Apa Itu Darah Haid?

Haid adalah darah yang keluar dari rahim melalui faraj seorang wanita pada waktu-waktu tertentu yang bukan disebabkan suatu penyakit atau kerana adanya proses kelahiran, tetapi keluarnya darah itu merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada seorang wanita. Sifat darah ini berwarna merah kehitaman yang kental, keluar dalam jangka waktu tertentu, bersifat panas, dan memiliki bau yang khas atau busuk.

darah

Imej via informarexresistere

Haid adalah sesuatu yang normal terjadi pada seorang wanita dalam keadaan yang berbeza-beza bagi setiap wanita. Ada yang ketika keluar haid ini disertai dengan rasa sakit pada bahagian pinggul, namun ada yang tidak merasakan sakit. Ada yang tempoh haidnya 3 hari, ada pula yang lebih dari 10 hari. Ada yang ketika keluarnya darah haid didahului dengan lendir kuning kecoklatan, ada pula yang terus keluar berupa darah merah yang kental. Oleh sebab itu adalah penting untuk setiap wanita mengenali ciri-ciri darah haid agar dapat membezakan antara darah haid dan juga darah-darah yang lain.

 

Apa Itu Darah Istihadah?

Istihadah adalah darah yang keluar di luar kebiasaan, iaitu tidak pada masa haid dan bukan pula kerana melahirkan anak. Secara umumnya darah ini keluar ketika sakit, sehingga sering disebut sebagai darah penyakit. Darah istihadah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil (العاذل). Imam Nawawi dalam Syarah Muslim mengatakan bahwa istihadhah adalah darah yang mengalir dari kemaluan wanita yang bukan pada waktunya dan keluarnya dari urat.

Sifat darah istihadah menurut mazhab Syafie adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning). Malah, kebiasaannya ia tidak berbau seperti darah haid.

 

Kaedah Membezakan Darah Haid Dan Istihadah

Berdasarkan hadis Nabi saw, ada tiga kaedah untuk membezakannya;

catat

Imej via wikihow

 

1) Merujuk Kepada Kebiasaan Haidnya Yang Lalu

Ini berdasarkan sabda Nabi saw kepada wanita yang istihadah. Pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid. Manakala darah yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadah).

Ini berpandukan hadis dari Aisyah r.a. yang menceritakan, “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi saw: “Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi saw menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap waktu untuk mencatat serta mengingati hari kebiasaan dia didatangi haid. Hendaklah dia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya, jika dia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadah.

 

2) Melihat Kepada Perbezaan Darah

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan sifat-sifat darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah ra yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadah, maka Rasulullah saw bersabda kepadanya” “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhu dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadah.

 

3) Dengan Merujuk Kepada Kebiasaan Haid Kebanyakan Wanita 

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari.

Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi ra yang menceritakan; “Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi saw untuk meminta fatwa dari Baginda. Lalu Baginda bersabda; “Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah.” (Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).

 

Wanita Perlu Tahu Perbezaan Darah Haid Dan Darah Istihadah

Setiap wanita perlu tahu membezakan antara darah haid dan istihadah. Hal ini sudah menjadi tanggungjawab peribadinya. Ini kerana darah yang keluar akan menentukan sama ada dia wajib menunaikan ibadah seperti biasa ataupun diharamkan ke atas dirinya.

Wanita di Malaysia secara umumnya menggunakan kaedah kebiasaan setiap bulan untuk menentukan sama ada darah yang keluar adalah darah haid ataupun istihadah. Apabila darah keluar melebihi tempoh 15 hari (mengikut Mazhab Syafie), maka darah yang keluar pada hari seterusnya dikira sebagai darah istihadah.

Namun begitu, wanita zaman kini berhadapan dengan perubahan corak kehidupan, pemakanan dan suhu persekitaran yang berbeza sehingga mempengaruhi kitaran haid mereka.

pil

Imej via wjactv

Penggunaan pil perancang dan suntikan pencegah kehamilan juga boleh mempengaruhi hormon tubuh menjadi tidak seimbang. Kesannya, aturan haid jadi tidak menentu sehingga wanita menjadi keliru sama ada darah yang keluar itu darah haid ataupun istihadah. Keadaan yang sama juga boleh berlaku bagi remaja wanita yang baru kali pertama didatangi darah haid dan masih belum mempunyai kebiasaan kitaran haid.

Oleh sebab itu, sangat penting bagi wanita untuk mengetahui kaedah membezakan sifat-sifat darah. Hal ini lebih praktikal untuk membezakan sama ada darah haid ataupun istihadah.

Darah Wanita

Imej via solusi

Meneliti sifat-sifat darah merupakan kaedah utama yang lebih berkesan untuk membezakan sama ada darah yang keluar itu adalah darah haid ataupun darah istihadah. Kaedah ini memerlukan setiap wanita meneliti dan memerhati ciri-ciri serta sifat darah yang keluar itu.

 

Sebagai contoh, seorang wanita mengalami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari ke-10, dia mendapati sifat-sifat darahnya telah berubah.

  • Pada hari ke-1 hingga ke-10, darahnya berwarna hitam (merah kehitaman) manakala, pada hari ke-11, dia mendapati warna darahnya adalah warna merah cair. Darah yang berwarna hitam adalah darah haid, manakala darah yang berwarna merah adalah darah istihadah.
  • Pada hari ke-1 hingga ke-10, darah bersifat pekat. Tetapi pada hari ke-11, darahnya cair. Darah yang pekat adalah darah haid, manakala darah yang cair adalah darah istihadah.
  • Pada hari ke-1 hingga ke-10, darah yang keluar mempunyai bau, tetapi pada hari ke-11, darah yang keluar tidak ada bau. Darah yang berbau itu adalah darah haid, tetapi darah yang tidak mempunyai bau itu adalah istihadah.

Jika wanita seperti contoh di atas menggunakan kaedah penelitian kepada perbezaan darah, maka wanita tersebut sudah tamat haid pada hari ke-10 dan boleh mandi wajib serta bersuci pada hari ke-11. Berbeza jika dia mengguna pakai pendapat Mazhab Syafie yang meletakkan tempoh maksimum haid adalah 15 hari 15 malam.

 

Kesimpulan

Bukan semua wanita tahu, arif serta yakin untuk memerhati dan meneliti seterusnya membuat keputusan untuk menentukan sama ada darah yang keluar itu adalah darah haid ataupun darah istihadah. Oleh itu, bagi wanita yang sering dilanda was-was, cukuplah jika anda berpegang kepada pendapat Mazhab Syafie iaitu tempoh maksimum bagi haid adalah 15 hari 15 malam. Jika masih terdapat darah yang keluar pada hari ke-16, ia adalah adalah istihadah.

Namun, bagi wanita yang arif serta yakin untuk menentukan jenis darah yang keluar berdasarkan sifat-sifat darah tersebut, anda boleh sahaja mengikut kaedah itu tanpa perlu menunggu hari ke-15 untuk mengesahkan darah yang keluar itu adalah darah istihadah.

Semoga Allah menerima ilmu dan amal kebajikan kita. Amin.

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Perbezaan Darah Haid Dan Istihadah yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Rujukan:

  1. Solusi
  2. Sirap Limau
  3. Harian Metro
  4. Addeen
  5. Fiqh Am
  6. Fiqh Wanita
  7. Utusan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.