Mencari khasiat cuka epal? Tahukah anda selain khasiat untuk diet kesihatan, berkesan juga untuk kurus dan kecantikkan diri. Nak tahu? Kenalah terus membaca.

Cuka epal atau dikenali juga sebagai apple cider vinager (ACV) adalah sejenis cuka yang diperbuat daripada epal, kebiasannya epal merah. Cuka epal menjadi amalan penduduk benua Amerika Utara sejak dahulu lagi. Tetapi kini, amalan cuka epal sudah tersebar hampir ke seluruh benua termasuk benua Asia. Tidak terkecuali di negara kita, Malaysia.

Sejak tahun 1970, pelbagai dakwaan tular mengenai kebaikan cuka epal. Ada yang menyatakan cuka epal mampu menurunkan berat badan, menguatkan imunisasi untuk melawan penyakit dan pelbagai lagi kebaikan untuk kesihatan. Namun, tiada satu bukti saintifik yang dapat menyokong dakwaan tersebut yang lebih dianggap sebagai petua turun-temurun sahaja.

Namun kini, beberapa kajian sains telah dijalankan untuk membuktikan kebaikan cuka epal kepada kesihatan manusia.

Imej via Bidadari

Cara Pembuatan Cuka Epal

Cara pembuatan cuka epal ini amat mudah, cuma ia mengambil masa yang lama untuk terhasil kerana perlu diperam melalui proses penapaian. Cuka epal mengandungi asid asetik dan asid malik yang membuatkan ia rasa masam.

Cara-caranya:

  1. Bersihkan dan potong buah epal.
  2. Perah buah epal untuk mendapatkan jusnya.
  3. Jus epal disimpan dalam peti sejuk selama beberapa minggu untuk proses penapaian.
  4. Jus epal yang telah menjadi tapai (asid asetik) akan dimasak sekejap untuk memastikan memusnahkan bakteria.
  5. Cuka epal yang telah dimasak, sedia untuk dmasukkan ke dalam botol.

9 Khasiat Cuka Epal

1) Rambut Sihat Bersinar

Imej via Bidadari

Cuka epal boleh berfungsi sebagai pelembut rambut anda. Menurut seorang arkitek bernama Cheryl Cheko, beliau sering dipuji oleh pekerja salun kerana rambutnya yang cantik. Beliau menyatakan bahawa beliau menggunakan soda bikarbonat sebagai shampu, dan menggunakan cuka epal ketika membilas rambut.

Selain mencantikkan rambut, cuka epal juga boleh membantu menghilangkan gatal kulit kepala. Ini kerana, cuka epal bersifat asid, dan kebanyakan masalah rambut disebabkan rambut anda terlalu beralkali. Oleh itu, cuka epal membantu meneutralkan rambut dan kulit kepala anda.

Malah, menurut pemerhatian dalam kajian Zaid dan rakan-rakan pada tahun 2017, cuka epal sering digunakan oleh warga Palestin sejak turun-temurun sebagai bahan semula jadi dalam pengurusan diri dan penampilan khususnya dalam kecantikan rambut.

Namun begitu, pastikan cuka epal tersebut DILARUTKAN dengan air terlebih dahulu sebelum digunakan pada rambut. Sekiranya tidak dilarutkan, bimbang ia bukan mencantikkan rambut anda, tetapi menyebabkan rambut menjadi lebih rosak.

2) Khasiat Cuka Epal Untuk Kurus Badan (Membantu Menurunkan Berat)

Imej via Bidadari

Cuka epal sering dijadikan petua untuk menurunkan berat badan. Namun begitu, perkara ini masih belum dibuktikan secara klinikal.

Menurut Dr. Elizabeth Trattner, Pakar Perubatan Integratif dan Ahli Akupuntur, beliau sering meneliti meta-analisis klinikal di PubMed untuk melihat cadangan makanan tambahan yang sering diberikan kepada pesakit. Cuka epal antara makanan tambahan yang dikatakan baik untuk kesihatan.

Namun hanya sedikit sahaja data klinikal yang membuktikan manfaat tersebut. Walaupun terdapat dapatan yang menyatakan cuka epal membantu mengurangkan lemak, tetapi ia tidak kuat untuk mengesahkan dakwaan itu.

