Tugas seorang suami sangat penting sebagai ketua keluarga. Para lelaki perlu ada persediaan untuk menjadi suami. Ini supaya mereka lebih memahami apakah sebenarnya tanggungjawab yang perlu dipikul. Bersedia sebelum menjadi suami ini boleh merangkumi banyak aspek.

Para lelaki juga perlu buat persediaan untuk jadi suami dengan ambil tahu bagaimana untuk bimbing isteri dan anak-anak sebagai sebuah keluarga. Sesungguhnya, tugas seorang lelaki untuk menjadi seorang suami bukanlah satu tugas yang mudah. Banyak yang perlu difikirkan.

persiapan untuk menjadi suami
image via : Brilio

Persediaan Untuk Menjadi Suami Sangat Penting Buat Semua Lelaki

Ada sesetengah lelaki tidak bersedia dan tidak bersungguh-sungguh untuk berkahwin. Mereka hanya memikirkan keseronokan dalam menikmati alam rumahtangga dan menjalani kehidupan baru sebagai suami isteri.

Bila tiada persediaan sebelum menjadi suami begini, rumahtangga boleh menjadi goyah. Ibarat kita bina sebuah rumah tapi tidak menggunakan asas yang kukuh, begitu juga untuk kita membina sebuah kehidupan kekeluargaan.

Tanpa persediaan, kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi rumahtangga boleh menjadi satu masalah. Kerana itu para lelaki wajib buat persediaan untuk menjadi suami agar lebih berasa lebih yakin dan bersedia.

persiapan untuk menjadi suami
Image Via : Baitul Jannah

Oleh yang demikian, persiapan sebelum menjadi suami amat penting buat mereka yang akan menjadi ketua keluarga dan pemimpin untuk isteri dan anak-anaknya. 

10 Persediaan Untuk Menjadi Suami Yang Baik Bagi Isteri

Ada beberapa perkara yang harus seorang lelaki itu lakukan sebagai persiapan atau persediaan sebelum menjadi suami. Di bawah ini telah disenaraikan akan 10 perkara untuk dilalukan oleh mereka sebelum menjadi suami.

1. Menyiapkan Perancangan Hidup

Penting bagi seorang lelaki untuk mempunyai tujuan dan perancangan dalam kehidupan. Ini untuk mereka tahu apa perlu dibuat bila mereka berkahwin dan telah menjadi seorang suami kelak. Sebagai ketua keluarga perlu ada hala tuju sesebuah perkahwinan.

Kena tahu apa yang perlu dibuat dan apa yang tak patut dilakukan. Memang penting untuk siapkan matlamat hidup sebelum berkahwin bagi memiliki matlamat dan tujuan jelas yang mahu dicapai dari perkahwinan tersebut.

2. Menjaga Kesihatan Dengan Baik

Mempunyai kesihatan yang baik juga penting sebagai persediaan sebelum menjadi suami. Perlunya menjaga kesihatan dari penyakit yang merbahaya sebelum berkahwin agar tidak memudaratkan pihak isteri dan keluarga yang bakal dibina dan tidak menjadi beban kepada keluarga atau isterinya selepas berkahwin.

3. Siapkan Diri Dengan Pengetahuan Agama Dan Akidah

Persiapan sebelum menjadi suami bagi seorang lelaki yang beragama Islam adalah berkaitan dengan agama dan akidah juga. Ini adalah perkara yang paling penting sebelum berkahwin kerana ia adalah asas dalam kehidupan. Ia juga melibatkan perintah agama yang tidak boleh dipandang ringan.

Kursus kahwin juga ada mengajar bagaimana untuk menjadi seorang suami yang tahu tentang agama dan hukum hakam. Bakal suami perlu tahu apa yang boleh apa yang tidak boleh.

Ini untuk mengukuhkan keimanan dalam diri dan bila berkahwin boleh menjadi pembimbing untuk keluarga menuju jalan yang diredhai Allah. Maka rajin-rajinkanlah diri untuk menghadiri dan mendengar majlis ilmu. 

4. Mempunyai Pengetahuan Tentang Seks (Hubungan Intim Suami Isteri)

Setiap pasangan yang berkahwin mesti mempunyai pengetahuan tentang hubungan seks iaitu hubungan antara suami isteri. Ini juga ada kaitan dengan persediaan sebelum menjadi suami.

Setiap lelaki perlu tahu ilmu asas dan persediaan untuk memenuhi fitrah masing-masing secara halal. Tiap bakal suami harus bersedia baik dari segi fizikal dan emosi. Mereka boleh belajar melalui orang yang lebih dulu berkahwin untuk membantu beri tunjuk ajar dan ilmu sebelum masuk ke dalam alam perkahwinan.

