Nak tahu kegunaan tawas?

Tawas adalah sejenis garam berbentuk Kristal yang telah digunakan oleh orang kita sejak zaman dulu lagi. Tawas banyak dijual di gerai yang menjual barangan herba dan produk tradisional.

Malah kedai dan booth menjual jamu juga ada menjual tawas. Anak muda generasi kini mungkin tidak mengenali tawas namun bagi yang dewasa kristal ini pastinya bukan sesuatu yang pelik. Istimewa untuk anda hari ini kami akan kongsikan kegunaan tawas dalam kehidupan seharian.

kegunaan tawas
Sumber: Tokopedia

Membersihkan air takungan

Adakalanya air yang keluar dari paip tidak sebersih yang kita sangka. Ia mungkin berkeladak, berwarna tidak jernih, atau kelihatan mempunyai bahan enapan yang menyakitkan mata. Sejak dulu lagi tawas digunakan untuk membersihkan air yang disimpan dalam takungan seperti kolah mandi, tempayan, dan baldi.

Caranya mudah saja. Masukkan seketul tawas ke dalam air takungan. Ia akan berfungsi untuk membersihkan air yang disimpan. Selepas semalaman anda akan melihat sendiri air mula menjadi jernih malah bahan enapan akan termendap ke bawah dan terasing daripada air yang hendak digunakan.

Orang zaman dulu memasukkan tawas ke dalam perigi atau telaga air untuk mengurangkan masalah kecacingan dalam air yang diambil. Malah tawas juga membuatkan air rasa sedap apabila diminum. Hebat kan?

Menghilangkan hitam dan lebam pada tubuh badan terutamanya di kawasan pelipat

Anda mempunyai masalah hitam atau lebam di celah pelipat seperti celah ketiak, celah peha, tengkok, dan kawasan kemaluan? Tak perlu keluarkan duit beli krim atau losyen pemutih yang dijual di pasaran. Harganya boleh tahan mahal. Anda boleh gunakan tawas yang sememangnya terbukti berkesan untuk memutihkan semula kehitaman dan lebam pada tubuh badan.

Caranya ialah gunakan tawas semasa mandi. Basahkan tawas dan gosokkan kawasan yang berkenaan. Biarkan seketika sebelum dibilas. Kemudian mandi seperti biasa. Dengan penggunaan yang kerap anda akan mendapat kesan yang dihajatkan. Tapi nak kena rajinlah ye. Bukannya sekali buat terus putih.

Pewangi ketiak semulajadi

Tahukah anda bahawa serbuk tawas boleh digunakan sebagai pewangi ketiak semulajadi. Lepas ni anda tak perlu beli dedodoran lagi. Apa salahnya menggunakan deodorant? Deodorant dikatakan mempunyai bahan kimia yang boleh mencetuskan keaktifan sel kanser dalam tubuh badan. Malah kajian ke atas sek kanser mendapati bahawa terdapat bahan deodorant dalam sel kanser payudara yang diuji. Takut kan?

Inilah masanya untuk beralih kepada tawas yang mampu mewangikan ketiak secara semulajadi tanpa bahan merbahaya yang boleh memudaratkan badan. Caranya sapukan saja serbuk tawas ke celah ketiak. Ia akan membantu mengurangkan bau yang tidak diingini dan mengelakkan bau badan.

kegunaan tawas
Sumber: Cewekbanget

Menghilangkan bulu

Bulu ketiak, bulu kaki dan bulu di kawasan kemaluan boleh menjengkelkan. Penat juga nak dicukur dan diwax selalu. Apa kata anda cuba tawas pula. Tawas dikatakan mampu mengurangkan pertumbuhan bulu pada tubuh badan. Caranya sangat mudah. Beli seketul Kristal tawas, gunakan semasa mandi. Basahkan batu tawas dan gosokkan ke kawasan yang berbulu. Lama-kelamaan bulu akan mula gugur dan lambat untuk tumbuh semula.

Racun serangga organik

Kalau anda mempunyai tanaman sama ada sayu-sayuran atau pokok bunga, pastinya anda mengalami masalah serangan serangga. Ada banyak racun serangga yang dijual di pasaran namun harganya tidak murah. Malah racun serangga komersial yangdijual di pasaran mengandungi bahan kimia merbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan.

Nak-nak lagi sayur-sayuran yang kita tanam untuk makan sendiri. Sebolehnya kita nakkan racun serangga dan baja organic. Hari ini kami nak kongsikan resepi racun serangga organic yang diperbuat daripada tawas yang boleh anda cuba. Caranya, ambil satu sudu serbuk tawas dan campurkan dengan air yang akan digunakan untuk menyiram tanaman.

Siram tanaman anda dan pastikan kena ke seluruh pokok termasuk daun dan bahagian batangnya. Siram seminggu sekali. Insya Allah tiada lagi serangga yang akan mengganggu tanaman anda. Malah kalau ada telur pada pokok, ianya juga akan mati bila disiram dengan air tawas tadi. Sila cuba ya!

Krim pencukur dan after shave

Untuk orang lelaki tawas juga sangat berguna untuk anda. Ianya boleh digunakan sebagai krim pencukur dan juga after shave. Tawas kaya dengan astringent yang membantu melindungi kulit muka anda daripada mengalami luka semasa bercukur. Ia juga mengurangkan kerengsaan pada kulit. Caranya ambil seketul tawas, basahkan dan sapukan ke wajah sebelum bercukur. Selesai bercukur ulang langkah yang sama semasa membersihkan wajah. Siap! Tak perlu lagi anda beli krim pencukur atau after shave. Jimat sangat.

Memutihkan gigi

Biasanya kita dengar orang gunakan soda bikarbonat untuk memutihkan gigi namun sebenarnya tawas juga berfungsi untuk memutihkan gigi. Bolehlah anda cuba. Caranya gunakan tawas sebagai pengganti ubat gigi. Gunakan setiap hari.

Ubat buasir

Akhir sekali, tawas juga boleh digunakan sebagai salah satu rawatan tradisional untuk merawat buasir. Caranya sapukan serbuk tawas pada buasir dan biarkan di situ. Tawas akan membantu mengurangkan bengkak dan menghentikan pendarahan yang berlaku. Namun begitu anda dinasihatkan untuk terus mengambil ubat yang diberikan oleh doktor. Jangan bergantung 100% kepada tawas untuk penyembuhan.

Itulah dia info tentang kegunaan tawas yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang kegunaan vaseline, khasiat kacip fatimah, dan powerbank terbaik

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.