Banyak tau sebenarnya khasiat jambu air ni.

Alangkah nikmatnya dapat makan jambu air yang dicicah dengan sambal kicap pedas atau dimakan dengan serbuk asam. Sedar tak sedar sekilo dah masuk dalam perut. Begitulah enaknya buah yang mudah didapati di negara kita ni.

Nama saintifik bagi jambu air ialah syzygium aqueum. Buah tempatan ini tergolong dalam keluarga myrtaceae. Ia banyak didapati di Malaysia, Indonesia dan Filipina. Pokok jambu air mudah ditanam dan bukannya bermusim.

Pokoknya malar hijau dan hidup subur di kawasan tropika. Terdapat pelbagai jenis spesies jambu antaranya ialah jambu bol, jambu batu, jambu air, jambu mawar, jambu madu dan sebagainya.

Jom ketahui khasiat buah jambu air menurut sains yang ramai tak tahu. Buah ini bukan saja lazat dimakan tetapi juga banyak manfaatnya dari aspek kesihatan manusia. Jom baca khasiat-khasiatnya.

Khasiat Jambu Air

jambu-air

Imej via kebuna

#1 Menjaga kesihatan gusi dan gigi

Kandungan vitamin A dan C yang tinggi dapat menjaga kesihatan gusi dan gigi. Jika anda mempunyai masalah gusi berdarah dan gigi sensitif, makanlah buah jambu air dengan kerap dalam diet harian.

#2 Mencegah strok

Kandungan vitamin C dalam jambu air dapat mengurangkan risiko diserang strok. Dalam kajian yang diterbitkan oleh Journal of Clinical Nutrition membuktikan bahawa kepekatan vitamin C dalam darah yang cukup tinggi berkesan mengurangkan risiko strok sebanyak 42 peratus.

#3 Mengatasi keradangan

Jambu air mengandungi flavonoid yang memiliki sifat antioksidan. Kandungan ini efektif bagi mengatasi masalah keradangan yang berlaku disebabkan penyakit jantung dan kanser.

#4 Meningkatkan imun tubuh

Jika anak-anak mudah dijangkiti selsema dan demam, berikan jus jambu air. Ini disebabkan vitamin A yang kaya dalam jambu air dapat meningkatkan kekebalan tubuh. Malahan, jika kekurangan vitamin A dalam badan, proses penyembuhan penyakit juga mengambil masa.

#5 Menjaga kecantikan kulit

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, jambu air tinggi vitamin C dan mempunyai khasiat antioksidan. Antioksidan ini dapat menangkis serangan radikal bebas pada kulit yang menyebabkan kerosakan sel-sel tubuh dan kulit.

Dengan kerap mengamalkan memakan buah jambu air, anda dapat memelihara kecantikan kulit dari masalah kulit. Malahan, kulit muka juga menjadi awet muda.

#6 Mengatasi masalah sistem pencernaan

Buah jambu air bukan sahaja kaya dengan air tetapi juga serat. Serat sangat bagus untuk merawat masalah sistem pencernaan. Apabila kita kurang mengambil serat dalam pemakanan harian, masalah sembelit mudah terjadi. Jadi, bagi orang yang ada masalah pencernaan, cuba makan buah jambu air dengan kerap.

#7 Mengawal berat badan

Kandungan air dan serat bukan sahaja bagus untuk mengatasi masalah sembelit tetapi juga turunkan berat badan. Wah, menarik tu! Ini kerana kandungan air dan serat akan memberi rasa kenyang yang lebih lama.

Jika anda suka makan makanan ringan bila lapar, cuba ubah pola makan yang tak sihat itu. Makan buah jambu air akan membuat perut terasa penuh dan kenyang. Ini akan menyebabkan anda dapat mengelakkan diri daripada makan makanan ringan secara berlebihan.

