Jika sebelum ini kita biasa dengar perihal penyakit darah tinggi atau hipertensi, masalah darah rendah yang juga dikenali sebagai hipotensi turut menjadi ancaman kesihatan.

Jom ketahui punca darah rendah dengan terus membaca artikel ini untuk dijadikan panduan kesihatan bersama.

Pengenalan

Tekanan darah yang normal adalah pada kadar 120/80 mm Hg untuk tekanan sistolik dan distolik apabila diperiksa menggunakan alat tekanan darah pada bahagian lengan atas.

Julat tekanan darah yang normal pula biasanya ialah 90/60 mm Hg hingga 140/90 mm Hg. Sebarang perubahan pada bacaan tersebut yang agak besar nilainya, menunjukkan ketidakstabilan tekanan darah.

Khusus untuk keadaan darah rendah, tekanan darah menjadi perlahan untuk dipam ke jantung dan seluruh tubuh.

Hal ini bakal memberikan banyak komplikasi kesihatan kerana darah diperlukan oleh satu badan kita bagi menjalankan tugas fisiologi atau aktiviti sistem badan yang sihat.

Antara gejala atau kesan darah rendah ialah:

  • Pucat
  • Pengsan
  • Berdebar-debar
  • Mata berpinar
  • Pandangan kabur
  • Pening
  • Kelesuan dan lemah badan
  • Menggigil atau rasa sejuk badan
Imej via Bidadari

Ortostatik Hipotensi

Terdapat satu keadaan darah rendah yang dikenali sebagai ortostatik hipotensi (OH) yang merupakan perubahan penurunan darah yang mendadak apabila seseorang berubah kedudukan;

cuba bangun selepas duduk dengan penurunan sekurang-kurangnya 20 mm Hg untuk tekanan sistolik dan 10 mm Hg untuk tekanan distolik, dalam tempoh 1 minit ATAU kegagalan cubaan berdiri secara sendiri selama 3 minit.

Menurut kajian Perlmuter et al. pada tahun 2013, keadaan OH ini lebih mudah menyerang wanita berbanding lelaki dengan nisbah risiko 4:1 dan bermula seawal usia 35 tahun.

Dalam ulasan kajian tersebut juga, keadaan ortostatik hipotensi ini dikaitkan dengan sistem saraf seseorang yang bermasalah.

Punca Darah Rendah

Berikut merupakan beberapa punca darah rendah yang perlu dipandang serius memandangkan masalah tekanan darah rendah sangat mengancam kesihatan sehingga boleh membawa maut.

Senarai ini merupakan ringkasan daripada hasil ulasan kajian saintifik sekumpulan penyelidik dari Perancis pada tahun 2017 yang diterbitkan di jurnal Néphrologie & Thérapeutique.

1. Ubatan

Imej via Bidadari

Lazimnya, ubatan untuk merawat penyakit darah tinggi atau hipertensi boleh memberi risiko keadaan punca darah rendah.

Selain itu, ubatan seperti pelali (sedatif), hipnotik, NSAID, anti kemurungan dan ubatan yang berkaitan dengan rawatan penyakit saraf atau mental turut menyumbang kepada keadaan tekanan darah rendah.

2. Masalah Saraf

Hampir 10% kes darah rendah yang dilaporkan dikaitkan dengan sistem saraf yang bermasalah.

Keadaan ini banyak dilaporkan bagi mereka yang menghidapi penyakit berkaitan saraf seperti Parkinson dan dementia (nyanyuk).

Keadaan darah rendah ini bertambah teruk dengan pengambilan ubatan untuk merawat penyakit-penyakit tersebut.

3. Diabetes atau Kencing Manis

Penyakit diabetes merupakan keadaan kandungan gula yang tidak terkawal dalam tubuh.

Di negara-negara maju, pesakit diabetes sering melaporkan masalah darah rendah. Punca darah rendah ini bertambah teruk bagi pesakit yang mempunyai diabetes yang tidak terkawal.

