Jom ketahui panduan Qiamullail.

Kebanyakan daripada kita hanya menghidupkan qiamullail pada bulan Ramadan lantaran mahu  mengejar pahala pada bulan suci tersebut. Namun bukankah sebaik-baik amalan adalah amalan yang sedikit namun berpanjangan.

Oleh itu, jika kita sudah amalkan berqiamullail sepanjang bulan Ramadan, apa kata jika diteruskan ibadat ini secara berlarutan. Jika diamalkan selalu, lama-kelamaan ianya akan terbiasa bahkan berasa rindu jika tidak melakukannya.

qiamullail

Sumber: Ikimfm

Apakah yang Dimaksudkan Dengan Qiamullail?

Qiamullail bermaksud ‘berjaga’  atau ‘bangun malam’pada waktu malam untuk melakukan ibadah kepada Allah. Maksudnya, menghidupkan malam dengan memenuhi masa untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sewaktu orang lain nyenyak dibuai mimpi. Antara ibadat yang boleh dilakukan semasa berqiamullail adalah:

  • Solat tahajud
  • Solat hajat
  • Solat taubat
  • Solat tasbih
  • Solat sunat
  • Mengaji al-Quran
  • Berzikir
  • Berselawat
  • Mendengar ceramah agama

Waktu untuk Berqiyamulail?

Waktu terbaik adalah di tengah malam, iaitu selepas isyak sehingga sebelum subuh.  Lebih tepat lagi, pada 2/3 malam iaitu kira-kira jam 4.30 pagi. Sebaiknya, tidurlah dahulu sebentar sebelum bangun kemudiannya.

 “Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh Allah ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

(Hadis Riwayat at-Tirmizi )

 

Bagaimana cara untuk Berqiamullail?

Sebenarnya tidak ada cara atau panduan khusus dalam menghidupkan qiamulail. Bahkan  terdapat pelbagai saranan yang bergantung kepada individu. Antara yang mudah dan ringkas adalah seperti berikut;

  1. Dimulakan dengan niat untuk bangun qiamullail semasa tidur. Pastikan anda tidur awal supaya boleh bangun semula di tengah malam.

“Barangsiapa yang tidur sedang dia berniat akan bangun untuk bersolat di malam hari, tetapi dia terus tertidur hingga pagi, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya dan tidurnya itu merupakan rahmat Allah kepadanya.”

(Hadis Riwayat an-Nasai dan Ibn-Majah)

  1. Sebaik bangun dari tidur, bersihkan diri dengan mandi dan menggosok gigi kemudian berwuduk dan memakai pakaian bersih sebagai persediaan untuk berqiamullail.
  2. Memulakan solat tahajud dengan solat dua rakaat dan ulang selagi mampu.
  3. Selepas itu, terpulanglah kepada diri sendiri untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat hajat dan solat sunat witir,
  4. Boleh lakukan amalan ibadah lain seperti memabaca al-Quran dan berzikir.
  5. Ingatkan atau bangunkan ahli keluarga yang lain untuk berqiamullail bersama.

“Apabila seseorang membangunkan isterinya di malam hari lalu kedua-duanya bersolat/bersolat dua rakaat bersama-sama, ditulislah baginya dalam golongan orang-orang yang mengingati Allah.”

(Hadith Riwayat Abu Daud)

  1. Berhenti daripada melakukan ibadah jika mengantuk. Tidur sekejap dan sambung semula apabila mengantuk hilang.
  2. Beribadah sekadar yang mampu tapi istiqamah iaitu dilakukan selalu. Tidak guna jika anda berjaga sepanjang malam dan beria-ria beribadah tanpa henti namun tidak istiqamah melakukannya.

Apakah Kelebihan Qiamullail?

Sangat banyak keistimewaan dan kelebihan berqiamullail. Antaranya adalah;

  1. Meningkatkan Keimanan Kepada Allah SWT

Dengan melazimi qiamullail, itu menandakan kita sedang berusaha menjadi hamba yang baik dengan beriman kepada Allah SWT. Selain menunaikan kewajipan lima waktu, mendirikan solat-solat sunat juga akan meningkatkan iman kita kepadaNya.

  1. Meningkatkan Darjat di Sisi Allah SWT

Semakin istiqamah dalam melakukan qiamullail, semakin tinggi darjat kita di sisi Allah dan semakin dekat kita denganNya. Ini kerana tidak semua orang mendapat kedudukan ini di sisi Allah lantaran tidak mampu untuk bangun malam di tengah malam dan berqiamulail.

qiamullail

Sumber: Mohdasri

3. Dapat Melakukan Ibadah Dengan Lebih Khusyuk

Pada tengah malam, suasana sepi dan hening lebih tenang untuk beribadah memandangkan kebanyakan orang sedang lena diulit mimpi. Oleh itu ibadah dapat dilakukan dengan lebih khusyuk.

  1. Mendidik Jiwa Supaya Bersyukur

Dengan nikmat kesihatan yang diberikan. Berapa ramai di antara kita yang terlupa bahawa tubuh badan yang sihat dan mampu bangun malam untuk beribadat adalah salah satu nikmat yang tidak dimilik oleh semua.

  1. Dimurahkan Rezeki

Golongan yang kerap berjaga malam untuk melakukan qiamullail akan dihadiakan dengan rezeki yang melimpah-ruah dan tidak disangka-sangka.

6. Melatih Diri untuk Menjadi Insan yang Bertakwa

Melakukan qiamullail akan menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa kepadaNya. Bahkan lebih berasa takut untuk melakukan kesalahan dan dosa.

  7. Melatih Diri untuk Memperbanyakkan Ibadah Sunat

Pada waktu siang kita sibuk dengan urusan seharian. Malam hari adalah masa dan peluang yang sesuai untuk ‘berjumpa’ dengan Allah SWT secara lebih khusyuk dan bersungguh. Keseronokan itu membuatkan kita berasa lebih mahu untuk melakukannya lagi pada masa akan dating.

8. Mendidik Jiwa Melawan Nafsu dan Hasutan Syaitan

Jika kita hanya fikirkan bahawa tidur adalah lebih seronok daripada beribadah malam, maka pasti berasa berat untuk melaksanakannya.

Tetapi jika kita berjaya melawan nafsu untuk tidur dan memilih untuk bangun, berwuduk serta bersolat, ianya adalah sebuah kepuasan dan kejayaan besar. Selain itu;

  1. Memberi ketenangan jiwa
  2. Memberi kesihatan fizikal
  3. Menajamkan akal fikiran
  4. Memberi kekuatan rohani
  5. Melatih diri untuk berasa takut dan hanya berharap kepada Allah SWT

Kesimpulannya, tidak semua orang mampu untuk bangun, menyelak selimut serta membasahi tubuh dengan wuduk di tengah malam yang dingin. Tetapi jika ada yang kerap melakukannya maka itu adalah sebuah hadiah istimewa yang diperolehinya, bahkan ianya menyambut anugerah Allah SWT itu dengan memperoleh semua kelebihan di sepertiga malam itu.

Allah SWT telah menyediakan begitu banyak keistimewaan tatkala kita semua sedang hanyut dibuai lena, hanya yang benar-benar menghargai dan menghayati keindahan berqiamulail akan berusaha untuk merebutnya. Semoga kita adalah salah seorang yang mampu untuk  melazimi dan menghidupkan malam-malam dengan berqiamulail dan beribadah kepada pencipta kita, amin.

Rujukan/Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.