Jom ketahui kelebihan malam lailatul qadar. Malam yang sering diburu oleh pemburu Ramadhan.
Lailatul Qadar adalah daripada Bahasa Arab yang bermaksud Malam Kemuliaan. Malam ini adalah satu malam yang dikhususkan hanya terjadi pada bulan Ramadan sahaja. Malam ini disebut di dalam al-Quran dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.
Firman Allah swt:
Maksudnya, “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadr, Ayat 1-5)
Lailatul Qadar adalah rahsia Allah swt. Tiada siapa yang tahu bila tarikh tepat bila akan berlakunya Lailatul Qadar. Oleh sebab itu, kita perlu berusaha semampu mungkin untuk meningkatkan amal terutama pada 10 malam terakhir bulan Ramadan untuk mendapatkan Lailatul Qadar.
Nabi saw bersabda,
Maksudnya, “Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.” (HR Bukhari)
Kebarangkalian Lailatul Qadar terjadi pada malam-malam ganjil itu lebih tinggi daripada malam-malam genap, sebagaimana sabda Nabi saw,
Maksudnya, “Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” (HR Bukhari)
Kemungkinan juga Lailatul Qadar berlaku pada tujuh malam terakhir bulan ramadan sebagaimana hadis dari Ibnu Umar bahwa Nabi saw bersabda,
Maksudnya, “Carilah lailatul qadar di sepuluh malam terakhir, namun jika ia ditimpa keletihan, maka janganlah ia dikalahkan pada tujuh malam yang terakhir.” (HR Muslim)
Namun pendapat yang paling kuat adalah seperti yang dikatakan oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari bahawa Lailatul Qadar itu terjadi pada malam ganjil dari sepuluh malam terakhir dan waktunya berubah-ubah setiap tahun. Mungkin pada tahun tertentu terjadi pada malam kedua puluh tujuh atau mungkin juga pada tahun yang berikutnya terjadi pada malam kedua puluh lima, bergantung kepada kehendak dan hikmah Allah swt. Hal ini dikuatkan oleh sabda Rasulullah saw,
Maksudnya, “Carilah lailatul qadar di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan pada sembilan, tujuh, dan lima malam yang terakhir.” (HR Bukhari)
#1 Cuaca Yang Baik
Sebagaimana dari Ibnu Abbas, Rasulullah saw bersabda,
لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء
Maksudnya, “Lailatul qadar adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan.” (HR At-Thoyalisi)
#2 Merasai Ketenangan
Malaikat menurunkan ketenangan sehingga manusia merasakan ketenangan tersebut dan merasakan kelazatan dalam beribadah yang tidak didapatkan pada hari-hari yang lain.
#3 Mimpi Akan Lailatul Qadar
Manusia dapat melihat malam ini dalam mimpinya sebagaimana terjadi pada sebahagian para sahabat.
#4 Matahari Redup Pada Keesokan Harinya
Matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan jernih, tidak ada sinar. Dari Abi bin Ka’ab bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Subuh hari dari malam lailatul qadar matahari terbit tanpa sinar, seolah-olah mirip bejana (bekas dari tanah liat) hingga matahari itu naik.” (HR Muslim)
1) Waktu diturunkan Al Qur’an
Ibnu ‘Abbas mengatakan, “Allah menurunkan Al Quran secara utuh sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia.
Kemudian Allah menurunkan Al Quran kepada Rasulullah saw secara terpisah sesuai dengan kejadian-kejadian yang terjadi selama 23 tahun.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 403). A-Quran adalah mukjizat agung Nabi saw. Dan Allah menetapkan al-Quran turun pada Lailatul Qadar. Ini jelas menunjukkan keistimewaan Lailatul Qadar.
2) Lailatul Qadar Lebih Baik Dari 1000 Bulan
Allah swt berfirman,
Maksudnya, “Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr, Ayat 3)
Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksud dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatul Qadar adalah lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat Lailatul Qadar. (Zaadul Masiir, 9: 191).
3) Lailatul Qadar Adalah Malam Yang Penuh Keberkatan
Allah swt berfirman,
Maksudnya, “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.” (Surah ad-Dukhan, Ayat 3)
Malam penuh berkat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah malam Lailatul Qadar.
4) Para Malaikat Turun Pada Lailatul Qadar
Allah swt berfirman,
Maksudnya, “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril.” (Surah Al Qadr, Ayat 4) Malaikat Jibril disebut ‘ar-Ruh’ di dalam ayat ini untuk menunjukkan kemuliaan (keutamaan) malaikat tersebut.
Banyak malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya berkat pada malam tersebut. Beruntungnya jika manusia yang sedang beribadah dan berada dalam majlis ilmu pada mala mini kerana malaikat akan melebarkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 407)
5) Lailatul Qadar Dipenuhi Dengan Kesejahteraan
Yang dimaksud sejahtera adalah,
Maksudnya, “Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah alQadr, Ayat 5)
Lailatul Qadar disebut penuh kesejahteraan kerana syaitan tidak dapat berbuat apa-apa di malam tersebut baik berbuat keburukan atau mengganggu yang lain. Manakala, menurut Mujahid (Lihat Tafsir Al-Quran Al-Azim, 14: 407), sejahtera pada lailatul Qadar adalah kerana banyak yang selamat daripada hukuman dan seksa kerana mereka melakukan ketaatan pada Allah pada malam tersebut.
6) Lailatul Qadar Berlaku Hanya Setahun Sekali
Allah swtberfirman,
Maksudnya, “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah ad-Dukhan, Ayat 4)
Lailatul Qadar bukan selalu terjadi. Ia hanya berlaku 1 malam sahaja dalam setahun. Oleh itu, sangat penting untuk kita mencarinya kerana, kita tidak tahu apakah kita mampu menemui Ramadan pada tahun hadapan.
7) Dosa Setiap Orang Yang Menghidupkan Malam Lailatul Qadar Akan Diampuni Oleh Allah SWT
Dari Abu Hurairah, Nabi saw bersabda,
Maksudnya, “Barangsiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR Bukhari)
Ibnu Hajar al-Asqolani mengatakan bahawa yang dimaksud ‘imanan’ (kerana iman) adalah membenarkan janji Allah iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut. Sedangkan ‘ihtisaban’ bermakna mengharap pahala dari sisi Allah, bukan kerana mengharap perkara yang lain contohnya berbuat riya’. (Lihat Fathul Bari, 4: 251)
Lailatul Qadar adalah satu malam yang terlalu istimewa. Nabi saw sendiri berusaha untuk mencari dan sentiasa menghidupkan 10 malam terakhir bulan Ramadan agar dapat bertemu dengan Lailatul Qadar.
Oleh itu, kita juga perlu berusaha untuk menghidupkan malam-malam terakhir bulan Ramadan agar kita juga dapat menikmati keistimewaan Lailatul Qadar.
Bagaimana dengan artikel berkenaan malam Lailatul Qadar yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?
Rujukan: