Apakah khasiat bunga telang kepada kesihatan dalaman dan luaran manusia?

Bunga telang atau nama botaninya Clitoria ternatea merupakan tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Fabaceae. Jom ketahui khasiat bunga telang.

Nama lain bagi bunga telang ialah butterfly pea vine, blue pea, anchan (Thailand), Pukinggan (Filipina) dan Dau biec (Vietnam).

Pada zaman dahulu sebelum terjumpanya bahan pewarna seperti yang terdapat dengan mudah sekarang, bunga kacang telang amat popular digunakan sebagai pewarna makanan khususnya untuk memberi warna biru dalam masakan dan makanan.

Sebatian anthocyanin dalam pigmen bunganya didapati memberikan bunga ini berwarna biru.

Asal Usul dan Ciri-Ciri

Tanaman ini berasal dari benua Asia yang beriklim tropika khatulistiwa, tetapi telah diperkenalkan ke Afrika, Australia dan Amerika.

Tumbuhan ini akan membiak subur dalam medium yang agak lembap (tanah yang mempunyai kandungan humus yang tinggi) serta memerlukan cahaya matahari secukupnya untuk membesar.

Di kelantan, ia juga dikenali dengan nama bunga nasi kerabu kerana ia boleh digunakan untuk mewarnakan nasi kerabu menjadi biru.

Tumbuhan ini membiak dengan cara keratan batang atau biji. Sifatnya yang menjalar menjadikannya sesuai untuk tanaman pagar ataupun sebagai tanaman untuk pasu gantung. Bunganya yang berwarna ungu kebiruan akan mekar sepanjang tahun.

Untuk menyemainya, biji benih direndam dalam air selama 3 hingga 4 jam sebelum disemai dalam tanah. Selalunya benih akan mula bercambah selepas 7 hingga 14 hari. Untuk keratan batang pula semai dalam pasir yang lembap dan pastikan airnya mencukupi.

Tumbuhan ini perlu selalu dipangkas (dipotong rantingnya) untuk memastikan pertumbuhan ranting baru tidak terbantut.

Khasiat Bunga Telang Menurut Kajian Sains

Terdapat pelbagai khasiat bunga telang yang boleh anda dapatkan. Berikut adalah antaranya khasiat bunga telang kepada kesihatan manusia:

1. Meningkatkan kewanitaan

Bunga telang mempunyai bentuk organ luaran seksual wanita, maka nama latin dari genus ‘Clitoria’ , diambil dari perkataan ‘clitoris’.

Dalam beberapa bahasa (Tamil, Malayalam) bunga kacang telang dinamakan ‘kerang’ yang juga mempunyai bentuk organ seksual wanita.

Oleh sebab mempunyai kesamaan bahagian tubuh manusia, khasiat bunga telang ini dikatakan mempunyai pengaruh kepada sistem pembiakan wanita.

Tumbuhan ini digunakan secara tradisional untuk menyembuhkan penyakit berkaitan seksual seperti

  • ketidaksuburan
  • jangkitan gonoria
  • membetulkan kitaran menstruasi (haid)
  • afrodisiak atau menaikkan nafsu seksual

Terdapat juga kepercayaan yang mengatakan bahawa untuk mengelakkan keguguran, batang bunga telang ini dililitkan pada pinggang perempuan hamil. Sama ada berkesan atau tidak, cara ini tidak dapat dibuktikan.

PETUA ORANG DAHULU: Untuk membetulkan kitaran haid, ambil bunga dan akarnya lalu dimasukkan dalam air mendidih. Rebus bersama sedikit gula dan diminum.

