‘Ginger’ ataupun halia telah digunakan secara meluas dalam dunia masakan tidak mengira jenis. Khasiat  halia sebenarnya sangat banyak. Ciri-cirinya pula adalah pedas, berangin, rasa pahit, ringan, melekit dan tebal menjadikannya banyak digunakan dalam pelbagai aplikasi seharian.

Tapi, pernahkan anda semua terfikir. Apakah yang ada dalam halia ini sehingga disebut sebut oleh pakar kesihatan kebaikannya?

Mengapa Halia Yang Menjadi Pilihan?

Halia, Zingiber officinale Roscoe dipercayai berasal dari China dan kemudiannya disebarkan penggunaannya ke India, Asia Tenggara, Afrika Barat dan Caribbean. Antara negara yang menghasilkan banyak halia adalah India, China, Nigeria, Thailand dan Australia.

Penanaman halia di Malaysia masih ditanam secara kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau ditanam bersama-sama dengan tanaman lain seperti nenas, getah dan minyak kelapa sawit.

Berikut merupakan beberapa faktor yang menyebabkan halia ini menjadi pillihan utama dalam mengubati penyakit.

Ayuh sama sama kita lihat kebaikan halia untuk kesihatan dan kecantikan.

Imej via Bidadari

10 Khasiat Halia

Secara sejarahnya, amalan penggunaan halia sebagai rawatan tradisional dilakukan untuk merawat loya, muntah, masalah pendarahan dan pernafasan.

Berdasarkan kajian ke atas halia setakat ini, terdapat lebih 400 sebatian berbeza dijumpai dalam halia yang boleh dikelaskan kepada 4 kumpulan utama berikut:

  1. Karbohidrat (70%)
  2. Lemak (8%)
  3. Minyak mudah meruap (3%)
  4. Campuran komponen seperti serat, vitamin dan mineral

Antara bahan bioaktif yang terdapat dalam halia ialah amadaldehyde, paradole, gingerdiol, gingerdiasetat, gingerenon, asid gingersulfonik, diterpense, gingerglykolipid A, B dan C.

Kesemua bahan ini mempunyai kesan kesihatan tersendiri. Antaranya adalah seperti berikut:

#1 Mengawal Aliran Darah Yang Normal

Halia mengandungi mineral kromium, magnesium dan zink yang membantu dalam meningkatkan kitaran darah dan juga menghalang daripada demam dan peluh yang berlebihan.

Kajian dari tahun 1989 hingga 2006 menyaksikan penemuan halia yang membantu peredaran darah ke seluruh badan dengan merangsang otot jantung dan melegakan aliran darah seterusnya mengelakkan ketegangan dan kekejangan.

#2 Pengubat Mual

Halia telah terbukti sejak dahulu lagi sebagai pengubat bagi pelbagai jenis mual. Ini termasuklah ‘morning sickness’, mual selepas menjalani pembedahan dan mual selepas menjalankan rawatan kimoterapi.

Para pengkaji mendapati bahawa kesan anti mual ini disebabkan oleh kesan gingerol dalam halia ke atas reseptor 5-HT3 yang menghilangkan rasa mual atau loya.

Bagi ibu ibu mengandung, usah bimbang! Pakar kesihatan FDA mendapati halia tidak membawa kesan yang memudaratkan pada bayi di dalam kandungan.

#3 Meningkatkan Kadar Penyerapan

Halia boleh meningkatkan kadar penyerapan nutrient yang penting daripada makanan yang kita makan. Oleh sebab itulah, halia banyak digunakan dalam pembuka selera memandangkan ia boleh membangkitkan selera dan membuatkan sistem pencernaan makanan anda lebih bersedia untuk menerima makanan.

#4 Mengelakkan Demam dan Selsema

Sejak lebih beribu tahun yang lalu, halia telah banyak digunakan sebagai penyembuh bagi demam selsema di sekitar Asia.

University of Maryland Medical Center mendakwa bagi orang dewasa,hanya 2 sudu besar air suam yang direndam halia yang sudah dicincang sudah memadai untuk mengubati demam dan selsema. Disarankan untuk mengambilnya 2 hingga ke 3 kali sehari.

#5 Merawat Ketidakselesaan Perut

Halia adalah ubat yang terbaik bagi merawat masalah pencernaan dan mengelakkan sakit perut yang berpanjangan. Halia dikatakan mampu untuk mengurangkan kesakitan setanding dengan ubatan moden.

Tambahan pula, ada kajian yang melaporkan manfaat halia dalam merawat ulser dalam perut disebabkan sifat anti radang yang terdapat dalam sebatian bioaktifnya. Halia melindungi dinding perut daripada bahan yang menyebabkan ulser seperti asid, pepsin dan bakteria jahat.

#6 Melindungi Diri Anda Daripada Kanser Usus

Pencegahan kanser usus boleh dibantu oleh halia apabila halia mempunyai ciri antiemetik sebagaimana yang dilaporkan oleh Gull et al. (2012) dan Lumb (1994).

Ini bermaksud, halia meningkatkan pergerakan usus dan merencatkan respetor serotonin yang seterusnya merangsangkan reseptor dalam laluan usus supaya sentiasa bekerja dengan baik.