Dalam kajian 2013 yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity, penyelidik mendapati bahawa cuka epal dapat menyekat selera makan. Jadi, perkara ini dapat membantu anda mengawal nafsu makan sewaktu dalam proses menurunkan berat badan. Namun ia juga boleh menyebabkan anda terasa mual. Jadi, sebelum anda memulakan apa-apa diet turunkan berat badan, pastikan anda rujuk kepada ahli dietetik atau doktor untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Namun, secara umumnya, kebanyakan kajian menyimpulkan bahawa cuka khususnya cuka buah-buahan mampu menghalang pengumpulan lemak dalam tubuh bagi kajian kes makmal menggunakan sampel haiwan. Bagi penyelidik Kondo dan rakan-rakan pada tahun 2009, mereka merekodkan pemerhatian kesan pengambilan cuka dalam makanan bagi dua jenis kumpulan yang mengalami obesiti di Jepun.

Menariknya, selepas dua minggu, didapati terdapat penurunan yang ketara dari segi BMI, ukur lilit pinggang dan berat badan bagi kumpulan yang mengambil cuka makanan. Ringkasnya, kehadiran cuka akan membantutkan aktiviti selular yang mengumpulkan pembentukan lemak.

3) Menurunkan Paras Kolesterol Dalam Darah

Dalam kajian 2012 yang diterbitkan dalam Life Science Journal, didapati cuka epal dapat membantu menurunkan paras kolesterol dan trigliserida bagi pesakit yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.

Namun begitu, jumlah kajian ini terlalu kecil. Jadi, dakwaan dapatan ini masih belum kuat untuk membuktikan bahawa cuka epal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Masih banyak penyelidikan perlu dijalankan untuk membuktikan hal ini.

4) Kebaikan Cuka Epal Untuk Muka (Menghilangkan Jerawat)

Walaupun ramai membantah penggunaan cuka epal untuk mengecutkan jerawat, kerana bimbang kulit muka menjadi semakin rosak. Tetapi, Dr. Marie Jhin, seorang ahli dermatologi menyatakan, sekiranya cuka epal tersebut dilarutkan sehingga benar-benar cair, ia boleh berfungsi seperti toner kepada wajah. Ia juga boleh mengeringkan jerawat dan menghilangkan bintik hitam pada muka.

Sekiranya anda ingin mencuba kaedah ini, anda dinasihatkan mencairkan larutan cuka epal terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Selain itu, cuba sapukan pada pergelangan tangan untuk memastikan sama ada kulit anda sesuai atau tidak, menggunakan larutan cuka epal tersebut. Sekiranya kulit di pergelangan tangan anda tidak mengalami rengsa, maka ia selamat digunakan pada kulit muka anda.

Dari segi saintifik pula, cuka epal mempunyai potensi antimikrob yang menghentikan pertumbuhan mikroorganisma. Bagi kes jerawat dan masalah kulit yang kebanyakannya berpunca daripada bakteria atau kulat, bahan aktif dalam cuka epal dilaporkan berperanan sebagai bahan anti bakteria sebagaimana disokong dalam kajian Dr. Nada KhazalKadhim Hindi pada tahun 2013.

5) Menurunkan Kandungan Gula Dalam Darah

Satu kajian pada 2005 yang diterbitkan dalam Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics mendapati apabila cuka epal ditambah dalam makanan yang tinggi glisemik (yang tinggi karbohidrat) ia dapat mencegah bacaan gula naik mendedak selepas makan.

Selain itu, kajian lain pada 2004 yang dijalankan oleh beberapa penyelidik Arizona State University turut mendapati bahawa cuka epal yang dilarutkan sebelum makan makanan yang berkanji boleh mencegah perubahan bacaan gula yang drastik dalam darah selepas makan.

Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh University of Tokyo mendapati bahawa asid asetik yang terkandung dalam cuka epal mampu merencatkan aktiviti-aktiviti enzim pencernaan karbohidrat. Kesannya, tidak banyak karbohidrat dapat diserap oleh usus. Perkara ini dapat menghindarkan peningkatan gula dalam darah selepas makan.

Namun diingatkan, sekiranya anda ingin menjadikan cuka epal sebagai rawatan alternatif dalam diet diabetes anda, pastikan cuka epal tersebut dilarutkan dengan air terlebih dahulu untuk mencairkannya.

6) Memutihkan Gigi?

Imej via Bidadari

Malangnya, kenyataan ini hanya MITOS semata-mata. Secara saintifiknya, cuka epal tidak boleh memutihkan gigi anda.

Ini kerana, cuka epal yang bersifat asid akan menyebabkan enamel pada gigi terhakis, dan boleh menyebabkan masalah gigi berlubang. Ia juga boleh menyebabkan gigi anda semakin kuning dan menjadi lebih sensitif.

7) Mengurangkan Sakit Tekak

Perkara ini juga belum dibuktikan oleh kajian. Cuka epal yang bersifat asid berisiko menyebabkan masalah tekak anda menjadi lebih teruk. Healthline melaporkan bahawa sesetangah orang telah mengalami esofogus ‘terbakar’ setelah meminum cuka epal yang TIDAK dilarutkan.

