Nak tahu tentang khasiat kunyit untuk kesihatan? Jom baca artikel ii. Kami akan kongsikan khasiat dan rahsia kunyit dan sebab anda perlu jadikannnya sebagai amalan.

Rumah anda pasti mempunyai kunyit bukan? Kunyit adalah antara rempah wajib di dapur orang Malaysia. Antara masakan yang berasaskan kunyit ialah masak lemak cili api, rendang, gorengan, opor, kuzi, sate dan sebagainya.

Tahukah anda kunyit turut dikenali sebagai ‘saffron India’ kerana merupakan rempah berharga yang diamalkan oleh masyarakat India.

Warnanya yang lebih kurang sama dengan saffron dan juga sifat kunyit yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Bezanya, kunyit boleh diperolehi secara mudah dan murah!

Khasiat kunyit sebenarnya pula adalah terlalu banyak.

Pengenalan

Lebih 5000 tahun yang lalu, kunyit telah lama digunakan di selatan India dan Indonesia serta di serata dunia.

Kunyit atau nama saintifiknya Curcuma longa Linn merupakan ahli dalam famili Zingiberaceae yang ditemui ditanam di kawasan tropikal dan subtropikal di seluruh dunia.

Serbuk kunyit digunakan secara meluas sebagai agen pewarna dan perasa dalam masakan seperti kari dan mustard. Secara tradisionalnya, kunyit digunakan oleh masyarakat Cina dan India untuk rawatan demam kuning, masalah hati dan kesihatan mulut.

Badan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah mengiktiraf kunyit sebagai makanan yang selamat diambil.

Di India, individu dengan berat purata 60 kg mengambil kira-kira 2-2.5 gram kunyit dalam diet makanan harian mereka.

Bahan aktif utama dalam kunyit ialah curcumin (CUR), demetoksi curcumin (DMC) dan bisdemetoksicurcumin (BDMC).

Imej via Bidadari

Khasiat Kunyit

Semestinya kunyit ini datang dengan khasiat yang sangat banyak. Bukankah seronok jika anda boleh nikmati makanan anda sambil menjaga kesihatan?

Berikut merupakan 8 daripada kebaikan yang dapat anda temui dalam kunyit. Kebaikan kesihatan kunyit ini diolah daripada ulasan kajian saintifik yang diterbitkan di Journal of Traditional and Complementary Medicine oleh sekumpulan penyelidik di India, Amalraj et al. pada tahun 2017.

#1 Mengurangkan Bengkak

Bengkak sering terjadi apabila badan anda sedang berlawan dengan virus dan jangkitan. Semestinya, bengkak ini boleh menjadi tidak selesa kepada anda dan boleh menyebabkan anda sakit.

Usah bimbang lagi kerana kunyit mampu melegakan kesakitan anda. Secara tradisionalnya, kunyit diberikan kepada pesakit yang baru selesai pembedahan. Kunyit terbukti mampu mengurangkan bengkak yang disebabkan oleh kesakitan.

Tekanan oksidatif dan keradangan yang menyebabkan bengkak didapati boleh dikurangkan dengan pengambilan kunyit atau lebih tepat lagi kandungan curcumin dalam kunyit sebanyak 500 mg, dua kali sehari.

Ujian klinikal yang dijalankan ke atas responden lelaki dan wanita mendapati kesan keradangan yang berkurangan melalui terapi pengurangan lipid dengan pengenalan kandungan kunyit dalam diet makanan mereka. 

#2 Melawan Tanda Tanda Awal Penuaan

Jika anda bimbang akan muncul tanda tanda penuaan di badan anda, apa kata anda mula mengamalkan kunyit. Kunyit mempunyai antioksidan yang hebat! Ia boleh membantu untuk memperlahankan pembentukan ultra violet (UV) dan lain lain yang boleh mendatangkan masalah kulit.

Masalah kulit ini lah yang akan mempercepatkan proses penuaan. Tapi jangan risau kerana dengan hanya menambah sedikit kunyit dalam diet harian anda, anda masih boleh kelihatan muda.

Secara kajian makmal, kunyit terbukti memiliki sifat aktiviti antioksidan yang tinggi apabila para pengkaji mengesan kehadiran kumpulan fenolik dan sebatian aktif lain yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan tumbuhan lain. 

#3 Membantu Menghalang Pertumbuhan Sel Kanser

Dalam beberapa kajian yang dilakukan, curcumin yang merupakan salah satu bahan yang ada dalam kunyit menunjukkan bahawa kunyit boleh menghalang dan mematikan perkembangan dan pertambahan sel kanser. 

Antara kanser yang bertindak balas kepada curcumin ini adalah kanser payu dara, perut, usus dan kulit. Tetapi, bertanyalah kepada doktor anda jika anda mahu mengambil kunyit dalam menu seharian anda.

