Bila sebut sahaja daun limau purut, pastinya anda akan terbayangkan daun bujur berbau wangi yang biasa ditemui dalam masakan seperti tomyam, paprik, dan rendang.

Selain baunya yang harum dan menyegarkan, daun limau purut kaya dengan pelbagai khasiat. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan khasiat dan kegunaan daun limau purut.

Pengenalan

Limau purut atau Citrus hystrix merupakan tumbuhan dari keluarga Rutaceae. Buahnya yang tidak berjus jarang digunakan. Sebaliknya, daunnya yang mempunyai penuh aroma sering digunakan untuk pelbagai tujuan seharian seperti masakan dan petua tradisional.

Daun limau purut ibarat identiti khas dalam masakan Thailand, maka tidak hairanlah pokok ini paling banyak ditanam di Thailand yang mengenalinya sebagai “makrut.”

Pokok limau purut turut banyak ditanam di kawasan Asia Tenggara yang menggunakannya dalam masakan tempatan masing-masing.

Kini, para pengkaji mula meneroka kelebihan dan khasiat yang terkandung oleh daun limau purut ini. Artikel ini akan membincangkan khasiat kesihatan dan kegunaannya sebagai petua tradisional yang menjadi amalan zaman-berzaman.

Jom baca!

khasiat dan kegunaan daun limau purut

Sumber: Thecambodianmedicine

Apakah kegunaan & khasiat daun limau purut?

Di antara khasiat & kegunaan daun limau purut ialah:

1. Menyedapkan makanan

Apabila memasak, anda boleh masukkan daun limau purut kedalam masakan seperti tomyam, paprik, rendang, sup, dan nasi goreng.

Aromanya yang harum akan menjadikan masakan anda semakin lazat. Apabila makanan berbau sedap, secara automatik rasanya juga akan menjadi lebih sedap.

Berdasarkan analisis kimia, aroma yang terhasil daripada daun limau purut ini datangnya dari sebatian bernama β-pinene, sabinene dan citronellal.

2. Menaikkan selera makan

Imej via Bidadari

Jika anda takde selera makan disebabkan oleh kepenatan melampau, demam, batuk, atau selsema, makanan yang dimasukkan daun limau purut pastinya membangkitkan selera ada.

Potong nipis daun limau purut dan masukkan ke dalam makanan yang sedang dimasak diatas dapur. Hidangkan dalam keadaan panas, aromanya pasti membuka selera anda untuk makan.

3. Membuang toksin dari badan

Di antara tanda badan anda bertoksin ialah kepenatan yang melampau, mudah berasa penat, mengantuk walaupun baru bangun dari tidur, sakit badan, tidak berasa segar, dan kelesuan.

Jika anda mengalami simptom-simptom tersebut, kami cadangkan anda mandi air daun limau purut untuk detox. Cara menyediakannya:

  • Ambil 10 helai daun limau purut, hiris halus
  • Ambil 5 biji buah limau purut, potong 4
  • Masukkan kedua-dua bahan tadi ke dalam satu baldi air suam
  • Ramaskan daun limau purut & perah buah limau purut untuk mengeluarkan airnya
  • Gunakan air tadi sebagai bilasan terakhir semasa mandi
  • Ratakan ke seluruh badan, terutamanya kepada & rambut
  • Air mandian ini akan membuang toksin yang terkumpul dalam badan anda

Kajian-kajian lepas banyak melaporkan bahawa kandungan fenolik yang tinggi dalam daun limau purut dan kulit limau purut berperanan sebagai bahan antimikrob, antiradang dan antioksidan.

Keadaan ini sangat membantu dalam penyingkiran toksin dan radikal yang tidak diperlukan dalam sistem tubuh.

4. Menghilangkan bau badan

Selain membuang toksin, air mandian daun limau purut dan sedikit perahan limau purut juga membantu menghilangkan bau badan. Cara menyediakannya:

  • Ambil 10 helai daun limau purut, hiris halus
  • Ambil 5 biji buah limau purut, potong 4
  • Masukkan kedua-dua bahan tadi ke dalam satu baldi air suam
  • Ramaskan daun limau purut & perah buah limau purut untuk mengeluarkan airnya
  • Gunakan air tadi sebagai bilasan terakhir semasa mandi
  • Gosokkan daun limau purut & buah limau purut ke seluruh badan. Bau wangi dari daun dan buah akan melekat pada badan anda

 

khasiat dan kegunaan daun limau purut

Sumber: Fazlisyam

 

5. Menghilangkan bau ketiak

Jika anda mempunyai masalah bau ketiak yang tidak dapat dikurangkan dengan penggunaan deodoran, anda boleh mencuba daun limau purut. Caranya:

  • Ambil beberapa helai daun limau purut
  • Potong halus
  • Ramas sehingga keluar bau
  • Gosokkan daun limau purut tadi ketiak semasa mandi
  • Semasa menggosok, pada mulanya anda akan menghidu bau busuk ketiak anda menjadi semakin kuat. Lama-kelamaan bau akan semakin hilang
  • Amalkan selalu, anda akan mendapat kesan yang menakjubkan

6. Pewangi bilik & kereta

Siapa yang tak sukakan wangian? Ramai yang memilih untuk menggunakan pewangi yang dibeli dari kedai untuk diletakkan didalal kereta atau bilik. Namun tahukah anda bahawa pewangi yang dibeli mengandungi bahan kimia dan toksik yang boleh menjejaskan kesihatan, terutamanya pada anak kecil.

