Ada orang buat persiapan balik kampung seminggu sebelum raya, dan ada juga yang last minit sehari sebelum hari.

Tidak kiralah seberapa lama persediaan yang anda lakukan untuk pulang ke kampung, yang pasti setiap orang mahu perjalanan itu nanti sentiasa lancar sehingga sampai ke tempat yang ingin ditujui.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai persiapan balik kampung yang wajiib untuk anda lakukan sebelum berhari raya.

1. Buat pemeriksaan kereta awal

persiapan balik kampung

Sebagai pemandu, anda bertanggungjawab untuk memastikan kereta dalam keadaan baik. Pastikan segenap aspek kenderaan telah diperiksa dan berada dalam keadaan selamat sebelum perjalanan dimulakan.

Antara aspek yang perlu diambil peduli adalah injap minyak enjin, keadaan tayar, lampu signal, bateri, brek pad, cecair penyejuk radiator (coolant) dan cecair pengelap cermin hadapan.

Sekiranya terdapat sebarang kerosakan pada kenderaan, buat tempahan awal dan hantar kereta ke bengkel untuk dibaiki.

2. Isi kad Touch ‘n Go atau SmartTAG

Buat semakan dan Isi kad Touch ‘n Go atau SmartTAG sebelum perjalanan pulang ke kampung pada hari raya ini.

Pengguna jalan raya tidak dapat melepasi plaza tol jika mempunyai status kad yang tidak aktif atau tamat tempoh di mana ia boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas di plaza tol yang terlibat.

Terdapat lebih 22 kaunter Touch ‘n Go di stesen minyak terpilih di sepanjang lebuhraya PLUS yang membolehkan mereka membuat tambah nilai tanpa caj.

3. Catatkan nombor telefon kecemasan

Antara nombor telefon kecemasan yang anda perlu anda adalah seperti operator lebuhraya, nombor hotline insurans kereta, nombor mekanik dan individu penting seperti “Ibu” serta “Ayah” dalam telefon masing-masing.

4. Kemas beg satu keluarga

persiapan balik kampung

Urusan kemas beg akan membuat para ibu pening kepala biasanya. Bukan satu beg tetapi mungkin mereka terpaksa juga mengemas kelengkapan untuk ahli keluarga yang lain juga.

Bermula dari pakaian hari raya sehinggalah ke pakaian harian dan buah tangan untuk di bawa pulang, semuanya disiapkan dengan lengkap untuk anak dan suami.

Sangat digalakkan untuk anda membuat checklist terlebih dahulu sebelum mula mengemas beg nanti bagi mengelakkan ada barang yang tercicir.

5. Pastikan bateri telefon bimbit 100%

Persediaan balik kampung yang lain pula adalah memastikan bateri telefon bimbit penuh. Telefon memang sangat penting dalam kehidupan seharian kita tidak kiralah sama ada untuk perjalanan dekat atau jauh.

Banyak perkara yang boleh kita lakukan dengan telefon antaranya untuk menghubungi ketika kecemasan, melihat navigasi map, menyemak status trafik ebuh raya, membuat transaksi tanpa tunai dan banyak lagi.

6. Siapkan hiburan untuk “si kecil”

Bila kita sebut sahaja tentang anak kecil tentunya mereka mempunyai perangai tersendiri yang mudah bosan setiap kali duduk dalam kereta untuk memulakan perjalanan panjang.

Soalan seperti, “Bila nak sampai?” atau “Jauh lagi ke?” biasanya akan muncul selang beberapa minit dari bibir mereka.

Memberi gajet mungkin merupakan jalan mudah untuk elak anak-anak bosan dalam kenderaan. Namun begitu, pasti masih ada kaedah yang lebih baik untuk dipraktikkan.

Contohnya seperti bermain teka-teki, mengeja, menyanyi bersama, baca papan tanda, berbual bersama anak, dan banyak lagi.

Anda juga boleh sediakan beberapa soft toy atau apa-apa jenis mainan yang digemarinya untuk menemani mereka di perjalanan nanti.

7. Keselesaan sepanjang perjalanan

persiapan balik kampung

Bagi yang membawa anak kecil dalam kenderaan, sediakan carseat yang sesuai, selesa dan selamat untuk mereka di sepanjang perjalanan.

Bawa juga sekali makanan ringan dan air kosong sebagai persediaan sekiranya anda tidak sempat tiba di kampung halaman sebelum masuk waktu berbuka puasa.

8. Bawa peti pertolongan cemas

Wajib untuk kita mempunyai alat pertolongan cemas sendiri di dalam kenderaan. Dalam masa yang sama, pastikan juga produk atau bahan-bahan dalam kit pertolongan cemas itu juga haruslah betul.

Antara bahan penting yang ada di dalam kit tersebut adalah:

  • 2 pembalut besar (Dimensi: 10 cm * 3 – 5 m)
  • 1 kotak gas hidrofilik steril (Dimensi: 10 * 10 cm dalam bentuk 50 kotak)
  • 3 pembalut segitiga
  • 1 larutan antiseptik (Jumlah 50 ml)
  • 1 keping plaster (2 cm * 5 m)
  • 10 pin keselamatan
  • 1 gunting kecil (jenis keluli tidak berkarat)
  • 1 pembalut esmark
  • 1 pintu pusing (Berukuran sekurang-kurangnya 50 cm)
  • 10 alat bantu
  • 1 kepingan penutup pembakar aluminium
  • 2 sarung tangan perubatan
  • Lampu suluh 1pc

Dengan adanya kit pertolongan cemas ini, ia dapat membantu memberi pertolongan awal apabila berlakunya sesuatu kemalangan.