Oleh itu, jika anda ingin mengamalkan cuka epal dan meminumnya, pastikan cuka epal dilarutkan dalam air untuk mencairkan kepekatannya.

8) Membantu Menyembuhkan Luka

Cuka epal bersifat anti bakteria, dan pastinya ia sesuai untuk disapu pada luka. Mungkin, alasan inilah yang menyebabkan ada sesetengah orang mendakwa cuka epal sesuai disapu pada luka untuk menyembuhkan luka.

Namun begitu, cuka epal juga bersifat asid. Asid boleh menyebabkan kulit anda merengsa dan tidak sesuai untuk dijadikan pilihan utama. Oleh sebab itu, menggunakan sabun anti-bakteria adalah pilihan yang selamat jika dibandingkan dengan cuka epal.

9) Potensi Anti Tumor

Kajian penyelidik dari Jepun pada tahun 2007 mendapati bahawa antara komponen yang terdapat dalam jus epal yang diperam mempunyai kesan anti tumor yang berkesan bagi merencatkan pertumbuhan tumor dalam kajian tikus makmal mereka. Didapati size tumor fibrosarcoma berkurangan iaitu tumor yang menyebabkan penyakit kanser tisu lembut, ligamen dan saraf dalam tubuh.

Mereka menemui bahan anti tumor bernama a-glycan bersaiz medium ini iaitu sejenis molekul yang mengandungi glukosa terhasil apabila cuka epal ditapaikan menjadi asid asetik. Mereka membandingkan kehadiran a-glycan ini yang hanya boleh didapati dalam cuka epal yang disediakan sendiri melalui proses penapaian berbanding cuka epal di pasaran yang jenis sintetik. Hal ini disebabkan oleh pembentukan a-glycan datang daripada kanji isi buah epal segar.

Kesimpulan

Sebenarnya, sekiranya anda membuat carian di internet berkenaan kebaikan cuka epal, anda akan mendapati banyak sumber yang berkongsi kebaikan cuka epal. Namun begitu, anda juga harus berhati-hati kerana kebanyakan dakwaan mereka tidak disertai oleh dapatan kajian yang telah dijalankan.

Walau bagaimanapun, anda boleh mengamalkan cuka epal ini sebagai salah satu makanan tambahan untuk meningkatkan kesihatan anda. Cuma, pastikan cuka epal tersebut dilarutkan terlebih dahulu untuk mengurangkan kepekatannya. Cuka epal bersifat asid, dan badan kita tidak boleh dalam keadaan terlalu berasid kerana bimbang akan mendatangkan mudarat yang lain.

Tidak kiralah dalam apa-apa amalan sekalipun, kesederhanaan itu sangat penting. Bersederhanalah dalam apa-apa perkara yang kita amalkan. Begitu juga dengan cuka epal ini. Pengambilan cuka epal dalam diet harian pasti ada kebaikan untuk tubuh kerana nutrisi yang terkandung di dalamnya. Namun biarlah kuantiti yang diambil bersesuaian dan tidak berlebih-lebihan.

Rujukan:

  1. Abe, K., Kushibiki, T., Matsue, H., Furukawa, K. I., & Motomura, S. (2007). Generation of antitumor active neutral medium-sized α-glycan in apple vinegar fermentation. Bioscience, biotechnology, and biochemistry71(9), 2124-2129. (link)
  2. Hindi, N. K. (2013). In vitro antibacterial activity of aquatic garlic extract, apple vinegar and apple vinegar-garlic extract combination. American journal of phytomedicine and Clinical Therapeutics1(1), 42-51. (link)
  3. Kondo, T., Kishi, M., Fushimi, T., Ugajin, S., & Kaga, T. (2009). Vinegar intake reduces body weight, body fat mass, and serum triglyceride levels in obese Japanese subjects. Bioscience, biotechnology, and biochemistry73(8), 1837-1843. (link)
  4. Kohn, J. B. (2015). Is vinegar an effective treatment for glycemic control or weight loss?. Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics115(7), 1188. (link)
  5. Zaid, A. N., Jaradat, N. A., Eid, A. M., Al Zabadi, H., Alkaiyat, A., & Darwish, S. A. (2017). Ethnopharmacological survey of home remedies used for treatment of hair and scalp and their methods of preparation in the West Bank-Palestine. BMC complementary and alternative medicine17(1), 355. (link)

Artikel Menarik Lain

Selain khasiat cuka epal, kami juga menulis khasiat sumber lain yang tidak diketahui ramai. Jom baca dan jangan lupa untuk share di Facebook jika artikel yang dikongsi menarik.

 

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Aniuna

Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.