Pasti ramai yang keliru dengan perbezaan pacat dan lintah. Mana tidaknya, dua spesis ini mempunyai banyak persamaan seperti bentuk dan cara melekap. Banyak spesis pacat dan lintah yang terdapat di Malaysia.

Pacat dan lintah merupakan haiwan parasite di luar perumah. Buat pengetahuan anda, haiwan anelid ini tergolong dalam subkelas Hirudinea yang mempunyai panjang 1cm hingga 30cm.

Kedua-dua haiwan ini pasti anda selalu jumpa di kawasan yang lembab dan semak. Kadangkala, apabila haiwan tersebut kenyang menghisap darah sehingga penuh kantung, baru kita sedar kedatangannya. Tahu-tahu sudah berdarah anggota badan.

Kebiasaannya tempat yang digigit akan berasa sejuk dan gatal. Cengkaman dua haiwan ini untuk menghisap darah amat kuat sehingga kenyang dan akan jatuh sendiri. Yang berani sudah pasti dapat mencabutnya guna tangan dengan mudah.

Buat anda yang geli, takut atau sukar untuk membuangnya, ada beberapa tips yang anda boleh lakukan jika pacat dan lintah melekap di anggota badan. Antara tipsnya adalah meletak garam, meletak perahan jus limau atau letakkan minyak angin pada haiwan tersebut. Dengan ini, haiwan tersebut akan jatuh dengan mudah.

Pacat dan lintah akan menjadi bahaya kepada manusia dengan beberapa sebab. Sebab yang pertama, kedua-dua haiwan ini boleh memasuki bahagian dalaman manusia menerusi rongga-rongga seperti dubur, hidung dan tekak. Lintah khususnya sering memasuki rongga badan dan masih boleh hidup jika berada dalam tubuh badan manusia.

Banyak kes telah berlaku dimana lintah memasuki bahagian tubuh manusia melalui dubur. Hal ini telah memberi kesan terhadap kesihatan seperti mangsa akan kehilangan darah yang banyak.

Seterusnya, gigitan lintah dan pacat juga bahaya buat pesakit anemia dan pesakit yang mengambil ubat untuk mencairkan darah. Sejumlah pacat dan lintah yang menghisap darah, dengan anggaran 0.7mg/dL darah untuk setiap seekor, membuatkan mangsa mengalami pendarahan yang boleh membawa maut.

Perbezaan pacat dan lintah boleh dinilai dari segi habitatnya. Kebiasaannya pacat boleh ditemui di daratan seperti kawasan semak dan rerumput yang lembab terutama selepas hujan. Lintah pula hidup di kawasan berair seperti paya, sungai dan parit.

Untuk pengetahuan anda, pacat mempunyai gigi pada mulut iaitu ditengah-tengah alat penghisap. Pacat menggunakan alat penghisap di bahagian depan untuk menghisap darah pemangsa.

Berbanding pacat, lintah mempunyai dua alat penghisap di setiap penghujung badan iaitu penghisap posterior dan penghisap anterior. Kombinasi dua bahagian ini juga membantu lintah untuk bergerak.

Imej via [ Mstar ]

Tidak seperti pacat, lintah kerap digunakan untuk merawat dan mempunyai kelebihan dalam merawat pelbagai penyakit sejak dahulu lagi. Walaupun ada bahayanya, namun di Malaysia sudah ramai yang membuat rawatan atau terapi lintah.

Bukan semua lintah boleh digunakan untuk rawatan. Di Malaysia, hanya spesis hirudinaria manillensis dan hirudo javanica yang sering digunakan untuk rawatan. Terapi lintah dapat mengatasi masalah bengkak, keradangan sendi, ulser vena dan sebagainya.

Tak banyak perbezaan pacat dan lintah namun secara umumnya dapat dibezakan melalui habitat dan struktur dalamannya. Kedua-dua haiwan ini mungkin dianggap biasa namun kadangkala dapat memberi kesan buruk dalam keadaan tertentu.

Rujukan

  1. Amin Zafri. (2019). Diserang Lintah dan Pacat: Rawatan Awal. MyHealth. [link]
  2. Mahani Ishak. (2021). Terapi Lintah Rawat Luka. Berita Harian. [link]
  3. Syaherah Mustafa. (2019). Anak Hampir Maut Kerana Gigitan Lintah. Berita Harian. [link]
  4. Tilahun T. (2015). Vaginal Leech Infestation: A Rare Cause of Hypovolumic Shock In Postmenopausal Woman. Ethiopian journal of health sciences25(4), 377–380. https://doi.org/10.4314/ejhs.v25i4.13

Nak tahu fakta lain? Jom baca artikel kami yang lain yang pasti bermanfaat buat anda seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.