Masalah gigi rosak bukan saja berlaku dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Gigi bukan saja berfungsi untuk menggigit dan mengunyah makanan tetapi juga menyerlah kecantikan seseorang.

Jika gigi rosak dan rongak di sana sana sini pastinya akan mencacatkan penampilan. Oleh itu, kita perlulah menjaga gigi sebagaimana anggota tubuh yang lain. Persoalannya, bagaimana gigi kita menjadi rosak sedangkan kita selalu memberus gigi setiap pagi?

Jom kita bincangkan topik gigi rosak dari aspek punca, gejala, rawatan dan tips. Sebelum itu, marilah kita fahamkan dulu maksud kerosakan gigi.

Apa Maksud Gigi Rosak?

Gigi yang rosak atau nama lainnya karies berlaku apabila gigi berlubang (kaviti). Ia boleh berlaku pada gigi susu atau gigi kekal. Salah satu petanda utama gigi berlubang ialah makanan akan mudah tersangkut pada celahan lubang.

Kadangkala, gigi akan terasa sakit dan ngilu. Apabila gigi rosak, kita boleh mendapat jangkitan kuman yang akan memberikan kemudaratan kepada gigi dan juga tubuh badan.

Terdapat 4 jenis kerosakan gigi, iaitu:

a Kerosakan pada bahagian lapisan enamel.

b. Kerosakan pada bahagian lapisan enamel dan dentin.

c. Kerosakan yang merebak ke dalam lapisan pulpa.

d. Kerosakan pada akar gigi.

Punca Gigi Rosak

Banyak bakteria terdapat di dalam mulut. Ia sentiasa terbentuk di bahagian atas permukaan gigi. Lapisan nipis yang terbentuk ini dipanggil plak. Plak bersifat melekit, tidak berwarna dan melekat pada celah-celah gigi, bahagian tampalan, gigi palsu dan korona.

Tahukah anda sebenarnya plak gigi bukannya sisa makanan yang terlekat pada gigi? Tanggapan ini perlu diubah oleh kita. Plak ini mempunyai anggaran lebih daripada 1000 spesis bakteria.

Manakala kalkulus ialah tartar yang disebabkan oleh plak yang mengeras dan sukar dibersihkan. Apabila kalkulus terbentuk, iaitu biasanya di bahagian gigi belah dalam, sukar untuk kita memberus dan menggunakan flos.

Akibatnya permukaan gigi menjadi lebih kasar dan lebih banyak plak yang akan terperangkap di kawasan itu. Disebabkan plak terbentuk di luar badan manusia, bakteria tidak terjejas dengan penggunaan antibiotik, agen antibakteria dan sistem ketahanan badan.

Apabila kita makan, bakteria yang terdapat pada plak akan bertindak balas dengan gula yang ada di dalam makanan tersebut. Proses ini akan menghasilkan asid. Asid inilah yang akan merosakkan gigi.

Asid yang terhasil akan bertindak ke atas permukaan gigi dan melembutkannya. Proses tindak balas ini dikenali sebagai demineralisasi. Jika asid ini tidak dineutralkan, proses demineralisasi yang berterusan akan merosakkan gigi

Akhirnya, lubang akan terbentuk pada gigi. Malahan, jika plak tidak dibersihkan, ia juga akan menyebabkan penyakit gusi dan nafas berbau.

Kawasan gigi yang mudah mengalami kerosakan ialah di celah-celah gigi depan dan belakang. Selain itu, kawasan gigi yang berlapis dan di permukaan gigi geraham juga mudah rosak.

Gejala Gigi Rosak

Terdapat beberapa gejala yang menunjukkan terdapat tanda-tanda gigi rosak. Antaranya ialah:

a. Warna gigi menjadi berubah sama ada terbentuknya bintik putih atau hitam.

b. Terdapat liang-liang kecil pada permukaan gigi.

c. Apabila makan, makanan mudah melekat pada lubang.

d. Terdapat lubang yang mungkin agak ketara dan ada yang sukar dilihat.

e. Gigi menjadi sensitif iaitu rasa sakit dan ngilu apabila minum air panas atau sejuk.

Rawatan Gigi Rosak

Rawatan bagi mengatasi masalah gigi rosak bergantung pada jenis kerosakan. Ia juga akan ditentukan berdasarkan keadaan dan tahap kerosakan. Jenis rawatan yang bersesuaian akan diberikan oleh doktor gigi yang bertauliah selepas gigi diperiksa.

#1 Kerosakan pada lapisan enamel

Biasanya tidak sakit. Kerosakan struktur gigi sukar dilihat dengan mata kasar. Rawatan yang akan dilakukan ialah pencegahan melalui sapuan bahan fluorida. Jika ada lubang agak ke atas, tampalan mudah akan dibuat.

#2 Kerosakan pada lapisan enamel dan dentin

Biasanya akan terasa sakit dan ngilu ketika makan atau berkumur. Pada peringkat ini, lubang kelihatan lebih dalam dan ketara. Rawatan yang sesuai ialah tampalan dengan kadar segera.

#3 Kerosakan pada lapisan pulpa

Bagi kerosakan yang melibatkan lapisan pulpa, pesakit akan mengalami sakit yang teruk dan terasa berdenyut. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, akan menyebabkan jangkitan kuman hingga ke akar gigi. Ini menyebabkan gusi bernanah.

#4 Kerosakan pada akar gigi

Jika jangkitan sudah merebak ke akar, gigi akan mati. Oleh itu, rawatan salur akar dan tampalan seterusnya perlu dibuat. Jika banyak gigi yang rosak, korona baru perlu dibuat.

Tips Atasi Gigi Rosak

Di sini, penulis akan kongsikan beberapa tips untuk mengatasi kerosakan gigi atau untuk mengelak keadaan menjadi semakin melarat. Ingat lebih baik mencegah daripada merawat.

a. Jika anda rasa makanan mudah tersangkut pada bahagian gigi, segera ke klinik gigi untuk dapatkan nasihat dan rawatan.

b. Jangan lupa memberus gigi setiap kali selepas makan atau sebelum tidur.

c. Buatlah pemeriksaan gigi secara berkala iaitu sekurang-kurangnya setahun sekali di klinik kerajaan atau swasta.

d. Pastikan anda menggunakan ubat gigi berfluorida untuk menguatkan gigi.

e. Pada bahagian-bahagian yang sukar dibersihkan seperti di celah-celah gigi, gunakan flos.

f. Gunakan berus yang berkualiti dengan cara yang berkesan.

g. Menggunakan alat pembersihan tambahan yang disyorkan oleh doktor gigi seperti ubat kumur dan interdental brush.

h. Untuk hilangkan plak yang menjadi kalkulus, segera ke klinik gigi untuk buat penskaleran.

i. Ajar anak-anak dari kecil cara menggosok gigi dengan betul.

j. Jaga pemakanan harian dengan mengurangkan makanan dan minuman yang bergula atau berkanji.

Diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada kita tentang penjagaan gigi yang berkesan. Hargailah kurniaan Allah ini dengan sebaik-baiknya. Jika ada masalah, segera berjumpa dengan doktor gigi.

Yang paling penting jangan sesekali membeli produk rawatan gigi yang dijual secara online tanpa nasihat doktor gigi. Dikhuatiri terdapat bahan kimia terlarang di dalam produk-produk tersebut yang akan memberi kemudaratan.

Rujukan

http://www.myhealth.gov.my/karies-gigi/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.