Nak tahu khasiat Moringa? Artikel ini akan berkongsi tentang manfaat dan khasiat Moringa untuk kesihatan yang mungkin kita tidak tahu.

Pokok Moringa atau dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai pokok kelor, munggai, rambungai dan lemunggai merupakan tanaman yang berasal dari negara India dan boleh hidup di kawasan tropika dan subtropika. Antaranya boleh dijumpai secara meluas di negara kita. Malah, ladang tanaman pokok kelor ini ada diusahakan secara meluas di Johor. Masakan India banyak menggunakan bahan dari pokok ini seperti daun dan buahnya yang berbentuk seperti kacang atau seakan bendi dalam masakan harian mereka, contohnya kari dan dalca.

Dari segi botani, pokok moringa dikenali sebagai Moringa oleifera dengan pertumbuhan boleh mencapai tinggi sehingga 10 -12 meter. Kulit batangnya seakan kabus yang boleh diumpil atau dikopek dengan diameter pemeluk sebesar 45 cm.

Pokok moringa memiliki daun yang lebat bersaiz kecil dan mudah luruh serta dahan yang rapuh. Buahnya akan muncul dalam bentuk seperti kantung bendi tetapi bersaiz lebih besar antara 10-25 cm. Benih daripada buahnya boleh dijadikan semaian untuk menanam anak pokok dan pokok ini sangat tahan dengan keadaan cuaca kering atau kemarau.

Imej via Bidadari

Khasiat Daun Moringa

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Hospital Ottawa, Kanada pada tahun 2012 melaporkan bahawa analisis daun moringa mengandungi nutrien yang kaya seperti garam mineral (kalium, kalsium, fosforus, zat besi), vitamin A dan D, asid amino perlu dan antioksidan seperti beta karotena dan flavonoid.

Tambahnya lagi, penggunaan pokok moringa yang merangkumi pelbagai bahagian tumbuhan seperti daun, buah, akar dan batangnya telah diamalkan sejak dahulu lagi untuk aspek perubatan. Malahan, masyarakat seluruh dunia memberi gelaran pokok ini sebagai ‘Pokok Ajaib’, ‘Hadiah Tuhan kepada Manusia’, ‘Penyelamat Orang Miskin’ dan sebagainya.

Berikut merupakan antara khasiat kesihatan pokok moringa yang telah diketahui berdasarkan penerbitan kajian saintifik sebelum ini.

Ciri Anti Hiperglisemik Menurunkan Gula dalam Darah

Imej via Bidadari

Komponen daun pokok moringa telah dikaji secara meluas untuk melihat kesannya dalam menurunkan kadar gula dalam darah terutamanya bagi pesakit kencing manis atau diabetes. Kajian klinikal dilakukan ke atas model tikus dan juga manusia yang kedua-duanya menunjukkan perubahan yang memberangsangkan. Ekstrak daun moringa sebanyak 300 mg/kg-bw diberi kepada tikus selama 21 hari menunjukkan penurunan kandungan gula sebanyak 69%. Hal ini dilaporkan setanding dengan penggunaan ubatan moden anti diabetik Glipizide yang biasa diambil sebanyak 2.5 mg/kg-bw.

Dalam sampel manusia, terdapat pengurangan kandungan gula dalam darah sebanyak 29% oleh pesakit kencing manis Jenis-2 yang mengamalkan tablet daun moringa pada kepekatan 98% selama 90 hari.

Sebatian aktif yang diberi nama moringine dalam daun moringa iaitu sejenis kelas kimia alkaloid dilaporkan berperanan dalam memberikan kesan hipoglisemik atau menurunkan kadar gula dalam darah.

Sumber Diet Seimbang

Di negara-negara mundur, pokok moringa dijadikan sumber makanan bagi mengatasi masalah kebuluran dan kekurangan khasiat makanan dalam tubuh. Hal ini telah diulas oleh penyelidik dari Pusat Perubatan John Hopkins, Maryland, Amerika Syarikat pada tahun 2005.

