Kuantan 188 merupakan bangunan kedua tertinggi di Malaysia dan tertinggi di pantai timur. Menara yang telah siap dibina pada September 2019 dirasmikan pada Februari 2022. Menara ini mempunyai ketinggian 188 meter.
Buat pengetahuan anda, Kuantan 188 merupakan sebahagian daripada projek Kuantan Waterfront. Setiap konsep dan reka bentuk bangunan mempunyai simbolik tersendiri. Antaranya adalah anjung menara yang menggambarkan kepelbagaian rakyat Kuantan dan Pahang, lima tiang keluli yang melambangkan lima prinsip rukun negara dan lima rukun Islam dan sebagainya.
Keunikan Menara Kuantan 188 yang tidak dapat diperoleh di menara tertinggi di Malaysia yang lain juga, membuatkan ramai yang terpukau apabila berada di sini. Kemudahan juga lengkap tersedia termasuk tandas, surau, restoran dan lain-lain.
Merupakan salah satu tempat menarik di Kuantan yang perlu dikunjungi, banyak aktiviti tersedia buat pengunjung hanya dalam satu bangunan. Jom terokanya!

Salah satu keunikan menara ini terletak pada lif kaca yang membolehkan pengunjung tiba ke bahagian anjung menara dengan ketinggian 104 meter sambil menikmati pemandangan sekeliling dengan jelas.

Tarikan dan aktiviti utama di sini semestinya menikmati pemandangan 360 darjah panorama Sungai Kuantan dan bandar Kuantan. Pengunjung boleh ke dek tontonan yang berada pada aras 92 meter dan 104 meter dari aras tanah.
Pengunjung boleh melihatnya sama ada di anjung tertutup iaitu bahagian dalam menara dari ketinggian 92 meter atau di anjung terbuka yang berada di luar menara. Jika anda seorang yang berani, nikmatilah pemandangan memukau di anjung terbuka pada ketinggian 104 meter.
Pasti mendamaikan apabila berada di anjung terbuka kerana sambil menikmati pemandangan indah, pengunjung dapat menghirup udara segar sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Mahukan aktiviti yang menguji adrenalin anda? Skywalk pasti mampu membuatkan anda merasai detik mendebarkan sewaktu menikmati suasana sekitar. Namun percayalah, setelah beberapa ketika anda pasti puas hingga hilang rasa ketakutan.
Mana tidaknya,berada ‘tergantung’ di udara merupakan pengalaman yang pasti tak dapat dilupakan lebih-lebih lagi melakukannya bersama keluarga atau rakan-rakan. Jika anda mahu menyertai Sky Walk, anda perlulah memakai pakaian dan kasut yang sesuai serta selesa.
Buat pengetahuan anda, anda juga melakukan aktiviti ini pada waktu malam. Semestinya suasana dan landskap yang lebih memukau.
Jika ada yang pernah mengunjungi Menara Macau dan Menara Taipei 101, pasti mengetahui tentang keunikan kedua-dua menara ini yang menyediakan aktiviti paling mencabar, lasak dan unik iaitu Drop Zone dan Anthena Climb.
Di Kuantan 188, Anthena Climb atau pendakian tiang dimulakan pada ketinggian 160 meter untuk ke puncak keluli yang setinggi 66 meter. Ada yang berani nak mencubanya? Jom uji keberanian anda dengan Anthena Climb!

Pihak Kuantan 188 juga menawarkan pakej makan malam romantis lengkap dengan pelbagai kemudahan. Pakej termasuk tiket kombo, dekorasi, makanan dan lain-lain. Bukan sahaja dapat menikmati makanan enak, malah pengunjung disajikan dengan pemandangan menarik di menara. Makan malam pasti jadi lebih bermakna bersama yang tersayang.
Tak tahu tempat menarik untuk menyambut majlis hari jadi, majlis ulang tahun perkahwinan dan sebagainya? Hubungi pihak menara kerana mereka akan mengaturkan kesemuanya buat anda.

Sudah menjadi satu tarikan bagi setiap menara tertinggi dengan menyalakan lampu aneka warna bagi menarik perhatian pelancong. Di Kuantan 188 juga pengunjung dapat menikmati dan melihat kemeriahan cahaya yang cantik di bahagian luar menara.
Selain aktiviti dalaman menara, pengunjung juga boleh melawati tempat menarik di bahagian luar menara iaitu Laman Teruntum, Kuantan Esplanade, Mercu Junjung Duli, hutan simpan bakau serta Serambi Teruntum. Kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada projek Kuantan Waterfront. Di setiap kawasan tersebut juga mempunyai tarikan tersendiri dan boleh melakukan pelbagai aktiviti lain.
Ini baru beberapa aktiviti yang telah dilancarkan di Kuantan 188. Dengar kata banyak lagi aktiviti menarik akan dilancarkan seperti Rope Course atau Bungee Jump. Jika anda mahukan perkembangan atau program semasa di Kuantan 188, layari laman berikut:
Berikut merupakan harga tiket dan pakej untuk rujukan anda:

Alamat: Kuantan 188, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang
Waktu operasi: Isnin-Khamis (10.00 am-11.00 pm) | Jumaat-Ahad & Cuti Umum (10.00 am-12.00 pm)
Menarikkan aktiviti di Menara Kuantan 188? Khas untuk penggemar aktiviti lasak, anda memang perlu datang ke sini dan menyertai aktiviti yang ada. Namun rancanglah sebaiknya dan datang pada keadaan cuaca yang baik kerana ia menjadi salah satu faktor keselamatan khususnya untuk melakukan aktiviti lasak.
Tunggu apa lagi? Jom ajak keluarga, pasangan dan sahabat untuk ke Menara Kuantan 188 dan nikmati pengalaman unik dan menyeronokkan.
Nak tahu lebih banyak tempat menarik di Pahang? Jom kunjungi tempat-tempat berikut: