Jemput baca artikel khasiat asam ini.

Pengenalan

Nama botani bagi asam gelugur ialah Garcinia cambogia. Ia  juga dikenali sebagai Garcinia atroviridis. Tumbuhan liar ini didapati di banyak tempat di Asia terutamanya Malaysia. Ia dijadikan sebagai sumber ekonomi dan mempunyai nilai perubatan sejak turun temurun.

Buahnya berwarna kekuningan berbentuk seperti buah labu selalu digunakan dalam masakan. Ekstrak garam kalsium Acid Hydroxy Citric (HCA) daripada asam gelugor terhasil dari air buahnya. Ia tidak bertoksik, tanpa perasa, dan tidak berbau. Kandungan asam gelugor terdiri daripada 50% unsur aktif dan 70% HCA yang memberikannya rasa masam.

Dalam masakan Melayu, asam keping banyak digunakan untuk hidangan seperti penyediaan pekasam, laksa, rendang, sambal dan sebagainya yang memerlukan rasa kemasaman.

Jom ketahui apakah pula khasiat kesihatan asam gelugur.

Khasiat asam keping

Sumber: Bukalapak

1. Mengawal kolesterol

Ekstrak garam kalsium Acid Hydroxy Citric (HCA) daripada asam gelugor terhasil dari air buahnya. Ia tidak bertoksik (beracun), tanpa perasa, serbuknya tidak berbau dijadikan sebagai herba alternatif yang amat berkesan untuk mengawal kolestrol.

HCA bertindak mengekang, menghalang dan menghadkan pengumpulan asid-asid lemak dan kolesterol (lipogenesis) dalam badan.

Selain itu, penyelidik dari India pada tahun 2001 menerbitkan artikel mereka di jurnal Food Chemistry, mendapati bahawa tikus makmal yang diberi makan ekstrak asam gelugur menunjukkan penurunan kandungan kolesterol dalam tubuh mereka.

Aktiviti enzim yang aktif memproses kolesterol dapat diukur dengan analisis najis spesimen. Didapati, kandungan flavanoid dalam asam gelugur turut membantu meningkatkan aktiviti enzim tersebut.

2. Mengurangkan berat badan

Asam gelugur membantu mereka yang ingin mengurangkan berat badan. Ia juga digunakan sebagai makanan untuk menghilangkan selera makan, menghadkan peyerapan dan pembentukan lemak, kolestrol dan pegumpulan lemak (triglycerides).

Hal ini telah dilaporkan sejak 20 tahun yang lalu oleh penyelidik di Obesity Research Center, Amerika Syarikat.

Malah, penemuan terbaru mendapati HCA juga dikatakan mampu menyekat selera makan seperti fungsi serotonin. HCA juga bertindak menghalang penukaran makanan bergula dan berkanji kepada lemak. Ini bermakna HCA  dipercayai mampu membantu menyekat penghasilan lemak.

Kajian telah membuktikan HCA mengurangkan aktiviti penting enzim dalam metabolisma lemak. Penukaran karbohidrat ke lemak memerlukan enzim yang dipanggil Citrate Lyase. HCA untuk seketika melambatkan tindak balas enzim, menghalang pembentukan asid lemak menyebabkan kurang lemak tersedia untuk peyimpanan sel sel.

Jom kami kongsikan resepi air asam gelugur untuk menurunkan berat badan. Bahan-bahannya:

  • 3 keping asam gelugur
  • 1 batang serai
  • 3 biji bunga lawang
  • 3 biji bunga cengkih
  • 1 batang kulit kayu manis
  • Satu helai daun pandan
  • 1 inci halia yang diketuk
  • 3 sudu madu
  • 1 sudu halba
  • 1 biji lemon yang dihiris nipis.

Caranya, rebus kesemua bahan dalam periuk sehingga menggelegak. Tapiskan badan-bahannya, ambil air. Minum satu cawan pagi & satu cawan malam setiap hari. Air lebihan boleh disimpan dalam peti sejuk & panaskan sebelum diminum.