Kajian tersebut menyatakan bahawa daun moringa boleh dimakan mentah, dimasak atau disimpan dalam bentuk kering untuk berbulan lamanya tanpa kehilangan kandungan nutrien di dalamnya.

Malah, daun moringa dilaporkan mengandungi lebih kandungan vitamin A berbanding lobak merah, lebih kalsium berbanding susu, lebih zat besi daripada bayam, lebih vitamin C daripada oren dan lebih kalium daripada pisang. Kandungan protein dalam daun moringa juga menyamai pengambilan telur dan susu!

Pencegahan Kanser

Pokok moringa telah digunakan sebagai ramuan ubatan sejak turun-temurun walaupun kajian saintifik yang menyokong dakwaan tertentu adalah masih belum diluaskan. Namun, kajian awal menunjukkan penemuan yang meyakinkan mengenai kesan positif kandungan dalam pokok moringa yang boleh merencat pertumbuhan kanser limfoma dan kanser kulit.

Kajian lepas juga menunjukkan bahawa sebatian dalam daun moringa boleh menghentikan pembentukan sel kanser baharu supaya kanser tidak terus merebak.

Meningkatkan Sistem Imun Pesakit HIV

Walaupun penyakit AIDS yang disebabkan oleh virus HIV masih belum mempunyai penawar, amalan diet mengandungi pokok moringa disarankan oleh pengamal perubatan herba bagi membantu meningkatkan sistem imun pesakit ini.

Kandungan antioksidan dalam daun moringa contohnya boleh membantu melawan radikal atau penyakit yang cuba menyerang sistem imun pesakit yang sedia lemah ini. Malah, ekstrak daun moringa juga dilaporkan mempunyai kesan antimikrob yang sangat baik.

Manfaat Kesihatan Setiap Bahagian Pokok Moringa

Imej via Bidadari

Berdasarkan kajian yang diterbitkan di Food Science and Human Wellness oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Bangalore, India pada tahun 2016, berikut ialah manfaat kesihatan setiap bahagian pokok moringa. Ulasan ini mengambil kira amalan petua yang diamalkan oleh masyarakat di India, jadi, dakwaan ini tidak boleh dianggap saintifik sepenuhnya.

Daun – merawat asma atau lelah, sakit ulu hati, kencing manis, cirit-birit, demam malaria, sifilis, sakit kepala, jangkita mata dan telinga, antioksidan, antimikrob, mengurangkan tekanan darah dan kolesterol.

Biji benih – merawat hipertiroidism, antiherpes, masalah gout, sawan, antimikrob dan anti keradangan.

Kulit akar – anti ulser, anti keradangan, perangsang kardiak.

Bunga – mengurangkan kolesterol, agen anti keradangan sendi, demam sejuk dan masalah sukar membuang air kecil.

Pod atau kantung buah – merawat cirit-birit, masalah hati dan limpa dan sakit sendi.

Kesimpulan

Antara khasiat kesihatan pokok moringa ialah dapat menurunkan kadar gula dalam darah, sumber nutrien yang mencukupi kepada tubuh, berpotensi mencegah kanser dan pelbagai lagi manfaat daripada setiap komponen pokok tersebut.

Namun, harus diingat bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung dengan rawatan alternatif petua sebegini kerana pelbagai faktor sebenarnya boleh mempengaruhi kesembuhan kita. Dos atau amaun yang diambil juga boleh menyebabkan kesan sampingan tertentu jika kita tidak mengamalkan konsep bersederhana.

Jemput juga baca artikel lain:

Rujukan

  • Fahey, J. W. (2005). Moringa oleifera: a review of the medical evidence for its nutritional, therapeutic, and prophylactic properties. Part 1. Trees for life Journal1(5), 1-15. (link)
  • Gopalakrishnan, L., Doriya, K., & Kumar, D. S. (2016). Moringa oleifera: A review on nutritive importance and its medicinal application. Food science and human wellness5(2), 49-56. (link)
  • Mbikay, M. (2012). Therapeutic potential of Moringa oleifera leaves in chronic hyperglycemia and dyslipidemia: a review. Frontiers in pharmacology3, 24. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.