#8 Mengawal kandungan gula dalam darah

Kandungan gula dalam darah yang tak terkawal akan menyebabkan anda terdedah dengan risiko mendapat diabetes. Selain buahnya, daun jambu air juga banyak manfaatnya iaitu sapat mengawal kadar gula dalam darah.

Daun jambu air mempunyai polifenol yang baik untuk pesakit diabetes. Anda boleh jadikannya ulam ketika makan. Malahan, bagi orang yang belum mendapat penyakit ini juga digalakkan makan untuk mengurangkan risiko mendapat diabetes.

#9 Meningkatkan kolestrol baik

Kadar lemak HDL atau kolestrol baik akan meningkat apabila anda memakan buah jambu air secara kerap. Kandungan niacin sangat berkesan meningkatkan lemak HDL dan menurunkan kadar trigliserida dalam darah. Kadar trigliserida yang tinggi akan menyebabkan risiko kolestrol tinggi.

Serat yang terdapat dalam jambu air dapat mengendalikan kadar kolestrol jahat supaya tidak berlebihan. Oleh itu, penyakit kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung dapat dielakkan.

#10 Merawat gangguan fungsi hati

Daun jambu juga boleh digunakan dalam mengatasi masalah fungsi organ hati. Dalam kajian yang dilakukan oleh Universiti Ayurveda Gujerat, membuktikan bahawa ekstrak daun jambu air mempunyai zat yang tinggi untuk masalah hati.

Zat ini dapat melindungi hati daripada beberapa penyakit yang berpotensi mengancam organ tersebut.

#11 Mengurangkan jangkitan

Jambu air sangat kaya dengan tanin, fenolik dan flavonoid yang sangat berkesan sebagai antibakteria. Jika ada anak-anak yang mempunyai masalah kecacingan misalnya, berikan mereka jus jambu air untuk membunuh bakteria di saluran pencernaan.

#12 Mengurangkan risiko penyakit kanser

Bagi mengelakkan penyakit kanser, buah jambu air mahupun daunnya sangat baik untuk meminimumkan risiko mendapat penyakit ini. Kandungan flavonoid yang bersifat antioksidan dapat menangkis serangan radikal bebas yang merosakkan sel tubuh.

#13 Mengurangkan risiko penyakit jantung

Flavonoid di dalam jambu air bukan sahaja dapat mengurangkan risiko mendapat kanser tetapi juga penyakit jantung. Walaupun, kajian berkaitan perkara ini belum terbukti, namun tiada salahnya untuk mencuba.

#14 Mencegah kekejangan otot

Tahukah anda seseorang yang mudah mendapat kekejangan otot adalah disebabkan kandungan potasium yang rendah dalam tubuh mereka? Jangan risau. Buah jambu air sangat tinggi kandungan potasiumnya. Jika anda sering melakukan aktiviti fizikal yang berat, keraplah makan buah jambu air.

#15 Menjaga kesihatan mata

Kesihatan mata sangat penting agar kita tak mudah mendapat rabun dekat, rabun jauh atau masalah mata yang lain. Vitamin A yang tinggi dalam jambu air sangat baik untuk penjagaan mata.

Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan kita mendapat pelbagai gangguan kesihatan mata apabila semakin berusia nanti seperti nyctalopia dan degenerasi makula.

Diharapkan 15 khasiat jambu air dari sudut sains untuk kesihatan manusia yang dikongsikan ini, memberi manfaat kepada semua pembaca. Jangan ingat buah yang berharga murah dan mudah didapati di mana-mana ini, tiada khasiatnya.

Jika mempunyai kawasan di sekitar rumah, anda boleh cuba menanam pokok jambu air. Selain enak dimakan, khasiatnya juga sangat tinggi. Anda boleh pelbagaikan cara hidangan seperti dibuat jus, dimakan begitu sahaja, dijadikan pencuci mulut atau salad.

Jemput juga baca tentang khasiat terung dan khasiat rebung

Selamat mencuba.

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.