Sebagai alternatif, anda boleh buat sendiri pewangi untuk bilik dan kereta anda. Ianya bukan sahaja berbau harum malah dijamin selamat tanpa sebarang bahan merbahaya. Caranya:

  • Ambil 10 helai daun limau purut
  • Ambil 2 helai daun pandan
  • Beli sedikit kelopak mawar dari penjual bunga
  • Hiris halus daun limau purut, daun pandan, dan kelopak mawar tadi.
  • Masukkan kedalam bekas untuk menjadi pewangi bilik atau kereta

Penyelidik dari Thailand pada tahun 2007 menerbitkan kajian analisis bahan aktif dan beraroma daun limau purut dalam jurnal Agriculture and Natural Resources.

Mereka mendapati terdapat lebih daripada 93 bahan mudah meruap beraroma yang terdapat dalam daun limau purut dan masih belum sepenuhnya dianalisis.

7. Pemutih gigi

Usah percayakan iklan ubat gigi yang kononnya mampu memutihkan gigi. Walau pun anda membayar harga yang mahal, tiada jaminan bahawa ianya berkesan. Jom kami kongsikan tips memutihkan gigi yang murah dan berkesan iaitu dengan menggunakan daun limau purut. Caranya:

  • Ambil beberapa helai daun limau purut
  • Ambil secubit garam
  • Tumbuk daun limau purut & garam tadi sehingga menjadi pes
  • Gunakan pest tadi seperti ubat gigi untuk memutihkan gigi
  • Gunakan dengan kerap, 2 kali sehari

Selain diamalkan sebagai petua, dakwaan ini selari dengan kandungan vitamin C yang tinggi dalam daun limau purut.

Kenyataan ini disokong dengan penemuan kajian Anuchapree dan rakan-rakan pada tahun 2020 yang mengulas mengenai kegunaan daun limau purut untuk melawan penyakit berkaitan gigi seperti skurvi dan gusi berdarah.

8. Menghilangkan bau mulut

Selain memutihkan gigi, daun limau purut juga membantu menghilangkan bau mulut dengan kehadiran sebatian aromatik di dalamnya. Caranya:

  • Kunyah sehelai daun limau purut setiap pagi atau sebelum keluar rumah
  • Jadikan sebagai pes bersama garam seperti cara menggunakan daun limau purut untuk memutihkan gigi diatas

9. Menyegarkan udara

Imej via Bidadari

Jika anda duduk dalam bilik yang tertutup dan berhawa sejuk seperti pejabat, anda boleh gunakan daun limau purut untuk menyegarkan udara.

Caranya hiris daun limau nipis dan masukkan ke dalam bekas. Letakkan diatas meja. Haruman dari daun limau purut akan mengharumkan ruang pejabat anda, memberikan kesegaran, dan sedikit sebanyak mampu mengurangkan stress akibat kerja.

Amalan ini bersifat lebih organik dan selamat yang datang daripada sebatian bioaktif mesra alam yang terkandung dalam daun limau purut sebagaimana yang dibincangkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya.

10. Menghilangkan kelemumur

Jika anda mengalami masalah kelemumur dan dah penat bertukar syampu namun hasilnya tetap menghampakan, apa kata kalau kami cadangkan anda cuba daun limau purut pula. Caranya:

  • Ambil 10 helai daun limau purut
  • Kisar bersama sedikit air. Jangan terlalu cair.
  • Atau pun, kalau rajin, anda boleh tumbuk & kemudian campurkan dengan sedikit air sehingga menjadi pes
  • Selepas bersyampu, ambil pes tadi & letakkan di kepala
  • Ratakan ke seluruh kulit kepala & rambut
  • Urut kurip kepala supaya pes tadi meresap
  • Biarkan seketika
  • Bilas sehingga bersih

Malah, kajian saintifik oleh penyelidik dari Universiti Kasetsart, Thailand pada 2005 telah menghasilkan syampu rambut dengan menggunakan daun limau purut sebagai bahan utama.

Sifat antimikrob daun limau purut diolah untuk mengatasi masalah kelemumur apabila sebatian bioaktif daun limau purut mampu merencatkan pertumbuhan mikroorganisma Candida alcicans yang sinonim dengan pertumbuhan kelemumur.

Rujukan

  1. Anuchapreeda, S., Chueahongthong, F., Viriyaadhammaa, N., Panyajai, P., Anzawa, R., Tima, S., … & Okonogi, S. (2020). Antileukemic Cell Proliferation of Active Compounds from Kaffir Lime (Citrus hystrix) Leaves. Molecules25(6), 1300.
  2. Foo-trakul, P., & Watchiradatsatiean, C. (2005). Development of Anti-Dandruff Shampoo from Kaffir Lime which is the By-Product of Food Industry. Agriculture and Natural Resources39(4), 725-729.
  3. Haiyee, Z. A., & Winitkitcharoen, C. (2012). Extraction of volatile oil from kaffir lime leaves (Citrus hystrix) using pressurised liquid extraction. Health5(1/2), 3.
  4. Kooltheat, N., Kamuthachad, L., Anthapanya, M., Samakchan, N., Sranujit, R. P., Potup, P., … & Usuwanthim, K. (2016). Kaffir lime leaves extract inhibits biofilm formation by Streptococcus mutans. Nutrition32(4), 486-490.
  5. Tinjan, P., & Jirapakkul, W. (2007). Comparative study on extraction methods of free and glycosidically bound volatile compounds from kaffir lime leaves by solvent extraction and solid phase extraction. Agriculture and Natural Resources41(5), 300-306.

Itulah dia 10 khasiat dan kebaikan daun limau purut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang khasiat jintan putih, khasiat asam keping, dan khasiat minyak ikan.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.