Masalah fungus atau kulat dan jangkitan fungus pada kulit boleh mendatangkan rimas dan mengganggu urusan seharian. Malah, ada jangkitan fungus yang boleh menyebabkan ancaman penyakit berbahaya dan mengakibatkan kematian.

Ayuh baca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan fungus kulit dan petua yang boleh diamalkan untuk hilangkan fungus kulit.

Pengenalan

Fungus atau kulat merupakan organisma hidup yang tidak boleh menghasilkan makanannya sendiri, tidak seperti tumbuh-tumbuhan.

Oleh itu, fungus perlu menumpang hos yang mengandungi bahan organik untuk mendapatkan makanan seperti kayu reput, bangkai haiwan atau menumpang mana-mana hos hidupan.

Fungus boleh wujud sebagai parasit yang memudaratkan hos yang ditumpangnya atau hidup sebagai organisma hidup bebas yang memerlukan sumber organik sahaja sebagai sumber nutriennya.

Berdasarkan laporan para penyelidik dari Insttitut Farmasi SAFE, India pada tahun 2010, jangkitan fungus pada kulit boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu

1. Superficial/cutaneous – kehadiran fungus pada permukaan kulit, rambut dan kuku

2. Subcutaneous – jangkitan pada tisu di bawah kulit

3. Sistemik – mendominasi dan menyebabkan penyakit pada kawasan yang ditumpangnya apabila bertindak sebagai parasit

Jenis-jenis Jangkitan Fungus Kulit

Imej via Bidadari

Jangkitan Tinea (ringworm)

Fungus yang menjangkiti kulit akan menyebabkan”ringworm”  atau kurap kerana pembentukan bentuk seperti gegelang “ring.” Kulit akan menjadi berwarna merah, berbentuk seperti cacing yang membuat bulatan dan gatal-gatal.

Kurap boleh berlaku melalui sentuhan dan perkongsian barangan peribadi mereka yang sudah dijangkiti fungus ini.

Antara jangkitan kurap yang biasa dilihat ialah:

  • Kegatalan dan pembentukan “sisik” seolah kelemumur pada kulit kepala
  • Tinea corporis yang bermaksud kurap di seluruh anggota badan yang tidak ada pertumbuhan bulu atau rambut seperti muka, kaki dan tangan.
  • Tinea pedis atau diberi nama “athlete’s foot” kerana sering dilaporkan oleh atlet dan pemain sukan yang kerap memakai stokin basah ketika menjalani aktiviti fizikal dan berpeluh. Terdapat kemerahan, sisik atau rekahan kulit pada kaki di celah jari kaki yang mendatangkan rasa gatal, panas dan bau yang kuat.
  • Tinea versicolor atau titik putih pada kulit biasa dijumpai dalam kebanyakan orang tetapi hanya segelintir sahaja yang akan mengalami kesan jangkitannya. Sebagai contoh, ruam, pengelupasan kulit dan ketumbuhan biji seperti jerawat.  Kes ini biasa dilaporkan di kawasan beriklim panas dan lembab sepanjang tahun seperti di Malaysia.

Jangkitan dalam Mulut (oral thrush)

Masalah ini adalah disebabkan kehadiran fungus jenis yis, Candida albicans yang menyerang permukaan lidah dan mukus di bahagian pipi.

Bentuk tompok putih seperti ‘plak’ yang sering disalah anggap sebagai kurap susu akan muncul.

Untuk membezakannya dengan kurap susu yang tidak berbahaya itu, plak jangkitan ini menyebabkan bengkak dan kemerahan di kawasan yang dijangkiti.

Penggunaan antibiotik dan steroid yang berlebihan di kawasan mulut telah mengganggu keseimbangan mikrob lalu menyebabkan yis Candida albicans mengambil peluang untuk tumbuh dan merebak dalam mulut.

Ruam Lampin

Imej via Bidadari

Jangkitan fungus daripada keluarga Candida ini menyerang kawasan punggung terutamanya bagi bayi yang memakai lampin, menyebabkan ruam-ruam yang gatal.

Ruam lampin yang tidak hilang selepas 3 hari mungkin merupakan jangkitan candidiasis yang berbahaya.

Jangkitan fungus kulit ini boleh berpunca daripada sistem penghadaman melalui air kencing dan najis atau dijangkiti daripada pengasuh yang menguruskan bayi atau pesakit yang memakai lampin.

Jangkitan ke dalam Sistem Tubuh

Melalui kulit, fungus tertentu akan memasuki sistem saluran tubuh melalui kapilari darah untuk hidup di dalam sistem tubuh dan mendatangkan penyakit.

