9 Punca Haid Tidak Teratur Mengikut Kajian
Bagi golongan wanita, kitaran haid yang tidak teratur boleh mengganggu urusan seharian dan perancangan tertentu. Kadang-kadang, boleh memberi kesan…

Nota: artikel ini mungkin mengandungi pautan afiliasi. Bidadari.my mungkin memperoleh komisen kecil tanpa kos tambahan kepada anda.
Bagi golongan wanita, kitaran haid yang tidak teratur boleh mengganggu urusan seharian dan perancangan tertentu. Kadang-kadang, boleh memberi kesan psikologi dan emosi apabila memikirkan punca haid tidak teratur. Ayuh teruskan bacaan artikel ini untuk lebih mengetahui mengenai punca haid tidak teratur.
Pengenalan
Kitaran haid atau menstruasi yang normal ialah setiap 24 hingga 35 hari sekali. Tempoh masa 3 hingga 7 hari sebulan sekali merupakan kitaran yang dianggap normal. Haid merupakan tempoh penyingkiran dinding rahim (endometrium) dan telur ovum yang tidak disenyawakan yang keluar melalui vagina alat sulit wanita. Jumlah isipadu darah haid yang keluar pula ialah sebanyak lebih kurang 80 ml. Seseorang wanita dianggap mengalami kitaran haid yang tidak normal atau tidak teratur apabila mereka datang haid secara kerap dalam sebulan atau lewat beberapa bulan daripada tempoh yang sepatutnya. Masalah kesihatan yang boleh dihadapi seseorang sekiranya mempunyai kitaran haid yang tidak teratur ialah:
- Mempengaruhi tahap kesuburan
- Risiko kanser rahim
- Sindrom polisistik ovari (PCOS)
- Pembentukan ketumbuhan cyst
- Polip rahim
- Osteoporosis
- Masalah jantung kongenial
Secara umumnya, masalah kitaran haid tidak teratur ini dialami oleh para wanita di seluruh dunia dengan kadar peratusan 5 - 36.5% bergantung kepada usia, pekerjaan dan negara.

Imej via Bidadari
Punca Haid Tidak Teratur
Sekumpulan penyelidik dari Padang, Indonesia ada menerbitkan kertas kajian berkaitan punca haid tidak teratur pada tahun 2019. Berikut merupakan antara faktor kitaran haid tidak normal:
1. Pemakanan yang Tidak Seimbang Tinggi Lemak
Kajian tersebut mendapati bahawa pengambilan diet yang tidak seimbang seperti tinggi lemak dan makanan proses telah mengakibatkan kitaran haid yang tidak tetap. Secara saintifiknya dibincangkan, kandungan lemak tinggi tersebut mengganggu penghasilan hormon estrogen dan progesteron yang mengawal kitaran haid seseorang.
2. Kekurangan Vitamin C
Responden yang mengakui kurang mendapatkan makanan dan sumber vitamin C melalui buah dan sayur, telah menunjukkan trend kitaran haid yang tidak teratur. Selain bertujuan untuk menguatkan sistem imun tubuh, vitamin C diperlukan oleh sistem tubuh bagi membantu penyerapan zat besi. Vitamin C juga penting untuk memindahkan zat besi dari plasma transferin ke feritin hati. Keseimbangan selular ini adalah penting untuk mencapai kestabilan hormon bagi kitaran hadi yang teratur.
3. Masalah Obesiti dan Kegemukan
Kandungan lemak yang tinggi dalam kalangan mereka yang mengalami obesiti telah mengganggu penghasilan hormon estrogen. Malah, dilaporkan bahawa mereka yang obesiti mempunyai lebih tinggi risiko masalah haid tidak teratur berbanding mereka yang mempunyai BMI yang normal.
4. Kekurangan Berat Badan
Sementara itu, mereka yang mempunyai berat badan yang kurang atau underweight turut menjadi punca haid tidak teratur. Penghasilan hormon memerlukan kehadiran sel lemak yang diperlukan bagi proses ovulasi dan menstruasi.
