Minyak ikan ada banyak khasiat untuk kesihatan kita. Jom baca artikel ini untuk mengetahuinya.

Pengenalan

Minyak dari ikan berlemak seperti salmon, makerel dan sardin kaya dengan omega-3.  Asid lemak Omega-3 tergolong dalam kumpulan asid lemak tak tepu yang penting.

Ia terbahagi kepada tiga jenis asid lemak utama iaitu Eicosa Pentanoic Acid (EPA), Docosa Hexanoic Acid (DHA) dan Alpha Linolenic Acid (ALA).

khasiat minyak ikan

Sumber: A1on

Jom ketahui apakah khasiat minyak ikan.

1. Mengurangkan risiko penyakit jantung koronari

Berdasarkan kajian-kajian terkini, pengambilan minyak ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Pengambilan asid lemak Omega-3 memberi banyak kelebihan untuk kesihatan jantung iaitu mengurangkan risiko insiden serangan jantung, mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung, mengurangkan risiko mendapat denyutan jantung tak menentu, mengurangkan sakit dada (angina) pada pesakit jantung dan mengurangkan risiko serangan jantung kali kedua bagi pesakit yang pernah mendapat serangan jantung sebelum ini.

Asid lemak Omega-3 mula menarik minat saintis sejak beberapa dekad lalu kerana pemerhatian mereka mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah berbanding dengan masyarakat Eropah dan Amerika. Ini kerana pemakanan mereka adalah kaya dengan asid lemak Omega-3 iaitu daripada ikan dan makanan laut yang lain, walaupun mereka amat kurang memakan sayur-sayuran.

Imej via Bidadari

Pemerhatian saintis di beberapa buah tempat di dunia seperti penduduk di Okinawa, Jepun dan Kepulauan Crete, Mediterranean juga mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding masyarakat di barat. Penduduk di sini juga mempunyai amalan pemakanan ikan yang tinggi.

Pada 8 September 2004, USFDA di Amerika Syarikat telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Omega-3 i(EPA & DHA) sebagai satu suplemen yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Pada tahun 1999 pula, pengkaji dari GISSI-Prevenzione melaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet mengenai satu kajian yang dijalankan melibatkan 11,324 pesakit yang telah mendapat serangan jantung. Kesemua pesakit ini telah diberikan suplemen asid lemak Omega-3 sebanyak 1,000 mg setiap hari.

Satu lagi kajian di Amerika Syarikat yang dipanggil DART Study (The Diet and Reinfarction Trial), kaitan di antara makan ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 dengan pengurangan kadar serangan jantung untuk kali kedua adalah sangat kuat. Dalam kajian ini, seramai 1,015 pesakit dinasihatkan memakan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dan seramai 1,018 pesakit tidak dinasihatkan begitu.

Semua pesakit yang mengambil bahagian dalam kajian ini telah mendapat serangan jantung buat kali pertama. Selepas dua tahun, kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29% di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang mendapat nasihat supaya memakan ikan tersebut.

Imej via Bidadari

Dalam American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) pada tahun 2006, laporan menunjukkan kesan positif pengambilan asid lemak Omega-3 kepada kesihatan jantung.

Ia menyatakan bahawa berdasarkan laporan kajian yang telah dijalankan di seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam jumlah kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung di kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan, ataupun mengambil suplemen Omega-3 setiap hari.

2. Mengawal paras kolesterol

Minyak ikan juga boleh membantu mengawal paras kolesterol darah dan meningkatkan paras kolesterol baik iaitu HDL dalam darah.

Hal ini terbukti menerusi kajian sekumpulan penyelidik dari Finland pada tahun 1996. Mereka melihat peningkatan kolestrol baik dalam kalangan 55 responden lelaki dewasa yang mengambil diet makanan minyak ikan selama 14 minggu.

Kesan ini dikaitkan dengan kandungan DHA dalam minyak ikan yang mempunyai kesan hypotriglyceridemic ke atas plasma darah untuk mengawal kandungan kolestrol.

3. Mengatasi kemurungan

Satu jurnal neurosains mengeluarkan hasil kajian yang melibatkan penggunaan minyak ikan ke atas orang yang mengalami kemurungan.

Hasilnya adalah minyak ikan mengurangkan kadar kemurungan sebanyak 40%, pada masa yang sama meningkatkan kadar asid amino pada bahagian otak.

4. Mengurangkan Keresahan (Anxiety)

Jurnal Neurosains Eropah menerbitkan satu kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan boleh mengurangkan kesan keresahan ke atas tikus makmal.

Kesan minyak ikan terbaik jika diambil semasa peringkat pertumbuhan dan perkembangan otak. Oleh itu, para ibu bapa disarankan untuk memberi anak-anak mengambil minyak ikan.

5. Menjaga kesihatan otak

Asid lemak omega-3 memainkan peranan penting dalam fungsi otak, perkembangan normal dan keradangan.

