Fungus atau kulat sepertimana bakteria boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan jangkitan penyakit. Ketahui punca fungus berdasarkan ringkasan kajian saintifik yang dilaporkan dengan terus membaca artikel ini.

Pengenalan

Fungus merupakan salah satu kelas kumpulan organisma hidup di dunia ini selain animalia (haiwan), plantae (tumbuhan) dan bakteria.

Julat saiz dan bentuk fungus adalah sangat luas daripada sekecil yis yang hanya boleh dilihat melalui mikroskop sehinggalah kepada cendawan spesis Armilla ostoyae atau dikenali sebagai cendawan madu (honey mushroom) yang berukuran 5.5 km tumbuh meliputi di kawasan Oregon, Amerika Syarikat!

Fungus berbeza daripada bakteria kerana mempunyai struktur dan sistem sel yang lebih lengkap dan kompleks berbanding bakteria yang terdiri daripada sel organel ringkas.

Malah, sistem sel fungus adalah lebih kurang dengan tumbuh-tumbuhan, namun, fungus tidak boleh membuat makanannya sendiri seperti tumbuhan yang mempunyai kloroplas untuk menghasilkan makanan sendiri menggunakan proses fotosintesis.

Sumber utama makanan fungus ialah dengan menguraikan bahan organik yang berada di persekitaran seperti pada kayu reput, bangkai haiwan atau menumpang hidupan lain.

Oleh itu, fungus merupakan pengurai utama dalam sistem rantaian makanan yang sangat penting bagi mengurangkan saiz sisa bahan organik yang telah mati di dunia ini.

Imej via Bidadari

Jenis Fungus yang Menyerang Manusia

Menurut sekumpulan penyelidik dari India yang menerbitkan kajian mereka di Journal of Pharmacy and Bioallied Sciences pada tahun 2010, terdapat 3 jenis bentuk fungus yang mendatangkan mudarat atau penyakit kepada manusia, iaitu:

1. Yis – berbentuk bulat/oval dan membiak secara penunasan

2. Lumut (mold) – dilihat secara mikroskop mempunyai struktur yang panjang dan bertiub yang dipanggil hyphae, membiak secara penyebaran struktur seperti spora pada hujung hyphae yang dipanggil conidia

3. Dimorf – paling banyak menjangkiti manusia menyebabkan masalah kesihatan dan penyakit, uniknya boleh berubah daripada yis kepada lumut dan sebaliknya, boleh tumbuh di persekitaran sebagai lumut dan menjadi yis apabila memasuki tubuh manusia

Fungus boleh mengeluarkan toksin, namun sebenarnya bukanlah punca sebenar yang menyebabkan penyakit kepada manusia.

Saiz fungus (50-100 kali lebih besar daripada bakteria) yang hidup dalam sistem manusia itu sendiri menyebabkan gangguan masalah kesihatan dan juga penghasilan bahan kumuhan fungus telah menghalang respon sistem imun badan untuk melindungi tubuh manusia.

Imej via Bidadari

Faktor yang Menggalakkan Pertumbuhan atau Jangkitan Fungus

Menurut American Journal of Infectious Diseases and Microbiology, kajian Ramana et al. pada tahun 2013 telah menggariskan beberapa faktor yang memburukkan lagi atau meninggikan risiko jangkitan punca fungus, iaitu:

  • Jangkitan virus sedia ada seperti HIV
  • Penyakit TB
  • Kehadiran sel tumor dan barah
  • Pesakit yang menjalani pemindahan transplan organ
  • Kemalangan teruk
  • Mangsa kebakaran teruk
  • Pembedahan
  • Pendedahan kepada kawasan berhabuk
  • Masalah asma dan lelah
  • Penggunaan terapi steroid
  • Lanjut usia

Punca Fungus

Pada tahun 2006, pakar mikrobiologi dari Agensi Perlindungan Kesihatan, UK telah menyenaraikan beberapa fungus yang menjadi punca kepada penyakit dan bertindak sebagai patogen(agen) penyakit, antaranya:

  • Candida spp.
  • Cryptococcus spp.
  • Aspergillus spp.
  • Fusarium spp.
  • Scedosporium spp.
  • Penicillium spp.
  • Zygomucetes

Punca Kehadiran Organisma Fungus

Candida spp.