9. Periksa gas dan dapur

Kebanyakkan orang masih menggunakan tong gas silinder di rumah masing-masing.

Justeru itu adalah sangat digalakkan sebelum pulang ke kampung, periksa dahulu kepala gas dan tutup kepala gas bagi mencegah risiko kebakaran.

10. Tutup semua suis

persiapan balik kampung

Persiapan balik kampung yang seterusnya adalah periksa semua suis dan soket elektrik telah ditutup dengan sempurna. Cabut wayar daripada soket dan jangan biarkan ia dari terpasang.

Hal ini kerana ia akan menyebabkan berlaku pembaziran elektrik dan berisiko untuk terjadinya kemalangan yang lebih serius seperti kebakaran suis dan sebagainya.

11. Buang sampah

Ramai orang terlepas pandang tentang persediaan balik kampung yang satu ini.

Buang sampah sebelum keluar dari rumah penting bagi mengelakkan daripada sampah berulat dan bau tidak menyenangkan ketika berada di dalam rumah.

12. Kunci rumah dan penggera

persiapan balik kampung

Jangan sesekali meninggalkan kunci pendua di bawah pasu, karpet, pelapik kaki, di bahagian atas pintu atau mana-mana tempat yang boleh dicapai pencuri.

Hal ini kerana, biasanya pencuri akan cuba untuk mencari kunci pendua dahulu sebelum memecah masuk.

13. Bawa barang berharga bersama

Barang-barang yang anda rasakan berharga perlu diletakkan di tempat yang selamat dan terjaga seperti di dalam peti besi.

Jika perlu, bawa sahaja ia bersama ketika pulang ke kampung nanti.

14. Hantar haiwan peliharaan ke hotel

Sekiranya anda mempunyai haiwan peliharaan, elakkan dari meninggalkannya sendiri di rumah apabila ketiadaan orang.

Banyak klinik haiwan atau pusat jagaan sementara yang menyediakan hotel untuk penginapan mereka sementara anda pulang ke kampung.

Dengan cara ini kebajikan dan keselamatan haiwan peliharaan kita akan lebih terjaga baik dari segi kasih sayang mahupun bekalan makanan yang mencukupi.

15. Buat swab test

Walaupun tidak wajib namun ini sekadar cadangan untuk langkah berhati-hati disebabkan masih terdapat kes-kes Covid-19 di negara kita ini.

Lakukan ujian kendiri Covid-19 di rumah sebelum pulang berhari raya ke kampung dan bertemu dengan golongan lebih berusia.

16. Maklumkan kepada balai polis dan jiran

Jangan lupa untuk maklumkan kepada jiran dan balai polis yang berdekatan serta berikan juga nombor telefon yang mudah dihubungi dalam jangka masa ketiadaan anda nanti.

Minta untuk mereka awasi dan perhatikan sekiranya terdengar bunyi atau sesuatu yang mencurigakan datang dari rumah anda.

17. Semak status trafik

Semakan status trafik di lebuh raya boleh dilakukan secara online sahaja di Laman rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia dari pautan berikut: https://www.llm.gov.my/

18. Buka lampu luar rumah

Untuk elak dari rumah kita menjadi mangsa rompakan atau pecah masuk, adalah lebih baik jika kita boleh kurangkan risiko dari diketahui yang rumah tidak berpenghuni.

Cara yang mudah adalah pasang lampu di luar rumah. Gunakan lampu luar auto timer dan nyalakan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Setkan timer lampu koridor rumah pada pukul 6:00 petang sehingga 7:00 pagi agar kawasan luar rumah anda terang.

19. Berdoa sebelum keluar

Islam mengajarkan kita untuk mengamalkan berdoa sebelum memulakan perjalanan agar selamat pergi dan balik.

Mohon agar Allah lindungi diri kita dan keluarga dari bahaya atau sebarang perkara buruk yang tidak diingini sepanjang perjalanan.

Sebelum memulakan perjalanan bacalah doa di bawah ini:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Bismillahi tawakkaltu alallahi la hawla wala quwwata illa billahil aliyil adzim

Maksudnya: “Dengan menyebut Nama Allah, aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan upaya selain dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.”

Semasa naik kenderaan pula, baca doa dibawah ini juga:

 سُبْحَانَ الَّذِيْ سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ. وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ

Subhana alladhi sakh khara la na hadha wa ma kunna la hu muqrinin. Wa inna ila Rabbi na la munqalibuun 

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya.”

20. Berhati-hati semasa memandu

persiapan balik kampung

Elak dari terburu-buru untuk sampai ke kampung halaman. Pastikan dapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan pemanduan.

Lebih baik berhenti dan berehat di mana-mana kawasan rehat dan rawat sekiranya mengantuk. Jika anda memilih untuk pulang pada waktu malam pula, sediakan kopi atau minuman tenaga untuk kekal segar sepanjang jalan.

Pandulah berhati-hati dan patuhi segala peraturan di jalan raya yang telah ditetapkan.

Selain dari panduan persiapan balik kampung ini, anda juga boleh baca artikel tips kami yang lain berkenaan hari raya seperti:

Sumber:

  1. Tips Travel Balik Kampung. The Asian Parent
  2. Tips & Persiapan Raya di Malaysia 2023 (Balik Kampung). Product Nation

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.