Jom kami kongsikan resepi teh bunga telang yang boleh diminum untuk penjagaan dalaman wanita.

khasiat bunga telang

Bahan-Bahan:

  • Segenggam Bunga Telang
  • Segelas Air Panas
  • Gula secukup rasa
  • 1/2 biji limau nipis

Cara Membuat:

  1. Masukkan segenggam bunga telang di dalam gelas. Kemudian, masukkan air panas dan rendam bunga telang tersebut selama 5 minit.
  2. Setelah air bertukar warna biru pekat, tapiskan bunga telang tersebut.
  3. Akhir sekali, masukkan setengah biji limau nipis dan gula secukup rasa. Air teh ini akan bertukar warna ungu yang cantik dan rasa sangat menyegarkan.

2. Mengecutkan jerawat

Khasiat bunga telang juga boleh mengecutkan jerawat. Ambil daun pokok bunga telang, hancurkan dan ditampal pada jerawat. Biarkan selama 30 minit. Bersihkan.

Sifat anti-acne daripada sebatian seperti flavonol dan protein membantu merencatkan pertumbuhan mikroorganisma dan menyingkirkan kotoran di peringkat selular.

3. Melebat dan menghitamkan rambut

Bunga telang dipercayai amat berkhasiat untuk melebat dan menghitamkan rambut. Tumbuhan ini juga dipercayai mampu mengilatkan rambut dan juga dapat menyuburkan kulit kepala.

Caranya, ramas bunga telang didalam segayung air, cuci rambut seperti syampu dengan air ramasan tadi.

4. Mengurangkan sakit kepala

Selain melebat dan menhitamkan rambut, daun dan bunga kacang telang juga dikatakan mampu mengurangkan sakit kepala. Caranya adalah dengan mengambil daun atau bunga telang, masukkan dalam kain hingga membentuk bantal dan digunakan sebagai pelapik kepada sewaktu tidur.

Kajian saintifik oleh penyelidik dari India, Parimaladevi et al. pada tahun 2004 membuktikan ekstrak daun bunga ini yang memberi kesan antipiretik atau kesan keredaan yang setanding dengan paracetamol dan ubatan lain seperti diclofenac sodium.

5. Mencuci darah

Darah kotor merupakan salah satu penyebab yang boleh mengakibatkan penyakit kulit seperti bisul. Rebusan Air bunga telang sangat baik untuk diamalkan kerana dikatakan mampu ‘mencuci’ darah.

Secara saintifiknya, didapati ekstrak bunga ini menurunkan kandungan glukosa, urea dan kreatinin yang menjadikan darah kita lebih ‘bersih’.

Kajian Chusak et al. dan Kavitha pada tahun 2018 menggunakan hanya 400 mg ekstrak daun ini yang diberikan kepada tikus makmal secara harian selama 28 hari, melaporkan bahawa peningkatan aktiviti enzim darah.

6. Melegakan sistem penghadaman

Secara tradisionalnya, air rebusan bunga telang boleh merawat cirit-birit manakala biji kacang telang yang dihancurkan dan dijadikan serbuk digunakan sebagai julap untuk mengatasi masalah sembelit. Minum air serbuk biji kacang telang apabila anda sembelit.

Namun, masih belum ada kajian klinikal yang mengkaji fungsi saintifik bunga telang ini dalam membantu melegakan sistem penghadaman dan amalan ini dilakukan berlandaskan ajaran petua tradisi.

7. Membuka selera makan

Jika anda mempunyai masalah kurang selera makan, jadikan bunga telang sebagai ulam untuk makan bersama nasi. Orang dulu-dulu mengamalkannya untuk membuka selera makan selain agak enak bagi mereka yang pernah mencubanya.

8. Insomnia dan stress

Air rendaman bunga telang juga dikatakan mampu merawat insomnia atau masalah sukar tidur.

Kajian Kulkarni et al. pada tahun 1988 menggunakan dos tumbuhan yang tinggi menunjukkan potensi tumbuhan ini untuk menggalakkan masa tidur yang lebih panjang dan setanding dengan ubatan chlorpromazine, namun disebabkan penggunaan dos yang tinggi, data kajian ini kekal diragui dan tidak diteruskan.

