Ayuh kenali kisah isteri Firaun yang bernama Asiah Binti Muzahim dan kehebatan beliau mempertahankan keimanannya.
Dalam al-Quran, nama Asiah tidak disebutkan namun dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis baginda, sabda baginda:
“Wanita penghuni syurga yang paling utama adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Mazahim isteri Firaun.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Thabrani)
Asiah binti Muzahim merupakan isteri kepada Firaun serta ibu angkat kepada Nabi Musa A.S. Allah S.W.T menurunkan ujian kepada wanita hebat ini dengan diberikan seorang suami yang kufur, kejam serta kuat menentang agama Allah S.W.T.
Dalam kekejaman dan ketaksuban suaminya yang mengakui diri sebagai tuhan, Asiah telah bertindak ‘menentang suaminya’ dengan memeluk agama Islam dan beriman kepada Allah S.W.T secara rahsia dan sembunyi. Pengislaman dan keyakinannya terhadap agama Allah bermula sewaktu melihat mukjizat Nabi Musa A.S dengan tongkat baginda bertukar menjadi ular.
Dikatakan Asiah berasal daripada kerabat yang kaya-raya selain seorang yang cantik serta mempunyai budi pekerti yang baik. Beliau juga seorang yang rendah diri serta tidak sombong dengan kekayaan serta pangkat kedudukannya.
Namun setelah memeluk Islam, Asiah tidak lagi melihat istana Firaun sebagai sebuah kebahagian tetapi memilih cinta Allah S.W.T sehinggakan beliau rela disiksa oleh suaminya sendiri. Firaun yang sangat marah dan berdukacita dengan tindakan Asiah yang enggan mengakuinya sebagai tuhan telah bertindak menyiksa isterinya itu sehingga mati.
Kisah isteri Firaun ini dibicarakan Allah S.W.T dalam al-Quran menerusi surah at-Tahrim: 11. Allah berfirman yang bermaksud,
“Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata; “Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.”
(at-Tahrim : 11)
Doa Asiah ini dirakamkan oleh Allah S.W.T bagi memberikan gambaran bahawa kesenangan dan kebahagiaan hidup ini bukanlah di dunia semata-mata, tetapi ganjaran di akhirat adalah lebih utama.
Kisah Asiah ini bukanlah sekadar memperlihatkan ketabahan dan kesabaran sebagai seorang isteri kepada sosok yang mengakui dirinya tuhan, tetapi betapa pentingnya untuk bertunjangkan iman yang kuat dan kental sebagai tujuan hidup.
Asiah bukan sahaja wanita berani yang menentang suaminya, tetapi seorang pejuang yang hanya meletakkan Allah S.W.T sahaja di hatinya, sebab itulah beliau tidak berasa takut atau gentar sedikit pun untuk mengakui bahawa beliau beriman hanya dengan Allah, bukan suaminya Firaun.
Disebabkan itulah, disebutkan oleh Rasulullah S.A.W bahawa Asiah adalah wanita yang dijanjikan syurga, kerana meletakkan kecintaan Allah S.W.T di tempat yang lebih utama.
Sila baca juga artikel-artikel menarik yang ingin kami kongsikan seperti;