Pil perancang sebenarnya turut digelar sebagai pil hormon. Ia mengandungi hormon estrogen, dan ada yang digabungkan dengan hormon progestin. Ia digunakan untuk mengelakkan daripada mengandung. Namun, adakah ianya selamat?
Pil perancang berfungsi menghentikan proses ovulasi dan menjadikan anda tidak subur buat sementara waktu. Hormon yang terdapat dalam pil perancang akan menghalang telur (ovum) daripada meninggalkan ovari atau menempel pada dinding rahim.
Proses ini menyebabkan tiada telur yang dapat disenyawakan walaupun sperma mungkin berjaya memasuki rahim. Selain itu, ia juga yang bertindak menebalkan mukus yang terdapat pada pangkal rahim (serviks). Tindakan ini menyukarkan sperma untuk menembusinya.
Pil jenis ini ialah pil yang biasa digunakan. Ianya mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestin.
Antara jenama yang terdapat di pasaran ialah: Oralcon, Mercilon, Marvelon, Loette, YAZ, Yasmin. Yasmin adalah antara produk yang terbaru dan digemari ramai. Ia dipercayai kurang kesan sampingan walaupun harganya jauh lebih mahal.
Ramai pengguna bersetuju bahawa pil perancang jenama Yasmin tidak mempunyai kesan berat badan berlebihan, tidak menjejaskan kitaran haid, dan tidak mengurangkan perasaan berahi dalam hubungan intim.
Pil mini dipreskripsi oleh doktor khas untuk mereka yang menyusukan bayi. Jenama yang biasa didengar ialah Norriday dan Cerazette.
Berbeza dengan pil kombinasi, pil jenis ini tidak boleh dibeli sewenang-wenangnya dari farmasi kerana boleh memudaratkan jika disalahguna. Pil ini berinteraksi dengan beberapa jenis ubat seperti antibiotik, ubat sawan, arthritis, dan ubat tidur.
Sekiranya anda berumur 35 tahun ke atas atau pernah mengalami sebarang penyakit, anda seharusnya merujuk kepada preskripsi doktor. Walaupun sesetengah pil perancang boleh dibeli dari farmasi, sebaik-baiknya dapatkanlah nasihat daripada mereka yang lebih arif sekiranya anda berhasrat untuk memulakan pengambilannya.
Sewaktu anda membawa bayi ke klinik kerajaan untuk pemeriksaan berkala, biasanya jururawat akan bertanya sama ada anda berhasrat untuk merancang kehamilan seterusnya. Jangan malu bertanya untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kaedah pencegahan kehamilan yang selamat.
Kebanyakan wanita yang normal dan sihat tubuh badan boleh mengambil pil perancang, cuma perlu mencari yang sesuai. Anda tidak digalakkan mengambil pil ini sekiranya anda merokok, mengalami penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, migrain, kanser, sawan, masalah salur darah, atau penyakit hati.
Secara amnya ibu menyusu boleh memulakan pil mini 6 minggu selepas bersalin supaya anak lebih matang dan pengeluaran susu ibu sudah mantap. Ini kerana pil perancang boleh mengurangkan pengeluaran susu badan. Ibu-ibu yang memberi susu formula pula boleh mula mengambil pil perancang 3 minggu selepas bersalin.
Pil perancang mempunyai kesan sampingan, namun ia sepatutnya bersifat minimal dan sementara.
Antara kesan sampingan yang biasa dirasai seawal pengambilannya ialah:
Ini adalah antara respon tubuh badan anda dalam proses menyesuaikan diri. Anda dinasihatkan untuk meneruskan penggunaan pil perancang yang sama selama 3 bulan sebelum membuat keputusan untuk mencuba produk pil perancang lain.
Tetapi, jika terdapat tanda serius seperti sesak nafas, batuk berdarah, gangguan penglihatan, dan pendarahan, hentikan pengambilannya dan rujuklah pada yang pakar.
Ya, anda boleh kembali hamil kerana pil perancang adalah pencegah kehamilan yang bersifat sementara. Secara teknikalnya, ia hanya bertahan selama 24 jam. Sebab itulah anda mesti memakannya pada masa yang sama setiap hari.
Kebanyakan produk mendakwa pil perancang ini berfungsi sehingga 99%. Tetapi, kata kunci di sini ialah disiplin. Pil perancang hanya berupaya menghasilkan keberkesanan maksimum apabila diambil pada waktu yang sama setiap hari.
Oleh itu, bagi wanita yang pelupa atau tidak suka memakan ubat, barangkali anda boleh mempertimbangkan cara pencegahan kehamilan yang lain seperti suntikan atau implan. Kaedah ini juga mula diminati ramai.
Satu perkara yang anda perlu beri perhatian ialah, apabila anda berhenti daripada mengambil pil perancang setelah beberapa ketika, tubuh anda akan membuat ‘pelarasan’ baru. Sewaktu ‘pelarasan’ ini, tubuh anda boleh menjadi sangat subur berbanding biasa.
Oleh itu, anda harus mengelak daripada ‘berehat seketika’ atau ‘terlupa’ mengambilnya. Sistem ‘pelarasan’ tubuh ini mampu menjadi caca marba.
Kebanyakan ahli ilmuan Islam termasuklah badan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berpendapat bahawa hukum mengambil pil perancang adalah harus dengan syarat mendapat kebenaran suami.
Memetik ungkapan daripada sebuah akhbar tempatan, Dr Harlina Siraj mengatakan bahawa Islam tidak mengharamkan kaedah pencegahan kehamilan yang tidak kekal. Antaranya termasuklah pil perancang, suntikan, atau penggunaan kondom. Menurutnya, ia hanya berfungsi melewatkan kehadiran zuriat agar pasangan lebih bersedia dan ia bukanlah bersifat kekal.
Sebagai tambahan, ada pendapat menganggap ianya tidak dibenarkan sekiranya kita melihat kelahiran bayi sebagai sesuatu yang menyempitkan rezeki kita. Pengambilannya juga tidak boleh diteruskan jika memudaratkan diri atau rumahtangga.
Itulah dia info tentang pil perancang yang ingin kami kongsikan. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang tanda gastrik, punca dan tanda penyakit batu karang, dan khasiat lobak putih.
Sumber: Siraplimau