Dalam artikel ini, manfaat minyak kelapa dara untuk lelaki akan dibincangkan melalui hasil bacaan kertas kajian saintifik yang pernah diterbitkan.

Penggunaan minyak kelapa dara dalam membantu meningkatkan kesihatan seringkali dibincangkan apabila semakin banyak penyelidikan saintifik dilakukan. Bermula sebagai petua kesihatan tradisi, manfaat kesihatan minyak kelapa dara semakin diterima oleh masyarakat apabila banyak saintis membuktikan kelebihan penggunaan minyak kelapa dara ini.

Secara umumnya, kandungan asid laurik dalam minyak kelapa dara akan menyebabkan minyak kelapa ini diserap secara terus ke dalam sel darah. Maka, hal ini dapat mencegah pengumpulan lemak dalam minyak pada saluran darah. Hal ini turut menangkis dakwaan bahawa disebabkan minyak kelapa dara mengandungi lemak tepu, maka minyak kelapa dara boleh mengakibatkan masalah kardiovaskular dan saluran darah tersumbat.

Selain itu, kandungan sebatian kimia dalam minyak kelapa dara iaitu flavonoid dan polifenol boleh mengurangkan tekanan oksidatif yang jika tidak dikawal boleh menjadi punca berlakunya penyakit yang berbahaya seperti kanser dan sakit jantung.

Bagi melihat manfaat minyak kelapa dara ke atas kesihatan golongan lelaki, komposisi sebatian kimia yang terdapat dalam minyak kelapa dara dianalisis bagi melihat kesan kesihatannya, sebagaimana yang pernah dilaporkan oleh sekumpulan penyelidik dari Brazil pada tahun 2015.

Komposisi Minyak Kelapa Dara

Analisis tersebut menunjukkan bahawa dalam satu sudu teh besar minyak kelapa dara (kira-kira 13 gram), terdapat 12 gram lemak (11.2 gram lemak tepu, 0.7 gram lemak mono tidak tepu, dan 0.2 gram asid lemak poli tidak tepu. Asid lemak utama dalam minyak kelapa dara ialah asid laurik, miristik, dan palmitik.

Mengurangkan Tekanan Oksidatif dan Profil Lipid

Tekanan oksidatif merupakan ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit berbahaya. Keadaan ini banyak ditemui dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Kajian lepas menilai profil lipid dan tekanan oksidatif dalam kalangan lelaki berusia 35 – 65 tahun menunjukkan perubahan dari segi kandungan antioksidan dalam kumpulan yang mengambil minyak kelapa dara. Namun, kesimpulan penuh berkenaan manfaat minyak kelapa dara ini perlu diteroka dengan lebih luas apabila potensinya dilihat sangat memberangsangkan.

Imej via Bidadari

Mengurangkan Masalah Obesiti

Kajian terhadap subjek berumur antara 20 – 40 tahun yang mengambil sekurang-kurangnya 30 ml minyak kelapa dara setiap hari, menunjukkan penurunan indeks jisim badan (BMI) yang signifikan dengan pengurangan jelas pada ukur lilit pinggang. Kandungan kolestrol dalam badan juga didapati semakin seimbang.

Kajian tersebut juga menyarankan pengambilan minyak kelapa dara ini 30 minit sebelum makan. Menariknya, pemerhatian pengurangan berat badan ini hanya dilihat dalam kalangan subjek lelaki sahaja.

Menurunkan Kandungan Lemak dalam Darah

Sekumpulan penyelidik dari UK pada tahun 2018 telah melaporkan kesan pengambilan minyak kelapa dara ke atas profil darah 94 subjek lelaki. Cadangan pengambilan ialah 50 gram pada setiap hari selama 4 minggu berturut-turut menunjukkan perubahan profil darah yang baik dengan penurunan kandungan lemak dalam darah. Namun, tiada perubahan yang signifikan dilaporkan ke atas BMI, tahap gula dalam darah, dan tekanan darah yang mungkin disebabkan oleh faktor gaya hidup subjek kajian yang perlu dipantau.

Perubatan Ayuverda

Manfaat kesihatan berdasarkan perubatan Ayuverda ini merupakan huraian yang belum dibuktikan secara klinikal sepenuhnya, tetapi boleh dijadikan sebagai petua tradisi dengan menggunakan minyak kelapa dara pada kadar yang sedikit.

Sejak 4000 tahun yang lalu, perubatan Ayuverda telah mempromosikan penggunaan minyak kelapa dara untuk manfaat kesihatan, antaranya sebagai:

  • Membantu penurunan berat badan
  • Kesihatan jantung
  • Menguatkan imuniti
  • Menyembuhkan luka
  • Meningkatkan memori
  • Melembapkan kulit
  • Kesihatan mulut

Aspek ini telah menjadikan minyak kelapa dara sebagai ‘super food’ oleh masyarakat antarabangsa khususnya mereka di USA dan negara-negara Barat yang lain.

Peranan Minyak Kelapa Dara untuk Kulit Lelaki

Dari segi penjagaan kulit, golongan lelaki mungkin kurang mengambil berat akan rutin penjagaan kulit. Dengan penggunaan minyak kelapa dara yang mudah diaplikasikan, hal ini boleh membantu penjagaan kulit yang sihat bagi mereka. Tambahan pula, kajian penyelidik Cleveland pada tahun 2018 yang diterbitkan pada di Current Nutrition Reports ada mengaitkan penggunaan minyak kelapa dara dengan kesan kesihatan kulit yang baik. Antaranya:

  • Membaiki lapisan hadangan kulit
  • Tindak balas anti bakteria di permukaan kulit
  • Kesan anti keradangan kulit
  • Menggalakkan penyembuhan luka

Kesimpulan

Penggunaan minyak kelapa dara dalam bidang penjagaan kesihatan semakin berkembang dan meluas. Namun, ada yang mengambil kesempatan dengan memasarkan minyak kelapa dara ini sebagai produk ‘ajaib’ yang boleh mendatangkan terlampau banyak khasiat. Penggunaan minyak kelapa dara ini perlu digunakan secara sederhana bagi mengelakkan kesan sampingan yang belum diketahui. Kajian ke atas manfaat kesihatannya juga masih di peringkat awal.

Namun, kajian sedia ada telah menunjukkan kesan kesihatan yang baik buat golongan lelaki untuk diamalkan pada kadar dan amaun yang sedikit atau sederhana. Antara manfaat minyak kelapa dara untuk lelaki ialah membantu mengurangkan masalah kardiovaskular, menurunkan ukur lilit pinggang dengan membantu kawalan obesiti, bertindak sebagai antioksidan dan memberikan penjagaan kulit yang baik, terutamanya apabila golongan lelaki sering memandang ringan aspek penjagaan diri.

Rujukan

  1. Boemeke, L., Marcadenti, A., Busnello, F. M., & Gottschall, C. B. A. (2015). Effects of coconut oil on human health. Open Journal of Endocrine and Metabolic Diseases5(07), 84. (link)
  2. Khaw, K. T., Sharp, S. J., Finikarides, L., Afzal, I., Lentjes, M., Luben, R., & Forouhi, N. G. (2018). Randomised trial of coconut oil, olive oil or butter on blood lipids and other cardiovascular risk factors in healthy men and women. BMJ open8(3), e020167. (link)
  3. Sankararaman, S., & Sferra, T. J. (2018). Are we going nuts on coconut oil?. Current nutrition reports7(3), 107-115. (link)

Jemput juga baca artikel

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.