Jom ketahui kelebihan-kelebihan musyawarah.

Pepatah Arab menyatakan ‘setiap kepala mempunyai pendapat’. Ertinya, setiap orang memiliki pendapat berbeza dalam mencapai tujuan atau menyelesaikan permasalahan. Adakalanya, perbezaan pendapat yang tidak terkawal boleh menyebabkan perpecahan dan perbalahan. Islam sebagai ad-Din atau cara hidup muslim memberikan jalan musyawarah untuk mencapai kesepakatan bersama.

Musyawarah berasal dari perkataan Arab ‘syawara’ bermaksud berunding atau bermesyuarat. Seorang ulama, Ar-Raghib al-Ashfahani menyatakan ‘syura’ merupakan proses memberi pendapat, dengan memilih pendapat terbaik dalam kalangan orang yang terlibat dalam proses perbincangan.

Rasululah SAW turut mengadakan musyawarah dengan para sahabat dalam pelbagai isu, sehingga ada hadis menyebut, sahabat melihat Nabi SAW adalah insan paling banyak bermusyawarah sepanjang hayatnya.

Sebenarnya terdapat banyak kelebihan musyawarah digunakan dalam kehidupan. Antaranya;

Menyelesaikan Masalah Dengan Keputusan Yang Kuat

Dalam Perang Khandak, Nabi SAW mengumpulkan para sahabat untuk mendengar pendapat mereka mengenai strategi peperangan. Salman al-Farisi mencadangkan agar digali parit di sekeliling kota Madinah bagi mengelakkan serangan tentera Quraisy. Mereka tahu, orang Quraisy akan datang dalam jumlah yang ramai. Cadangan Salman al-Farisi paling efektif, lalu Baginda dan para sahabat memilih dan bersetuju dengan cadangan ini. Hasilnya, tentera Quraisy berjaya dikalahkan.

Begitulah konsep musyawarah. Penyelesaian masalah yang dilakukan atas persetujuan bersama-sama, keputusannya pasti akan lebih kuat berbanding dengan keputusan yang diambil bersendirian.

Tidak Berlaku Penyesalan

Rasulullah SAW sendiri menyatkan sesiapa yang bermusyarah pasti tidak akan menyesal. Sabda Baginda;

“Tidak akan kecewa orang yang solat istikharah dan tidak akan menyesal orang yang melakukan musyawarah.”

Mengapa orang yang melakukan musyawarah tidak akan menyesal? Ini kerana kesepakatan yang sudah dibuat telah mengambil kira, buruk dan baiknya daripada banyak pihak. Jadi apa-apa jua kesan selepas keputusan tersebut, akan ditanggung bersama-sama.

Melatih Menyuarakan Pendapat

Dalam musyawarah, setiap orang berhak mengemukakan idea dan buah fikiran yang kemudian akan digunakan untuk menghasilkan keputusan. Proses ini dapat melatih seseorang untuk membuat pertimbangan mengikut ilmu, iman dan logik. Hasilnya, dapat melahirkan seseorang yang berani menyuarakan pendapat dan berfikiran bernas.

Menyelesaikan Masalah Secara Adil

Musyawarah dapat mencapai keputusan yang lebih adil kerana ada kesepakatan bersama. Setiap orang memberikan idea agar menghasilkan keputusan paling tepat atau lebih hampir kepada keadilan. Seiring dengan tuntutan Islam yang menuntut umatnya menjadi seorang yang adil seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(al-Maidah: 8)

Menguruskan Perbezaan

Semasa bermusyawarah, sudah pasti ada perbezaan pendapat. Namun, semua pendapat akan didengari dan diperhalusi bagi memastikan keputusan yang menjaga kepentingan semua pihak. Pastinya kita tidak akan memuaskan hati semua orang, namun perkara yang telah disepakati dan dibuat berdasarkan suara ramai, perlulah diterima. Pendek kata setiap perbezaan dirai, namun yang terbaik dicari.

Mengelak Terjadinya Konflik

Konflik pasti akan wujud jika keputusan sendiri dibuat dalam hal perkara melibatkan pelbagai pihak,. Sedangkan dengan musyawarah, kita boleh menyatukan hati dan pandangan yang berbeza. Langkah ini, membuat orang berasa dihargai dan tidak rugi kerana mereka juga terbabit sebagai pembuat keputusan. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Maka, maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampun untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.”

Jelas, setiap perkara perlu diatasi dengan kelembutan agar tidak menyakiti banyak pihak lain. Maka, musyawarah adalah jalan terbaik untuk menyenangkan hati, menyelesaikan sebarang konflik dan menyatupadukan umat.

Mengeratkan Silaturahim

Dalam Islam, wajib untuk menghubungkan silaturahim. Lalu  bermusyawarah merupakan salah satu cara yang terbaik. Ketika mengadakan perbincangan, pasti kita bertemu ramai orang. Oleh itu, selain mencapai kesepakatan dalam isu yang dibincangkan, kita juga sebenarnya telah  mengukuhkan persaudaraan sesama Islam.

Penutup: Musyawarah bukan sahaja untuk mencapai kata sepakat tetapi untuk meraikan pendapat dan perbezaan.

Islam agama sempurna yang memberi manfaat dan keutamaan dalam pelbagai perkara termasuk musyawarah. Ada sesetengah pemimpin merasakan jika mereka meminta pendapat orang lain, itu tanda kelemahan mereka. Anggapan ini kurang tepat.

Sedangkan Rasulullah SAW sentiasa melakukan perbincangan dengan para sahabat. Baginda sentiasa merendah diri walaupun berjawatan sebagai ketua negara dan seorang rasul. Jadi sebgaai umatnya, suburkanlah musyawarah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda, bagi mendapat keputusan kolektif terbaik dalam menyelesaikan masalah segera.  

Jangan lupa untuk membaca lebih banyak artikel menarik kami seperti:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.