Adakah anda sering tertanya-tanya apakah punca cepat mengah? Jom baca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut punca cepat mengah menurut pemerhatian dan penyelidikan sains.

Pengenalan

Terma perubatan bagi mengah ialah “dyspnea” yang bermaksud pernafasan tercungap-cungap apabila seseorang itu sukar bernafas atau mendapatkan udara ke dalam paru-paru.

Secara normalnya, seorang dewasa yang sihat akan bernafas sebanyak 20 kali dalam masa 1 minit bersamaan 30 ribu kali sehari.

Manakala, menurut statistik, 1 dalam setiap 4 individu mengalami masalah dyspnea ini. Golongan warga emas juga mempunyai kebarangkalian 75% untuk diserang rasa cepat mengah ini berbanding golongan muda.

Antara simptom mengah atau dyspnea ini ialah:

  • Sukar bernafas
  • Dada terasa ketat
  • Tercungap-cungap
  • Jantung berdegup kencang
  • Batuk
  • Sukar tarik nafas dalam-dalam
  • Perasaan seperti lemas

Keadaan Kesihatan Punca Cepat Mengah

Selain melakukan aktiviti fizikal yang berat, berada di kawasan altitud tinggi dan mengalami perubahan suhu yang ketara, antara punca cepat mengah ialah disebabkan keadaan kesihatan seperti yang disenaraikan berikut:

1. Rasa Mengah yang Datang Secara Tiba-tiba (acute dyspnea)

Kes ini juga dipanggil sebagai dyspnea akut. Antara punca cepat mengah ini ialah keadaan seperti:

  • Darah gemuruh
  • Lelah (asma)
  • Alahan (anaphylaxis)
  • Penumonia
  • Tercekik sesuatu yang menyekat laluan pernafasan
  • Anemia
  • Kehilangan darah yang banyak
  • Terdedah kepada karbon monoksida pada kepekatan yang berbahaya
  • Tekanan darah rendah

2. Sistem Pernafasan Respiratori

Sistem pernafasan yang merangkumi saluran pernafasan sehingga paru-paru merupakan komponen utama yang mempengaruhi punca cepat mengah. Antara penyebab punca kesukaran pernafasan dan cepat mengah ialah:

  • Darah beku di dalam paru-paru (pulmonary embolism)
  • Tulang rusuk tercedera
  • Kegagalan paru-paru
  • Jangkitan saluran respiratori
  • Kanser paru-paru
  • Kecederaan paru-paru
  • Radang tisu paru-paru

3. Penyakit Kardiovaskular

Punca cepat mengah turut dikaitkan dengan masalah kardiovaskular, khususnya masalah jantung, antaranya:

  • Cecair berlebihan di sekitar jantung
  • Serangan jantung
  • Kegagalan fungsi jantung
  • Masalah ritma jantung
  • Kardiomyopati (penyakit otot jantung)
  • Perikarditis (keradangan tisu jantung)

4. Persekitaran yang Tercemar

Imej via Bidadari

Faktor persekitaran yang tercemar turut memburukkan lagi keadaan bagi mereka yang mengalami asma atau lelah.

Pesakit akan cepat mengah dengan keadaan sekeliling yang tercemar dengan bahan kimia berbahaya, asap kenderaan, habuk, asap rokok dan debunga.

Bahan-bahan pencemar ini membuatkan paru-paru semakin susah untuk ‘bekerja’ yang seterusnya menjadi punca cepat mengah dan sukar bernafas.

5. Kawalan Emosi

Emosi seseorang sebenarnya sangat berkuasa untuk menentukan tingkah laku yang bakal berlaku.

Dalam kes dyspnea, perasaan panik dan punca cepat mengah ini boleh dikurangkan dengan mengawal emosi supaya menjadi lebih positif.

Hal ini disokong oleh kajian sekumpulan penyelidik dari University of Oxford, United Kingdom pada tahun 2013 yang melihat trend perhubungan antara emosi dengan persepsi dyspnea.

Kawalan emosi yang lebih terarah kepada pemikiran negatif ternyata boleh menyebabkan seseorang itu berasa murung dan mudah panik.

Dianggarkan, mereka yang gagal mengawal emosi mempunyai kebarangkalian lebih tinggi sebanyak 40% untuk mengalami masalah pernafasan dan masalah keresahan (30%).

Hal ini seterusnya dikaji dari segi penglibatan sosial mereka yang semakin berkurangan lalu menyebabkan peratus tinggal lebih lama di hospital melebihi 3 hari yang sepatutnya sebanyak 10% dan 25% kekerapan bertambah bagi mereka dimasukkan ke dalam wad hospital semula.

6. Kehidupan Sosial

Kajian yang sama yang melihat kesan emosi ke atas masalah dyspnea tadi turut melihat kesan kehidupan sosial terutamanya berkaitan jantina.

Hasil penemuan mereka agak mengejutkan apabila wanita mempunyai  risiko 2 kali ganda lebih besar untuk menderita penyakit ini. Hal ini lebih berkaitan dengan faktor sosial dan emosi wanita berbanding faktor sistem fisiologi.

Mereka yang berhadapan dengan keadaan cepat mengah ini turut dikaitkan dengan kualiti hidup yang lebih rendah. Malah, jika mereka berada pada tahap kualiti hidup yang sama, kesan kesihatan ini tampak lebih teruk dalam kalangan wanita.

Kajian tersebut menerangkan fenomena ini dengan sifat keterbukaan wanita yang bertindak balas secara terbuka berbanding lelaki berkaitan emosi.

Namun, masih belum ada kesimpulan yang konklusif berkenaan perbezaan jantina dalam persepsi terhadap masalah kesihatan ini dari segi perubahan fisiologi, keseimbangan hormon, pengalaman hidup dan budaya serta cara pengurusan emosi masing-masing.

Kesimpulan

Punca cepat mengah boleh terjadi atas beberapa faktor. Lumrahnya, apabila seseorang itu melakukan kerja berat yang memerlukan tenaga, sudah pastilah mereka akan berasa penat dan mengah.

Antara aktiviti fizikal yang menjadi punca cepat mengah ialah berlari, berbasikal, mengangkat barangan berat, mendaki gunung, melakukan senaman, aktiviti gim dan sebagainya.

Namun, keadaan cepat mengah ini turut dikaitkan dengan masalah “dypnea” yang berpunca daripada kualiti kesihatan diri yang mula merosot.

Antara faktor kesihatan yang menjadi punca cepat mengah ialah serangan akut, gangguan sistem pernafasan, penyakit kardiovaskular, keadaan persekitaran yang tercemar, pengurusan emosi dan pengaruh kehidupan sosial.

Namun, harus diingat, anda perlulah segera mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada doktor perubatan yang bertauliah sekiranya rasa cepat mengah anda bertukar menjadi masalah pernafasan yang semakin serius.

Kandungan artikel ini hanyalah menyenaraikan faktor atau punca cepat mengah untuk dijadikan rujukan bersama.

Jemput juga baca artikel punca selsema dan punca angin medu

Rujukan

  1. Hayen, A., Herigstad, M., & Pattinson, K. T. (2013). Understanding dyspnea as a complex individual experience. Maturitas76(1), 45-50. (link)
  2. Lansing, R. W., Gracely, R. H., & Banzett, R. B. (2009). The multiple dimensions of dyspnea: review and hypotheses. Respiratory physiology & neurobiology167(1), 53-60. (link)
  3. Pratter, M. R., Curley, F. J., Dubois, J., & Irwin, R. S. (1989). Cause and evaluation of chronic dyspnea in a pulmonary disease clinic. Archives of Internal Medicine149(10), 2277-2282. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.