Jika China mempunyai cerita mengenai Mulan yang menyamar sebagai lelaki ketika berperang, sejarah Islam telah menyaksikan kisah sebegitu yang jauh lebih awal. Ya! Sirah Islam telah menyaksikan Khaulah Al Azwar yang telah berperang dengan beraninya bersama angkatan tentera Islam lain menentang musuh.

Bezanya Khaulah Al Azwar dengan Mulan, ini adalah kisah nyata seorang wanita Muslimah yang diizinkan pergi berperang dek kerana kecekapannya yang sangat hebat! Khaulah juga boleh dianggap sebagai seorang wanita berani yang tangkat bertindak. Walaupun Khaulah seorang wanita namun kehadirannya memang patut ditakuti musuh kerana kehandalannya bermain senjata dan bertempur adalah setanding dengan pahlawan lelaki yang ada.

Image Via : Alumni212

Anda belum pernah mendengar kisah mengenai Khaulah Al Azwar ini? Tidak mengapa, di sini akan dikongsikan kisah Khaulah Al Azwar si bidadari besi yang penuh berani ini. Semoga ianya dapat memberi inspirasi kepada para wanita muslimah di luar sana.

Khaulah Lahir Dalam Keluarga Para Perwira

Khaulah Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup di zaman para sahabat Rasulullah SAW. Khaulah memiliki penampilan tubuh yang tinggi lampai dan tegap. Minat Khaulah agak berbeza dengan wanita lain di mana Khaulah sejak kecil sudah mahir bermain pedang dan tombak.

Teknik bertempur juga turut ada di dalam diri Khaulah. Ini semua diwariskan oleh ayahnya sendiri yang bernama Al-Azwar. Khualah juga merupakan adik ipar kepada Dhiraar Al-Azwar yang juga memiliki tahap kehandalan yang agak hebat semasa berada di medan perang.

Khaulah Manfaatkan Ilmu Perang Yang Diwarisi Dari Ayahnya

Ketangkasan Khaulah mengangkat namanya sebagai wanita mujahidah yang sangat pandai berperang menggunakan senjata dan berkuda. Malah jika mengikut sejarah Islam sendiri, Khualah ini boleh dikatakan sebagai pahlawan muslimat yang paling handal di waktu itu.

Ternyata Khaulah bukan calang-calang wanita yang boleh di pindang enteng. Dengan semangat dan keinginannya yang benar-benar ingin agama Islam terus dibela membuatkan Khaulah benar-benar berani untuk bertempur.

Khaulah benar-benar mahu manfaatkan segala ilmu peperangan yang diperturunkan oleh ayahnya. Maka Rasulullah SAW sendiri telah memberi izin untuk Khaulah ikut berperang bersama angkatan tentera Islam yang lain.

Ikut Berperang Dalam Perang Yarmuk Dengan Penuh Berani

Perang Yarmuk menjadi saksi di mana Khaulah berperang dengan penuh tangkas dan berani. Peperangan tersebut turut melibatkan pejuang wanita Islam dan Khualah adalah si pemimpin untuk kaum wanita ini. Dalam perang Yarmuk, Khualah turut mengalami kecederaan di kepala.

Dalam peperangan Yarmuk yang penuh bersejarah itu juga, Dhiraar Al-Azwar yang juga merupakan abang ipar kepada Khualah telah ditawan oleh pasukan Romawi. Keadaan itu menyebabkan Khalid begitu marah lalu memerintahkan pasukannya untuk segera ikut membebaskan Dhiraar.

Penangkapan Si Abang Membuatkan Khaulah Semakin Hebat Berlawan

Dengan berpakaian hitam, serban hijau dan menggunakan skarfnya sebagai topeng, Khaulah menyertai pasukan Khalid bin Al-Waleed. Khaulah tanpa ada rasa gentar terus meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat demi untuk membantu tentera Muslimin yang ketika itu sudah keletihan untuk terus berlawan.

Kehadiran Khaulah yang penuh berani mempertahankan pasukan tentera Islam telah mengejutkan pasukan tentera Romawi. Masing-masing menjadi hairan dengan kehadiran si pejuang bertopeng yang sangat berani itu. Malah Panglima Khalid bin Al-Waleed turut berasa kagum dan hairan akan gerangan si pejuang bertopeng yang tangkas menentang musuh tersebut.

Menjadi Pejuang Bertopeng Misteri Di Tengah Medan Perang

Akhirnya, Khalid bin Al-Waleed berpeluang untuk berhadapan dengan Khaulah. Khalid bin Al-Waleed terus menerus bertanya siapakah si gerangan yang datang berperang membantu tentera Islam tetapi Khaulah sendiri mengelak untuk menjawab soalan tersebut. Khalid tetap tidak putus asa dan selepas puas di desak akhirnya Khaulah mengalah.

“Wahai panglima. Aku tidak mengelak darimu kecuali kerana rasa malu terhadapmu. Anda seorang panglima besar, sedangkan aku wanita. Tetapi. Aku terpaksa melakukan ini kerana hatiku sakit dan marah.

Aku adalah Khaulah binti Al Azwar. Aku sedang bersama wanita kaumku. Kemudian datang orang memberi khabar bahawa saudaraku Dhiraar ditawan, maka aku pun menaiki kuda dan melakukan apa yang anda lihat ini.”

Kehadiran Khaulah Membuatkan Tentera Islam Lain Kembali Bersemangat

Khalid Al Waleed yang terkejut apabila mendapati Khaulah adalah wanita menyebabkan dirinya berasa sangat sedih bercampur hairan. Khalid menjadi tertanya-tanya mengapa wanita sanggup keluar ikut berjihad dengan gigih demi untuk menyelamatkan tawanan perang.

Sejak itu, Panglima Khalid Al Waleed terus bersumpah untuk menyelamatkan Dhiraar dengan apa jua cara sekalipun. Kehadiran Khaulah menyebabkan para pejuang Islam kembali bersemangat untuk terus berperang.

Peperangan Yarmuk yang hampir dimenangi oleh pihak Romawi telah mula bertukar. Perang Yarmuk terus berkecamuk dengan para perajurit Islam dengan di bantu oleh Khaulah dan pasukannya. Dan akhirnya, kemenangan berpihak kepada pasukan Arab. Khaulah amat berpuashati tatkala Dhiraar berjaya dibebaskan daripada tawanan Romawi.

Khaulah Sangat Disenangi Dengan Jasa Yang Tinggi

Itulah serba sedikit kisah Khaulah Al Azwar yang telah banyak berjasa untuk Islam. Khaulah tidak sama seperti wanita lain kerana beliau lebih tertumpu di medan perang. Namun kehadiran Khaulah telah membuktikan yang wanita juga kuat dan amat penting di sisi kaum adam.

Inilah kisah perjuangan Islam yang disertai serikandi Islam yang tidak gentar bertempur bersama perajurit lelaki. Khaulah dan pasukannya sentiasa ada di barisan belakang untuk meniup kata semangat dan merawat pejuang yang cedera. Tiba masa mereka juga akan tampil menghunus pedang untuk bantu pertahankan para pejuang yang berada di ambang kekalahan.

Sumber :

  1. Republika
  2. Hati Wanita

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.