3. Masalah penghadaman

Asam gelugur boleh digunakan untuk mengatasi masalah penghadaman. Minum air rendaman asam keping apabila anda mengalami masalah sembelit atau cirit-birit.

Jurnal Phytotherapy Research pada tahun 2002 ada melaporkan penemuan yang menarik apabila salah satu kajian di India mendapati bahawa asam gelugur dapat menyeimbangkan sistem penghadaman.

Kehadiran asam gelugur dalam diet makanan seterusnya akan mengurangkan keasidan jus gastrik dalam perut. Mukus atau lendir pada dinding perut turut dirangsangkan untuk meningkat bagi melindungi sistem penghadaman daripada terus terganggu.

4. Merawat masalah kecacingan

Amalan meminum air rendaman asam keping membantu untuk merawat masalah kecacingan. Ia membunuh cacing dewasa dan telur cacing serta semua parasit yang ada dalam badan.

Sebatian bioaktif dalam asam gelugur seperti alkaloids, flavanoids, fenol, saponins, tannins, xanthones dan benzophenones sangat bermanfaat untuk melawan serangan mikroorganisma.

5. Tumor

Imej via Bidadari

Dalam amalan Perubatan India kuno (Ayurveda) asam keping juga digunakan untuk merawat tumor. Pesakit yang mempunyai tumor diberikan minum air rendaman asam gelugur setiap hari.

Penyelidikan di Fakulti Sains, Universiti Teknologi Afrika Selatan pada tahun 2015 mengenal pasti garcinol sebagai bahan bioaktif antikanser yang terkandung dalam asam gelugur. Namun, mereka berpendapat bahawa lebih banyak kajian dijalankan bagi membuktikan dakwaan ini secara menyeluruh.

6. Mengecutkan rahim

Amalan meminum air asam gelugur semasa berpantang dipercayai untuk mempercepatkan proses mengecutkan rahim sebagai petua tradisional. Ianya kini digunakan secara meluas untuk produk mengurangkan berat badan di Eropah. Cara pengambilannya:

  • Cara pertama:

Ambil satu atau 2 keping asam keping dan masukkan ke dalam segelas air panas. Biar beberapa jam sehingga asam keping menjadi kembang & air menjadi suam. Minum setiap pagi dan malam. Jika diamalkan selalu insya Allah perut buncit akan mengempis.

  • Cara kedua:

Bilas 3 keping asam gelugor dengan air bersih, masukkan dalam bekas minuman bersaiz 500 ml – 1 liter. Masukkan air panas. Jangan masukkan gula. Setelah suam, minum seperti minuman biasa sepanjang hari.  Sekiranya air habis, tambahkan air lagi. Jika hilang rasanya, tukarkan dengan asam keping baru.

7. Merawat masalah pencernaan & sakit perut

Air rebusan kulit buah asam gelugur juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat masalah perut seperti masalah sistem pencernaan, sakit perut, kembung, sebu, dan sebagainya.

8. Mengurangkan gejala reumatisme

Reumatisme adalah penyakit radang sendi yang selalu dikaitkan dengan gout dan artritis. Apabila diserang reumatisme, sendi-sendi pesakit akan terasa ngilu dan menyucuk-nyucuk, lalu menjalar ke anggota sendi yang lain.

Amalan meminum air rebusan asam keping membantu mengurangkan gejala reumatisme.

9. Mengurangkan tekanan darah tinggi

Selain itu buah asam jawa dikatakan berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi.

Sebagai alternatif kepada ubat yang dibekalkan oleh hospital, pesakit darah tinggi juga boleh mengamalkan air rebusan asam gelugur setiap pagi.

10. Merawat sakit telinga

Perubatan Melayu zaman dahulu menggunakan rebusan air daun dan akar asam gelugur untuk menyembuhkan sakit telinga melalui titisan ke dalam telinga.

Namun, belum ada kajian saintifik yang dijalankan bagi membuktikan dakwaan ini.

11. Meredakan sakit gigi

Imej via Bidadari

Buah asam gelugur juga dikatakan mampu melegakan sakit gigi.