Sebatian daripada ekstrak pokok telang yang sama juga dikatakan berperanan membantu daya kognitif menjadi lebih tenang dengan penghasilan serotonin dalam otak. Namun, kajian lebih mendalam perlu dilakukan bagi menyimpulkan penemuan ini.

9. Mengubati bisul

Daun pokok bunga telang yang dihancurkan boleh ditampal pada bisul untuk mengubatinya.

Sebatian bioaktif dalam pokok telang seperti protein fintoin ini ternyata mempunya kesan antimikrob yang baik khususnya bagi membunuh bakteria dan kulat yang biasanya akan berada di permukaan bisul.

10. Mengubati sakit mata

Khasiat bunga telang dan daunnya yang direndam di dalam air bersih boleh digunakan untuk mencuci mata yang dijangkiti sakit mata atau keradangan. 

Caranya dengan merendam bunga telang  dalam 1 gelas air kemudian gunakan air rendaman tersebut untuk mencuci mata.

Sakit mata yang biasanya berpunca daripada keradangan ini boleh dirawat dengan ekstrak bunga telang, khususnya menggunakana bahagian akar dan daunnya sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Singh et al. (2018).

Dari segi mekasnime selularnya, ekstrak tumbuhan ini membantutkan ketelapan asid pada sel. Hal ini setanding dengan penggunaan ubatan antiradang di pasaran.

11. Merangsang memori dan kebijaksanaan

Di India, bunga telang dikenali dengan nama Shankupushpam telah digunakan secara meluas sebagai tonik otak dan ia dipercayai dapat merangsang memori dan kebijaksanaan.

Menariknya, satu kajian oleh Taranalli & Cheeramkuzhy pada tahun 2000, melaporkan ketahanan memori yang lebih tinggi dalam kalangan sampel tikus yang diberi makan ekstrak akar atau daun tumbuhan ini selama 7 hari. Prestasi tikus-tikus ini juga didapati lebih baik selepas 30 hari.

Kajian mereka menemui kandungan acetylcholine yang tinggi daripada pengambilan ekstrak pokok telang yang membantu rangsangan otak.

12. Mengurangkan gejala pernafasan

Akar bunga telang yang direbus dan dijadikan sebagai teh boleh mengurangkan gejala asma. Selain itu, petua menggunakan air rebusan ini digunakan untuk melegakan batuk.

13. Mengubati sakit telinga

Jika anda mengalami sakit telinga, khasiat bunga telang boleh membantu anda. Caranya ambil daun telang, ramas dalam air dan campur garam. Kemudian sapu pada telinga yang sakit.

Mekanisme saintifiknya lebih kurang sama dengan tindakan antimikrob dan antiradang yang ditunjukkan oleh ekstrak pokok telang.

Pokok telang merupakan tumbuhan yang mudah tumbuh khususnya di negara kita. Terdapat banyak peluang pertanian dan kesihatan yang boleh diambil daripada anugerah alam ini.

Masih terhad kajian saintifik khususnya kajian farmaseutikal bagi meneroka potensi pokok ini dan ekstraknya. Namun, yang pasti, selain kegunaan masakan, pokok telang ini sangat berguna secara manfaat kesihatan dan petua tradisi.

Itulah dia 13 khasiat bunga telang yang pasti membuatkan anda rasa nak tanam di rumah. Semoga bermanfaat!

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Selain dari khasiat bunga telang ini, anda juga boleh baca artikel petua kami yang lain berkenaan khasiat tumbuh-tumbuhan seperti:

Rujukan:

  1. Mukherjee, P. K., Kumar, V., Kumar, N. S., & Heinrich, M. (2008). The Ayurvedic medicine Clitoria ternatea—from traditional use to scientific assessment. Journal of ethnopharmacology, 120(3), 291-301.
  2. Oguis, G. K., Gilding, E. K., Jackson, M. A., & Craik, D. J. (2019). Butterfly pea (Clitoria ternatea), a cyclotide-bearing plant with applications in agriculture and medicine. Frontiers in plant science10, 645.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.