trauma dan malas. Buat ikut kemampuan dan jangan mengharapkan hasil yang pantas sehingga memberi tekanan pada tubuh.

Lakukan squat dengan perasaan seronok dan rasa ingin berubah pada gaya hidup yang lebih sihat. Set dalam minda bahawa latihan squat perlu dinikmati tanpa bebanan emosi. Yang paling penting pelajari teknik yang betul, berdisiplin dan konsisten. Semoga anda menyukai artikel kelebihan latihan squat ini.

Semoga bermanfaat.

Rujukan

http://www.ezdiet.com.my/blog/faedah-faedah-squats/

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.