Pokok susu nabi? Mungkin bila dengar namanya, ramai yang yang tidak kenal. Namun, bila tengok gambar pokok tersebut, anda mesti pernah nampak di mana-mana.

Pokok susu nabi merupakan sejenis tumbuhan herba yang banyak khasiat perubatan kepada manusia. Justeru, penulis akan kongsikan khasiat pokok ini yang ramai orang tidak tahu. Sebelum itu, jom baca tentang info ringkas tentang pokok ini.

Apa Itu Pokok Susu Nabi?

susu nabi
Imej Via Pemborong Herba

Nama saintifik bagi pokok susu nabi ialah euphorbia hirta. Ia merupakan spesies tumbuhan daripada keluarga euphorblaceae. Pokok ini juga dipanggil dengan beberapa nama lain seperti pokok susu kambing, ara tanah, gelan susu dan sebagainya.

Pokok susu nabi tumbuh meliar dan subur di kawasan tanah terbuka. Biasanya anda boleh melihatnya di halaman rumah, semak-samun, tepi jalan, taman dan kawasan terbiar.

Pokok ini mengeluarkan getah yang berwarna putih seakan-akan susu jika dipatahkan batangnya. Ketinggiannya lebih kurang 10 hingga 30 cm. Pokok susu nabi akan berbunga dan berbuah di celah-celah daun batang yang berbulu. Daunnya berwarna hijau kecoklatan dan batangnya hijau muda.

Khasiat Pokok Susu Nabi

Ada kajian yang menunjukkan pokok susu nabi ini sangat baik bagi kesihatan manusia. Itulah sebabnya ia dijadikan antara ramuan dalam perubatan tradisional. Pokok ini disediakan dalam perubatan tradisional dalam bentuk segar atau kering.

Antara bahan aktif yang terdapat dalam pokok herba ini ialah flavonoid, phenol, asid amino, antibakteria, sedatif, antikulat, antiradang, quercetine dan banyak lagi. Tidak hairanlah ia menjadi tumbuhan yang mampu meringankan pelbagai jenis penyakit.

Kajian mendapati ekstrak etanol yang terdapat di dalam pokok ajaib mempunyai antimikroba yang tinggi. Ia sangat berkesan bagi memusnahkan bakteria salmonella typhi yang menyebabkan penyakit tifus.

Selain itu, ekstrak bunga, batang, akar dan daunnya mempunyai bahan antioksida yang tinggi. Ini menyebabkan pokok susu nabi banyak digunakan secara tradisional di Malaysia, Nigeria, Filipina, India, Indonesia dan sebagainya.

susu nabi
Imej Via Blogspot

Jom kita baca antara khasiat yang tersembunyi dalam pokok susu nabi.

  • Sakit tekak dan ulcer mulut

Caranya ialah rebus pokok yang baru dicabut. Gunakan air rebusan untuk berkumur.

  • Hilangkan ketuat

Caranya ialah patahkan batang pokok. Sapukan getahnya di bahagian ketuat. Amalkan sehingga ketuat kering dan hilang.

  • Cirit-birit

Caranya ialah keringkan daun pokoknya yang segar. Kemudian, ambil sesudu teh daun yang dikeringkan. Rendam dalam air panas selama 5 hingga 10 minit. Amalkan 2 hingga 3 cawan sehari.

  • Luka dan ruam

Caranya ialah sapukan sedikit getah pokok pada luka dan ruam. Amalkan sehingga luka dan ruam kering.

  • Masalah kewanitaan

Kaum wanita yang ada masalah haid tidak teratur, senggugut dan sebagainya bagus amalkan air rebusan pokok ini.

  • Stres dan anxiety

Masyarakat Filipina menggunakan pokok 1001 khasiat ini untuk mengatasi masalah stres dan anxiety (kegelisahan). Caranya ialah rebus 50 g daunnya dengan 4 cawan air selama 3 hingga 4 minit. Minum secawan sebanyak 3 atau 4 kali sehari.

  • Sakit kuning bagi bayi

Bayi yang terkena sakit kuning atau jaundice boleh dimandikan dengan air perahan pokok ini.

  • Ubat sakit mata dan bengkak mata

Caranya ialah ambil sedikit getah pokok, sapukan pada kelopak mata atas dan bawah. Jangan pula titiskan getahnya di dalam mata ye.

  • Kudis, kurap, kayap dan panau

Caranya ialah sapukan getahnya pada bahagian yang terkena jangkitan.

  • Kecacingan

Kanak-kanak yang sering mengalami masalah kecacingan boleh menggunakan rawatan pokok herba ini. Caranya ialah ambil 15 hingga 30 g pokok ini (buang akar). Rebus daun pokok ini dengan beberapa helai daun betik.

Tambah 1 liter air selama dan masak selama 15 minit. Minum air sedikit sahaja setiap hari.

  • Asma

Caranya ialah air rebusan pokok herba ini diminum 2 kali sehari.

  • Gout

Bagi pesakit gout, rebuskan beberapa pokok susu nabi. Minum air rebusan setiap pagi dan petang.

  • Demam denggi

Bagi pesakit demam denggi, jika hendak tambah platelet darah boleh amalkan petua ini. Caranya ialah daun yang telah dikeringkan dijadikan teh minuman.

susu nabi
Imej Via Bidadari
  • Bisul

Caranya ialah cabut pokok dengan akarnya sekali. Kemudian, cuci bersih-bersih dan ditumbuk halus. Sapukan pada bahagian bisul yang mempunyai mata.

  • Hentikan pendarahan dan kulit lebam

Caranya ialah cabut pokok susu nabi dengan akarnya sekali. Cuci bersih-bersih dan tumbuk kasar. Sapu pada luka yang masih berdarah dan kulit lebam.

  • Gatal kaki

Caranya ialah tumbuk daunnya bersama-sama sedikit kunyit hidup dan minyak kelapa. Gosok pada bahagian kaki yang terasa gatal.

  • Menambah susu badan

Caranya ialah rebus akar pokok ajaib ini dan minum 2 kali sehari.

  • Bronkitis

Ambil setengah genggam daunnya dan basuh hingga bersih. Kemudian, tumbuk halus dan ditambahkan 3/4 cawan air suam dan 1 sudu besar madu asli. Minum airnya 2 kali sehari.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang khasiat pokok susu nabi. Rupa-rupanya pokok yang tumbuh meliar di sekelliling rumah, ada 1001 khasiatnya. Biasanya kita mencabut sahaja pokok tersebut kerana menganggapnya seperti rumput.

Namun begitu, ingin penulis nasihatkan para pembaca sekalian untuk mendapatkan info yang lebih tepat daripada pakar. Jika anda mempunyai penyakit yang serius seperti asma, pendarahan, demam denggi dan sebagainya, dapatkan rawatan di klinik atau hospital terlebih dahulu.

Dikhuatiri anda mempunyai alahan tertentu dan tidak pasti bahan yang tersembunyi di dalam pokok susu nabi. Justeru, jadikan rawatan ini sebagai usaha sampingan sahaja. Jangan pula mengabaikan perubatan moden iaitu pengambilan ubat-ubatan dan sebagainya.

Anda juga boleh baca tentang khasiat pokok kelulut dan petua guna pokok dukung anak.

Rujukan

Pokok Susu Kambing (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.