Imej via Bidadari

#4 Melindungi Diri Daripada Penyakit Otak

Sekali lagi curcumin yang banyak terkandung di dalam kunyit boleh menyelamatkan anda. Penyakit seperti Alzheimer, Parkinson dan Huntington lebih mudah diubati dengan kunyit sebagai alternatif.

Curcumin dalam jumlah yang kecil (3-10 mg/kg) memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan jumlah neuron yang kurang berfungsi dan membantu untuk melawan radang otak.

Kajian juga mendapati bahawa kunyit membantu memberikan kesan peningkatan memori. 

#5 Melawan Jangkitan Bakteria

Kunyit boleh membantu anda dalam melawan jangkitan bakteria di dalam badan kerana ia mempunyai komponen antimikrob. 

Sebatian kimia dalam kumpulan berfungsi curcumin kunyit ternyata membantu merencatkan pertumbuhan pelbagai mikroorganisma berbahaya seperti kulat dan virus. 

Kehadiran sebatian aktif kunyit akan mengganggu ikatan antara virus dengan sel seterusnya mengurangkan jangkitan akibat jangkitan virus ini seperti influenza.  Di samping itu, jika dibandingkan antara CUR dan DMC dalam kunyit, kehadiran CUR adalah lebih kuat dalam memberikan sifat antikulat.

Selain itu, kunyit juga boleh meningkatkan sistem imunisasi badan.

#6 Menstabilkan Sistem Hormon

Kunyit boleh menyembuhkan dan mengelakkan beberapa penyakit yang serius termasuklah penyakit autoimmune seperti rheumatoid arthritis, lupus, dan MS.

Tetapi,seperti biasa. Anda haruslah merujuk kepada pakar dahulu sebelum membuat keputusan. Sekiranya tiada apa apa kesan sampingan, anda bolehlah mengamalkan kunyit dalam makanan seharian anda.

Bukankah kunyit lebih sihat dan lebih elok daripada ubat ubatan? Mengapa perlu mencari yang sintetik sedangkan anda boleh mendapatkan yang asli dengan lebih mudah. 

Ini merupakan cadangan pencegahan sahaja. Sekiranya anda sudah didiagnos oleh pakar perubatan, anda perlu mengikut saranan doktor perubatan anda.

#7 Membantu Untuk Menurunkan Berat Badan

Tahukah anda, curcumin yang disebutkan di atas tadi boleh menyekat pengumpulan lemak seumpama anda memakan pil pelangsingan badan. Secara tidak langsung, ini boleh membantu anda dalam menurunkan dan mengawal berat badan anda.

Petuanya, hanya letakkan secubit kunyit di dalam makanan anda setiap hari dan nescaya anda akan mendapatkan berat badan yang anda idamkan selama ini.

Kajian-kajian saintifik seterusnya makin banyak diperluas untuk melihat potensi kunyit sebagai bahan anti diabetik bagi mengurangkan masalah pesakit kencing manis. 

Secara potensinya, kunyit menunjukkan ciri peningkatan enzim untuk mengurangkan tekanan gula dalam darah dan mengurangkan pengumpulan lemak dalam tubuh. 

Kesimpulan

Sebenarnya masih banyak lagi khasiat kunyit selain daripada yang dinyatakan. Cuba tambahkan kunyit serbuk di dalam sos, pencecah atau pun hanya letakkan dalam makanan bergoreng anda. Jika anda boleh tahan dengan rasa kunyit yang asli, makanlah kunyit bersama buah buahan dan sayur anda. Pastinya ia mempunyai khasiat yang lebih baik!

Ayuh bertukar daripada ubat ubatan kepada kunyit!

Demikian khasiat kunyit yang dapat kami kongsikan. Pasti sekarang ramai mula kagum dengan kehebatan kunyit yang sentiasa dalam dapur orang Malaysia ini.

Rujukan

  1. Amalraj, A., Pius, A., Gopi, S., & Gopi, S. (2017). Biological activities of curcuminoids, other biomolecules from turmeric and their derivatives–A review. Journal of traditional and complementary medicine7(2), 205-233. (link)
  2. Vaughn, A. R., Branum, A., & Sivamani, R. K. (2016). Effects of turmeric (Curcuma longa) on skin health: a systematic review of the clinical evidence. Phytotherapy Research30(8), 1243-1264. (link)

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Khasiat Makanan Lain

Kami juga ada menulis beberapa artikel tentang khasiat sumber makanan yang lain. Semoga ianya turut bermanfaat. Oh ya, jangan lupa untuk share dan kongsi dengan menekan butang share Facebook jika artikel yang dikongsi bermanfaat.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.