Berbicara tentang rezeki, sebagai seorang yang beragama islam pastinya kita wajib mempercayai bahawa rezeki datang dari Allah. Malahan seawal kita berada dalam alam roh sewaktu berada di dalam rahim ibu lagi semua rezeki dan perjalanan hidup kita sudah tertulis. Selaku hambanya kita sebagai manusia wajib berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang kita hajatkan namun di akhirnya Allah lah yang menentukan setakat mana rezeki kita.

Terdapat lapan jenis rezeki menurut pandangan para ulama dan ilmuan islam.Jom ketahui konsep rezeki yang sebenar.

Setiap satu rezeki ini adalah berbeza di antara satu sama lain dan semuanya sudah tertulis untuk kita. Cuma mungkin kita belum memperoleh rezeki tersebut kerana belum berusaha dengan sekuatnya dan mungkin juga kerana belum tiba masa untuk kita memilikinya. Lapan jenis rezeki tersebut ialah:

Rezeki yang telah dijamin

Rezeki yang telah dijamin ialah jenis rezeki yang telah dijanjikan oleh Allah kepada semua makhluknya termasuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini adalah rezeki yang telah tertulis di Luth Mahfuz semasa kita masih berada di alam roh dan selamat berada di dalam rahim ibu. Rezeki yang telah tertulis ini pasti kita akan dapat kerana ia telah dijamin oleh Allah. Di antara rezeki yang telah dijamin oleh Allah ialah:

  • Siapa jodoh kita
  • Di mana dan bila kita akan berkahwin
  • Berapa ramai anak kita
  • Berapa panjang jodoh kita bersama suami

Tiada sesiapa yang boleh menghalang kita daripada memperoleh rezeki ini kerana ianya telah tertulis untuk kita.

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

” Tidak ada satu makhluk melata pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin Allah rezekinya.” (Surah Hud : 6)

Rezeki kerana berusaha

Rezeki ini adalah rezeki yang dijanjikan oleh Allah untuk setiap yang berusaha untuk mendapatkan rezeki. Bagi manusia yang keluar mencari rezeki, dijanjikan dengan gaji dan rezeki yang banyak. Kepada burung yang keluar untuk mencari makanan, dijanjikan makanan untuknya dan keluarga. Malah untuk tumbuhan juga Allah janjikan rezeki yang datang dari hujan dan sinaran matahari

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

” Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.”(Surah An-Najm : 39).

Rezeki kerana bersyukur

Jenis rezeki yang seterusnya ialah rezeki yang kita akan dapat disebabkan oleh kita seorang hamba yang sentiasa bersyukur kepada Allah. Semakin banyak kita bersyukur, semakin murah rezeki kita. Ini juga adalah janji Allah. Oleh itu, marilah kita menjadi hamba yang bersyukur.

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

” Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”(Surah Ibrahim : 7)

konsep rezeki

Sumber: Encikshino

Rezeki tak diduga

Konsep rezeki yang seterusnya ialah rezeki yang datang secara tak terduga. Kalau orang melayu, ini adalah rezeki yang kita gelar rezeki terpijak atau duit jatuh dari langit. Rezeki ini datang tanpa kita pinta dan tanpa sebarang usaha dari kita. Bersyukurlah jika kita mendapat rezeki jenis ini.

‎وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا( ) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

” Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”m(Surah At-Thalaq : 2-3).

Rezeki kerana rajin berstighfar

Satu lagi jenis rezeki ialah rezeki yang datang kerana kita sebagai hamba banyak beristighfar kepada Allah. Itulah sebabnya kita perlu banyak beristighfar kepada Allah. Bukan sahaja ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah, malah ia akan membawakan rezeki kepada kita.

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ( ) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

” Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta.” (Surah Nuh : 10-11).

Rezeki kerana berkahwin

Allah menjanjikan rezeki kepada hambanya yang bernikah. Ini kerana menikah adalah perbuatan yang dituntut di dalam islam. Selepas bernikah biasanya rezeki kita akan melimpah-ruah. Setelah mendapat anak, anak juga membawa rezeki kepada kita.

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ

” Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka ALLAH akan memberikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya.”(Surah An-Nur : 32).

Rezeki kerana anak

Jenis rezeki yang seterunsya ialah rezeki kerana anak. Ketahuilah bahawa setiap anak yang lahir adalah pembawa rezeki. Jangan takut untuk mengandung kerana risau tidak cukup duit untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik buat anak.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ

” Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : 31).

Rezeki kerana rajin bersedekah

Jenis rezeki yang terakhir ialah rezeki yang kita dapat kerana bersedekah. Sesungguhnya sedekah membuka pintu rezeki. Sedekah tidak akan membuatkan kita jatuh miskin malah ia akan memberikan kita rezeki yang melimpah-ruah.

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً

” Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada ALLAH, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka ALLAH akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 245).

Itulah dia perkongsian tentang konsep rezeki yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel konsep rezeki ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang punca kurang rezeki jenis rezeki dan keberkatan rezeki

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.