Caranya adalah dengan mengambil sekeping asam gelugur dan kemudian basuh hingga bersih sehingga menjadi sedikit lembut. Tampal atau selitkan di celah-celah antara gusi dan bahagian pipi selama 10 hingga 15 minit. Kemudian kumur dengan air suam.

Sifat anti keradangan dan antibakteria oleh sebatian flavonoid dan fenolik dalam asam gelugur membantu meredakan kesakitan gigi ini.

12. Merawat kencing kotor

Asam gelugur membantu merawat masalah kencing kotor dengan cara membersihkan pundi kencing daripada bakteria yang menjadi punca masalah tersebut.

Hal ini berbalik semula kepada kuasa rencatan bakteria dan sifat antibakteria sebatian bioaktif yang terkandung dalam asam gelugur.

13. Menurunkan suhu badan semasa demam

Jika anda demam, boleh minum air rebusan asam jawa untuk menurunkan suhu badan yang sedang panas. Tambah sedikit madu atau gula batu kalau tak berselera nak minum air asam jawa yang masam.

Demam yang merupakan simptom penyakit akibat jangkitan yang menyerang sistem imunisasi boleh diatasi dengan pengambilan nutrien yang pelbagai dalam asam gelugur.

14. Membantu mencantikkan kulit

Khasiat asam keping yang tak ramai orang tahu. Asam keping adalah bahan awet muda yang membantu mengekalkan keremajaan kulit.

Selain itu ia juga membantu menghaluskan kulit & mencerahkannya.

Aktiviti antioksidan melalui pembentukan sebatian bioaktif yang memerangkap radikal bebas telah banyak dilaporkan dalam kajian-kajian lepas.

15. Mengurangkan stres

HCA yang terkandung dalam asam gelugur ini mampu meningkatkan hormon dan membuat mood menjadi ceria dan kurang stres melalui penghasilan lebih banyak serotonin.

16. Melancarkan menstruasi

Imej via Bidadari

Menurut petua tradisi, air asam gelugur mampu melancarkan kadar menstruasi wanita dan mengurangkan sakit senggugut. Rebus asam gelugur dan airnya perlu diminum bagi pelancaran ketika haid.

17. Mengimbang kadar metabolisme

Metabolisme dalam badan kita sering berlaku reaksi kimia yang tidak seimbang.

Kandungan HCA dalam asam gelugur dapat mengimbangkan reaksi kimia tesrsebut dan membuatkan proses pencernaan lebih efektif dengan peningkatan kadar metabolisme dalam badan.

18. Meningkatkan sistem imunisasi

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam asam gelugur mampu meningkatkan sistem imunisasi dalam badan dan mampu meningkatkan tindak balas badan untuk melawan pelbagai jenis penyakit dengan lebih mudah.

Rujukan

  1. Heymsfield, S. B., Allison, D. B., Vasselli, J. R., Pietrobelli, A., Greenfield, D., & Nunez, C. (1998). Garcinia cambogia (hydroxycitric acid) as a potential antiobesity agent: a randomized controlled trial. Jama280(18), 1596-1600.
  2. Koshy, A. S., Anila, L., & Vijayalakshmi, N. R. (2001). Flavonoids from Garcinia cambogia lower lipid levels in hypercholesterolemic rats. Food chemistry72(3), 289-294.
  3. Semwal, R. B., Semwal, D. K., Vermaak, I., & Viljoen, A. (2015). A comprehensive scientific overview of Garcinia cambogia. Fitoterapia102, 134-148.
  4. Mahendran, P., Vanisree, A. J., & Shyamala Devi, C. S. (2002). The antiulcer activity of Garcinia cambogia extract against indomethacin‐induced gastric ulcer in rats. Phytotherapy research16(1), 80-83.

Itulah dia 18 khasiat asam keping yang tak ramai orang tahu. Lepas ni bolehlah anda minum air asam keping selalu. Jemput juga baca artikel khasiat pegaga, khasiat royal jelly dan khasiat yogurt.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.