Antara organ yang menjadi tumpuan fungus setelah memasuki tubuh melalui kulit ialah:

  • Otak – F. pedrosoi dan P. verrucosa yang masuk melalui luka besar
  • Saluran limfa dan nodul – S. schenkii yang masuk apabila berlaku luka minor atau tertusuk duri
  • Gangguan sistem endokrin – C. albicans yang memasuki saluran kapilari darah

Petua Hilangkan Fungus Kulit

Selain mendapatkan khidmat nasihat dan ubatan yang disyorkon doktor perubatan dan ahli farmasi bertauliah, terdapat beberapa petua tradisional yang boleh diamalkan sebagai petua hilangkan fungus kulit.

Menariknya, terdapat penyelidikan saintifik yang dijalankan bagi membuktikan dan menerangkan penemuan ini. Namun, jika masalah fungus kulit ini berlarutan, adalah sangat disarankan untuk berjumpa dengan doktor perubatan terdekat.

Artikel ini sekadar menyenaraikan petua tradisional yang diajarkan secara turun-temurun oleh masyarakat kita khususnya.

Antara bahan yang boleh dijadikan ekstrak dan disapu pada permukaan kulit sebagai petua hilangkan fungus kulit ialah:

Kajian Saintifik Penggunaan Bahan Semula Jadi sebagai Anti Kulat

Pada tahun 2012, sekumpulan penyelidik Turki telah menerbitkan penemuan mereka di Turkish Journal of Biology, yang mengkaji 21 bahan yang boleh digunakan dalam bentuk ekstrak untuk menjadi ramuan anti kulat atau bahan hilangkan fungus kulit yang berkesan, antaranya:

  • Milfoil kuning (bunga)
  • Kamomil (bunga)
  • Kamomil kuning (bunga)
  • Mugwort (sayur busuk) (Daun)
  • Daisy
  • Buah pear kuning jenis quince
  • English ivy (bunga)
  • Lantana oren (bunga)
  • Lantana merah jambu (bunga)
  • Nepeta (bunga)
  • Restharrow (bunga)
  • Jerusalem thorn (bunga)
  • Ribwort (Daun)
  • Ekor anjing (Daun)
  • Primros (bunga)
  • Ros Canina (bunga)
  • Buah rubus
  • Sage (Daun)
  • Felty germander (bunga)
  • Jelatang (Daun)

Sementara itu, penyelidik daripada UTM, Skudai pada tahun 2014 ada mengulas 10 senarai bahan semula jadi yang serimg digunakan dalam perubatan tradisional yang boleh dijadikan alternatif bahan antioksidan, seperti

  • Bayam berduri
  • Ubi bemban
  • Tambang besi
  • Betik
  • Limau besar
  • Hati-hati
  • Kunyit
  • Jambu batu
  • Asam gelugor
  • Halia

Kesimpulan

Risiko jangkitan fungus pada kulit boleh dikurangkan sekiranya amalan kebersihan yang betul diamalkan. Antara tips yang boleh dikongsi ialah tidak berkongsi peralatan kebersihan peribadi seperti tuala, berus gigi dan sabun jenis ketul.

Sentiasa berkasut atau berselipar terutamanya jika berada di kawasan awam seperti kolam renang. Penggunaan tuala yang kering untuk mengelap badan selepas mandi juga boleh mencegah jangkitan fungus.

Manfaat daripada alam semula jadi bukan sahaja dilihat dari aspek masakan untuk menambah rasa dan aroma, malah boleh dijadikan sebagai ramuan petua hilangkan fungus kulit.

Semoga bermanfaat!

Rujukan

  1. Alsarhan, A., Sultana, N., Al-Khatib, A., & Kadir, M. R. A. (2014). Review on some Malaysian traditional medicinal plants with therapeutic properties. Journal of Basic and Applied Sciences10, 149-159. (link)
  2. Jain, A., Jain, S., & Rawat, S. (2010). Emerging fungal infections among children: A review on its clinical manifestations, diagnosis, and prevention. Journal of Pharmacy and Bioallied Sciences2(4), 314. (link)
  3. Orhan, D. D., ÖZÇELİK, B., Hoşbaş, S., & Vural, M. (2012). Assessment of antioxidant, antibacterial, antimycobacterial, and antifungal activities of some plants used as folk remedies in Turkey against dermatophytes and yeast-like fungi. Turkish journal of biology36(6), 672-686. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.