Pernahkah anda dengar mengenai penyakit chikungunya? Penyakit Chikungunya telah melanda di negara Malaysia lebih kurang 12 tahun yang lalu. Ketika itu kes penyakit Chikungunya amat tinggi sehingga menjejak angka ribuan, begitu juga tahun berikutnya.

Namun bermula tahun 2011 angka kes penyakit Chikungunya telah menurun dan Malaysia dapat mengawal kes ini dengan baik sekali. Sama juga dengan tahun berikutnya. Pada tahun 2017, angka kes penyakit Chikungunya kembali meningkat kepada ratusan tetapi hanya sekejap sahaja. Tahukah anda apa itu penyakit Chikungunya?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai fakta mengenai penyakit Chikungunya. Info ini dikongsikan oleh klinik Dr Asmah. Klinik Dr. Asmah terletak di Sungai Petani, Kedah. Ia menawarkan pelbagai ‘service’ terutama sekali bagi wanita yang hamil. Ia juga menawarkan ‘service’ untuk pesakit biasa seperti kencing manis, darah tinggi, demam panas dan lain-lain lagi.

Fakta Penyakit Chikungunya

penyakit chikungunya

Imej via halodoc.com

Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

Nyamuk Aedes

Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

"

Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

Tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya

  • Demam panas mengejut
  • Sakit teruk pada sendi
  • Ruam pada badan
  • Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
  • Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.

Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Cara pencegahan penyakit Chikungunya

Guna sapuan pencegah serangga pada kulit yang terdedah semasa keluar bersiar, terutama semasa di siang hari. Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang semasa keluar bersiar. Jika boleh tinggal dalam tempat yang mempunyai skrin pelindung pada tingkap atau penghawa dingin untuk menjauhi nyamuk

Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.

Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes. Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit

Perbezaan antara demam denggi dan penyakit chikungunya ?

Chikungunya tidak ada pendarahan hebat, renjatan mahupun kematian. Dengan rehat yang secukupnya serta rawatan asimptomatik, penyakit ini akan sembuh sendiri dalam masa 7 hari

Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

*Berikut adalah persoalan-persoalan yang selalu ditanya mengenai penyakit Chikungunya. Walaupun penyakit Chikungunya ini tidak merbahaya seperti demam denggi, namun kita masih perlu berhati-hati dan menjaga kebersihan diri dan tempat kita tinggal. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.