4. Kekurangan vitamin B12

Imej via Bidadari

Terdapat laporan kajian lepas yang membuktikan perhubungan antara kekurangan vitamin B12 dengan punca darah rendah.

Kajian tersebut melihat kesan perubahan tekanan darah dalam kalangan pesakit yang lebih berusia apabila diberikan diet pemakanan B12 yang mencukupi.

Antara cadangan makanan yang kaya dengan kandungan B12 ialah:

  • ikan
  • daging
  • susu
  • telur
  • soya
  • yoghurt
  • ayam
  • hati
  • kerang

5. Masalah Jantung

Jantung merupakan organ yang bertanggungjawab mengepam darah dari paru-paru ke seluruh badan untuk digunakan.

Sekiranya seseorang itu mempunyai masalah jantung, tekanan darah yang dipam akan berkurangan lalu menjadi punca darah rendah yang boleh mengganggu produktiviti harian sehingga boleh mengancam nyawa.

Antara masalah jantung yang boleh menjadi punca darah rendah ialah:

  • jantung berlubang
  • keradangan pada jantung
  • masalah injap jantung
  • jantung berlubang
  • serangan sakit jantung

6. Jangkitan Kuman yang Teruk atau Sepsis

Sepsis merupakan keadaan jangkitan kuman ke atas organ atau sistem tubuh manusia yang boleh menjadi punca darah rendah.

Keadaan yang dipanggil sebagai septic shock akibat jangkitan kuman ini sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan tekanan darah yang sangat rendah dan membawa maut.

Antara contoh jangkitan teruk yang boleh menjadi punca darah rendah ialah:

  • jangkitan pada organ paru-paru
  • kencing kotor apabila berlaku jangkitan saluran air kencing
  • jangkitan permukaan kulit
  • kuman dalam darah

7. Ketidakstabilan Hormon

Masalah pada sistem endokrin tubuh akan menyebabkan gangguan paras hormon atau pengeluaran hormon yang tidak mencukupi atau bersesuaian untuk menjalankan fungsi tubuh secara optimum.

Selain itu, masalah ketidakstabilan hormon akan menyebabkan keadaan kesihatan seperti diabetik ketoasidosis (kandungan gula yang terlalu tinggi dalam tubuh) atau penyakit Addison (kandungan garam yang rendah dalam tubuh),

seterusnya akan menyebabkan berlakunya punca darah rendah.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, terdapat 7 punca darah rendah, seperti ubatan yang diambil, masalah saraf, penyakit kencing manis, kekurangan vitamin B12, masalah jantung, jangkitan kuman yang teruk dan gangguan sistem endokrin yang menyebabkan ketidakstabilan hormon.

Masalah tekanan darah perlu diberi perhatian yang serius dan cuba dicegah bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti pengsan, koma dan kematian.

Amalan gaya hidup sihat dengan aktiviti fizikal dan diet makanan yang seimbang adalah sangat digalakkan.

Namun, penulis ingin menegaskan kepada para pembaca untuk mendapatkan pandangan doktor perubatan yang bertauliah bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan punca darah rendah, lebih-lebih lagi jika anda ingin mencari langkah rawatan yang bersesuaian.

Jemput juga baca artikel tentang:

Rujukan

  1. Joseph, A., Wanono, R., Flamant, M., & Vidal-Petiot, E. (2017). Orthostatic hypotension: a review. Néphrologie & Thérapeutique13, S55-S67. (link)
  2. Perlmuter, L. C., Sarda, G., Casavant, V., & Mosnaim, A. D. (2013). A review of the etiology, asssociated comorbidities, and treatment of orthostatic hypotension. American journal of therapeutics20(3), 279-291. (link)
  3. Wieling, W., Krediet, C. P., Van Dijk, N., Linzer, M., & Tschakovsky, M. E. (2007). Initial orthostatic hypotension: review of a forgotten condition. Clinical science112(3), 157-165. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.