5. Stres Tekanan Hidup
Punca haid tidak teratur yang seterusnya ialah stres atau tekanan perasaan yang dialami. Dalam keadaan tertekan akibat masalah seperti perhubungan, keluarga, pelajaran, beban kerja dan sebagainya, hormon kortisol dihasilkan tubuh sebagai isyarat badan sedang mengalami tekanan. Namun, kehadiran hormon kortisol ini telah menyebabkan gangguan keseimbangan hormon dalam tubuh. Malahan, kortisol berupaya menghalang proses ovulasi dan melambatkan kitar menstruasi.
6. Penyakit
Penyakit atau masalah kesihatan seseorang turut mempengaruhi kitaran haid yang tidak teratur. Maka, kualiti kesihatan wanita boleh dinilai berdasarkan kitaran haid mereka, secara amnya. Antara penyakit yang sering dikaitkan dan memainkan peranan dalam mengganggu kitaran haid ialah endometriosis dan kencing manis.
7. Ubatan
Pengambilan ubatan moden sedikit sebanyak akan mempengaruhi keseimbangan hormon dalam tumbuh dan mengganggu sistem peranakan seseorang. Antara jenis ubatan yang dilaporkan mempunyai kesan sampingan ke atas kitaran haid seseorang ialah ubatan yang berkait dengan masalah kemurungan dan antiandrogen.
8. Merokok atau Perokok Pasif
Asap rokok sama ada dihisap secara terus atau terdedah kepada asap rokok (perokok pasif) boleh menyebabkan keadaan hipoestogenik atau kekurangan hormon estrogen. Tambahan pula, menurut kajian para penyelidik dari Korea Selatan pada tahun 2018, aktiviti merokok mahupun perokok pasif boleh mempercepatkan proses menopause atau putus haid.
9. Kekurangan Tidur
Selain itu, kurang tidur yang berkualiti iaitu 6 - 8 jam sehari boleh menjadi punca kitaran haid tidak teratur. Kajian lepas melaporkan bahawa individu yang tidak mendapat tidur yang mencukupi cenderung untuk mengalami gangguan hormon yang mengganggu kitaran haid. Punca ini turut dikaitkan dengan gaya hidup seseorang yang perlu diubah bagi mendapatkan tidur yang mencukupi dengan melakukan senaman fizikal, pemakanan sihat, kurangkan tekanan hidup dan menyediakan tempat tidur yang kemas dan bersih.
Kesimpulan
Antara punca haid tidak teratur ialah diet makanan tinggi lemak, kekurangan vitamin C, masalah obesiti, kurang berat badan. tekanan hidup, penyakit, ubatan, aktiviti merokok dan tidak mendapat tidur yang berkualiti. Oleh itu, bersama-samalah mengubah gaya hidup yang lebih sihat bagi mengelakkan lebih banyak ancaman kesihatan. Pakar sakit puan atau gynecologist juga boleh dirujuk bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan yang lebih tepat. Jemput juga baca artikel punca haid tidak teratur dan perbezaan darah haid dan istihadah
Rujukan
- Bae, J., Park, S., & Kwon, J. W. (2018). Factors associated with menstrual cycle irregularity and menopause. BMC women’s health, 18(1), 36. (link)
- Kwak, Y., Kim, Y., & Baek, K. A. (2019). Prevalence of irregular menstruation according to socioeconomic status: A population-based nationwide cross-sectional study. PloS one, 14(3), e0214071. (link)
- Lim, H. S., Kim, T. H., Lee, H. H., Park, et al. (2018). Fast food consumption alongside socioeconomic status, stress, exercise, and sleep duration are associated with menstrual irregularities in Korean adolescents: Korea National Health and Nutrition Examination Survey 2009-2013. Asia Pacific journal of clinical nutrition, 27(5), 1146. (link)
- Lestari, M., & Amal, F. (2019). Faktor-Faktor Yang Berhubungan Dengan Siklus Haid Tidak Teratur Pada Mahasiswi Kebidanan Poltekkes Kemenkes Jayapura. Jurnal Sehat Mandiri, 14(2), 57-63. (link)