#7 Melegakan Kesakitan

Memandangkan halia mengandungi enzim yang boleh mengurangkan kesakitan, maka tidak hairanlah jika ia dikenali sebagai ubat penahan sakit semula jadi.

Kajian Mahmoud et al. pada tahun 2012 menunjukkan bahawa halia terbukti menyekat isyarat cytokine yang merendahkan risiko serangan radang dan kesakitan.

#8 Membantu Untuk Mengatasi Masalah Pernafasan

Halia boleh membantu untuk menghilangkan kahak dan melegakan paru paru anda jika anda mengalami masalah pernafasan.

Masalah pernafasan seperti batuk, sesak nafas dan sebagainya boleh diatasi dengan hanya meminum halia. Jangan lupa, halia juga boleh membantu melegakan kesakitan dengan cepat!

#9 Merawat Kanser Ovari

Kanser Ovari tersenarai antara 3 kanser yang paling kerap dihidapi oleh rakyat Malaysia terutamanya wanita. Hingga kini penawar untuk kanser ini masih belum ditemui. Tetapi, kita masih mempunyai rawatan semula jadi sebagai alternatif.

Serbuk halia sebenarnya mempunyai potensi yang besar dalam mematikan sel kanser. Tindakan anti radang bahan-bahan dalam halia yang bertindak ke atas sintesis prostaglandin dilaporkan membantu dalam mengurangkan kekejangan akibat datang haid.

#10 Menguatkan Sistem Imuniti Diri

Masalah kesihatan seperti strok boleh dijauhi dengan hanya memakan sedikit halia setiap hari. Halia membantu dalam memecahkan sel lemak yang berkumpul daripada saluran darah dan mengurangkan jangkitan bakteria di dalam perut.

Selain itu, terdapat banyak laporan saintifik yang mengaitkan penggunaan halia sebagai agen antibakteria, antikulat, antioksidan dan antiparasit.

Bukankah halia ini penahan sakit semula jadi. Maka tiada masalah untuk mengubati sakit tekak dan batuk teruk.

#11 Untuk Alahan

75% daripada wanita mengandung telah berjaya membuktikan bahawa halia sangat berjaya dalam mengubat ‘morning sickness’ yang biasa berlaku di trimester pertama.

Sebatian gingerol dan shoagol dilaporkan sangat membantu dalam menutup reseptor rasa alahan disebabkan struktur aromatik mereka yang jarang dijumpai dalam tumbuhan lain.

Jadi, jangan pandang rendah kepada halia!

Berapa Banyak Baru Cukup?

Setelah membaca mengenai kebaikan halia, mungkin ramai yang tertanya Tanya, “Berapa banyak nak ambil sebenarnya?”. Jangan risau. Kami sudah sediakan jawapannya kepada anda.

Menurut kata pakar kesihatan, meminum air yang bercampur 2 sudu besar halia yang diparut sudah memadai. Lebih elok jika diminum 2 ke 3 kali setiap hari. Kebanyakan orang akan meletakkan madu bersama halia untuk rasa yang lebih baik.

Meletakkan halia di dalam teh hijau juga salah satu idea yang terbaik. Tetapi, memandangkan sudah ramai orang yang meletakkan halia di dalam masakan, semakin sukar sebenarnya untuk mengagak kuantiti halia yang diperlukan.

Dengan kebaikan yang sebanyak itu serta mudah untuk didapati, halia adalah sesuatu yang kita patut amalkan setiap hari. Kenapa kita harus memilih supplement jika kita sudah ada yang semula jadi, bukan?

Semoga pandangan anda terhadap khasiat halia berubah 100% selepas ini. Pasti rasa nak makan dengan sebanyak-banyaknya selepas ini.

Rujukan

  1. Al-Awwadi, N. A. J. (2017). Potential health benefits and scientific review of ginger. Journal of Pharmacognosy and Phytotherapy9(7), 111-116.
  2. Alsherbiny, M. A., Abd-Elsalam, W. H., Taher, E., Fares, M., Torres, A., Chang, D., & Li, C. G. (2019). Ameliorative and protective effects of ginger and its main constituents against natural, chemical and radiation-induced toxicities: a comprehensive review. Food and Chemical Toxicology123, 72-97.
  3. Haniadka, R., Saldanha, E., Sunita, V., Palatty, P. L., Fayad, R., & Baliga, M. S. (2013). A review of the gastroprotective effects of ginger (Zingiber officinale Roscoe). Food & function4(6), 845-855.
  4. Li, H., Liu, Y., Luo, D., Ma, Y., Zhang, J., Li, M., … & Yang, K. (2019). Ginger for health care: An overview of systematic reviews. Complementary therapies in medicine45, 114-123.

Khasiat Makanan Lain

Kami juga ada menulis beberapa artikel tentang khasiat sumber makanan yang lain. Semoga ianya turut bermanfaat. Oh ya, jangan lupa untuk share dan kongsi dengan menekan butang share Facebook jika artikel yang dikongsi bermanfaat.

 

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.