Jangkitan akibat kehadiran yis jenis Candida yang dikenali sebagai candidiasis menyebabkan kematian dalam setiap 1 daripada 4 kes yang dilaporkan.

Secara normalnya, yis ini boleh dijumpai di atas permukaan kulit dan saluran penghadaman manusia pada kadar yang tidak membahayakan kesihatan.

Kerintangan yis ini yang tinggi terhadap pelbagai spektrum ubatan antikulat menyebabkan jangkitan Candida adalah sangat bahaya.

Antara punca fungus ini merebak atau hidup dengan koloni yang banyak ialah:

  • Kegagalan buah pinggang
  • Sejarah jangkitan yis sebelum ini
  • Penggunaan agen antibakteria
  • Jangkitan berlaku sebelum menjalani pembedahan dilakukan
  • Kemasukan alat central venous catheter
  • Makan makanan yang dijangkiti yis tersebut

Cryptococcus spp.

Jangkitan cryptococcosis biasanya berlaku disebabkan penyedutan udara yang tercemar dengan kehadiran fungus tersebut.

Antara gejala jangkitan fungus ini ialah keradangan paru-paru, batuk, demam dan meningitis.

Jangkitan fungus ini akan lebih teruk dilihat dalam kalangan pesakit HIV dan mereka yang menjalani pemindahan penerimaan transplan organ.

Aspergillus spp.

Spesis fungus ini merupakan jenis lumut yang paling banyak dijumpai dan bersifat patogenik mendatangkan penyakit kepada manusia.

Antara gejala jangkitan fungus ini ialah:

  • Aspergillosis (gangguan sistem pernafasan)
  • Tracheobronchitis (keradangan pada bahagian trakea dan bronki pada paru-paru)
  • Aspergilloma (ketumbuhan bebola kulat dalam paru-paru)
  • Kerosakan tisu pada sistem pernafasan

Di samping itu, jangkitan punca fungus ini bertambah tinggi risikonya dalam kalangan pesakit seperti berikut:

  • Pemindahan transplan tulang sum sum
  • Penerima transplan organ paru-paru dan jantung
  • Terapi steroid
  • Pesakit AIDS

Jangkitan lain-lain fungus

Jangkitan fungus lain boleh berlaku semasa pesakit dalam keadaan neutropenik iaitu keadaan bilangan sel darah putih yang rendah, sehinggalah setelah keadaan neutropenik sekalipun.

Punca fungus ini juga boleh menjangkiti kawasan yang telah diserang oleh fungus Aspergillus.

Kesimpulan

Sebagaimana bakteria boleh dirawat dengan antibakteria, agen antikulat seperti amphotericin B, fluconazole dan itraconazole digunakan sebagai alternatif membasmi fungus.

Jangkitan fungus lebih tinggi risikonya dalam kalangan mereka yang menjalani pembedahan transplan organ dan pesakit yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah.

Di samping itu, persekitaran yang sentiasa dibersihkan dan kemas perlulah diamalkan bagi mengurangkan pertumbuhan fungus yang boleh mendatangkan mudarat kesihatan.

Jemput juga baca artikel tentang:

Rujukan

  1. Enoch, D. A., Ludlam, H. A., & Brown, N. M. (2006). Invasive fungal infections: a review of epidemiology and management options. Journal of medical microbiology55(7), 809-818. (link)
  2. Jain, A., Jain, S., & Rawat, S. (2010). Emerging fungal infections among children: A review on its clinical manifestations, diagnosis, and prevention. Journal of Pharmacy and Bioallied Sciences2(4), 314. (link)
  3. Rao, S. D. (2013). Invasive fungal infections: a comprehensive review. American Journal of Infectious Diseases1(4), 64-69. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.