Secara umumnya, sebatian tersebut membantu merangsangkan aktiviti otak, melindungi neuron dan meningkatkan kecerdasan pemikiran sebagaimana yang diulas oleh sekumpulan penyelidik dari Denmark pada tahun 2015.

6. Mengawal penyakit rheumatoid arthritis

Satu kajian telah dibuat untuk mengetahui apakah kesan daripada mengambil minyak ikan dalam merawat pesakit rheumatoid arthritis.

Hasil kajian mendapati mereka yang mengamalkan minyak ikan mengalami peningkatan yang sangat baik.

Kajian daripada sekumpulan penyelidik dari Brazil pada tahun 2003 tersebut turut menambah bahawa pengambilan minyak zaitun bersama minyak ikan akan meningkatkan lagi peluang untuk mencegah dan merawat simptom penyakit rheumatoid arthritis ini.

7. Mencegah penyakit alzheimer

Imej via Bidadari

Penyakit Alzheimer sangat berkait dengan otak. Dan sudah beberapa tahun kajian dilakukan dengan menggabungkan penggunaan minyak ikan ke atas pesakit Alzheimer.

Hasilnya, sangat memberangsangkan. Asid lemak yang terdapat di dalam minyak ikan bukan sahaja boleh memperbaiki sistem saraf, bahkan mencegah penyakit alzheimer jika diambil sejak masa muda.

Hasil kajian ini telah diterbitkan oleh jurnal Nature Reviews Neurology pada tahun 2009.

8. Mengubati dan mencegah kanser

Minyak ikan sudah terbukti mampu mencegah beberapa jenis kanser termasuklah kolon, prostat dan payu dara. Ia bukan sahaja boleh membantu ubatan kanser yang sedia ada, bahkan ianya sendiri boleh mencegah kanser-kanser tersebut.

Menurut satu kajian di Taiwan,  EPA dan DHA adalah fatty acid utama dalam minyak ikan yang mengurangkan risiko kanser prostat. Selain itu, kajian di negara Czeh juga membuktikan bahawa kandungan DHA di dalam minyak ikan boleh mencegah berlakunya kanser kolon.

Tambahan pula, kajian penyelidik dari London pada tahun 1996 mengaitkan amalan pemakanan diet berasaskan ikan dan minyak ikan membantu dalam jangka masa panjang bagi mencegah penyakit kanser kolorektal dan kanser payudara.

9. Mengurangkan simptom ADHD

Universiti Selatan Australia telah melakukan satu kajian yang membuktikan bahawa gabungan minyak ikan dengan evening primrose oil boleh mengurangkan simptom ADHD. Menurut kajian tersebut, minyak ikan dipercayai boleh memperbaiki fungsi otak. 60% daripada otak adalah daripada lemak, dan otak perlukan omega-3 dan omega-6.

Pengambilan minyak ikan setiap hari dapat mengurangkan simptom ADHD yang pastinya melegakan hati para ibu.

Selain itu, pakar psikiatri dari Universiti Oxford, Dr. Alexandra Richardson ada mengulas mengenai keberkesanan minyak ikan dalam mengurangkan simptom ADHD dalam kalangan kanak-kanak yang mengambilnya dalam diet makanan seharian.

Rujukan

  1. Agren, J. J., Hänninen, O., Julkunen, A., Fogelholm, L., Vidgren, H., Schwab, U., … & Uusitupa, M. (1996). Fish diet, fish oil and docosahexaenoic acid rich oil lower fasting and postprandial plasma lipid levels. European journal of clinical nutrition50(11), 765-771.
  2. Berbert, A. A., Kondo, C. R. M., Almendra, C. L., Matsuo, T., & Dichi, I. (2005). Supplementation of fish oil and olive oil in patients with rheumatoid arthritis. Nutrition21(2), 131-136.
  3. Caygill, C. P. J., Charlett, A., & Hill, M. J. (1996). Fat, fish, fish oil and cancer. British Journal of Cancer74(1), 159-164.
  4. Fotuhi, M., Mohassel, P., & Yaffe, K. (2009). Fish consumption, long-chain omega-3 fatty acids and risk of cognitive decline or Alzheimer disease: a complex association. Nature Reviews Neurology5(3), 140-152.
  5. Heilskov Rytter, M. J., Andersen, L. B. B., Houmann, T., Bilenberg, N., Hvolby, A., Mølgaard, C., … & Lauritzen, L. (2015). Diet in the treatment of ADHD in children—A systematic review of the literature. Nordic journal of psychiatry69(1), 1-18.
  6. Kris-Etherton, P. M., Harris, W. S., & Appel, L. J. (2002). Fish consumption, fish oil, omega-3 fatty acids, and cardiovascular disease. Circulation106(21), 2747-2757.

Itulah dia khasiat minyak ikan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, kami pasti anda pasti akan suka perkongsian kami tentang khasiat ulam, khasiat avokado, dan khasiat lengkuas.Jemput share dan like ya.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.