5. Menambah Pengetahuan Tentang Kehendak Seorang Isteri

Banyakkan membaca buku untuk membina pengetahuan bagi menjadi suami terbaik. Atau mungkin boleh bertanya terus kepada mereka yang berpengalaman. Sebagai seorang ketua keluarga,suami harus bijak menangani apa jua situasi agar tiada pihak yang tersinggung.

Perkahwinan bukanlah perkara suka-suka sebaliknya suami bakal memikul tanggungjawab yang lebih berat. Sebagai persediaan sebelum menjadi suami, seorang lelaki harus mempelajari ilmu kehidupan untuk dijadikan tiang kebahagiaan hidup berumah tangga. 

persiapan untuk menjadi suami
image via : Baitul Jannah

6. Persiapkan Diri Dengan Mengubah Sikap Negatif Ke Positif

Sebelum berkahwin, jika seorang lelaki itu tahu dirinya ada pelbagai sikap yang negetif, maka segeralah ubah ke sifat positif. Dan lelaki itu perlu lebih terbuka dalam melakukan perubahan. Cuba buang jauh-jauh sikap negatif yang boleh merosakkan diri sendiri dan juga bakal pasangan dan keluarga.

Belajarlah untuk menjadi anak yang terbaik buat ibu, suami yang terbaik buat isteri, ayah yang terbaik buat anak-anak dan menantu lelaki yang baik untuk ibu bapa mertua. 

7. Persiapkan Diri Dengan Menambah Kekuatan Mental

Selepas berkahwin, pasti akan datang pelbagai ujian dan dugaan dalam rumah tangga. Masalah ini mungkin datang daripada suami isteri itu sendiri ataupun orang luar.

Jika mental suami tidak kuat, rumah tangga yang dibina boleh hancur dalam sekelip mata. Kerana itu, seorang lelaki perlu mempunyai kekuatan mental, jiwa dan hati supaya mereka mampu mengawal diri dalam menghadapi dugaan dan cabaran bersama isteri dengan bijak dan harmoni.

8. Persiapkan Diri Dari Segi Kerjaya Dan Harta

Antara persiapan atau persediaan sebelum menjadi suami yang paling utama adalah kerjaya! Bila seorang lelaki mempunyai kerjaya dengan pendapatan yang tetap barulah si isteri juga akan ikut bahagia.

Jika masa bujang si lelaki hanya perlu menyediakan bajet untuk diri sendiri, tetapi kini tidak lagi. Selepas berkahwin suami perlu memberi nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarganya seperti menyediakan tempat tinggal yang selamat dan lain-lain.

Memang betul mengumpul wang adalah tanggungjawab suami dan tidak salah jika isteri membantu setelah mendapat keizinan suami. Namun sebagai ketua keluarga itu adalah tanggungjawab utama kepada para suami yang dituntut dalam agama.

9. Siapkan Diri Dengan Kemahiran Hidup dan Komunikasi

Antara kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi. Lelaki atau suami ini harus mengetahui cara komunikasi untuk membuatkan isteri dan anak-anak  rasa istimewa.

Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan diabaikan. Antara kemahiran yang lain seperti pengetahuan tentang kesihatan, baiki barang rosak, bertukang, buat kerja rumah, semua kemahiran itu perlu untuk seorang lelaki dalam persediaan sebelum menjadi suami.

10. Siapkan Diri Dengan Keberanian dan Kekuatan Untuk Lindungi Keluarga

Seperti yang kita tahu lelaki memang dijadikan sebagai pelindung wanita. Mereka diberi keberanian dan kekuatan untuk melindungi hak-hak mereka terutamanya keluarga mereka.

Oleh yang demikian hendaklah seorang lelaki yang akan berkahwin bersedia menyiapkan diri dengan kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental serta persediaan yang perlu untuk melindungi keluarganya daripada bahaya dan gangguan perkara yang tidak elok.

Persediaan Untuk Menjadi Suami Adalah Satu Perkara Yang Serius

Itulah serba sedikit persediaan sebelum menjadi suami bagi golongan para lelaki. Ianya boleh dipraktikkan sedikit demi sedikit. Paling penting, ini semua adalah demi masa depan dan berusahalah dengan bersungguh-sungguh!

Makin anda bersedia dengan melakukan persiapan menjadi suami bererti makin cerah juga masa depan anda bersama bakal isteri tercinta. Baca juga sebab lelaki lambat kahwin, faedah melihat calon pasangan dan kriteria lelaki idaman wanita.

Sumber :

Baitul Jannah

Aku Islam

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.