Anda tentu pernah nampak orang yang menghadapi masalah jerawat di dagu. Jerawat tersebut hanya berkumpul di bahagian itu. Ada orang yang mengalami masalah jerawat di dagu yang biasa, ada pula mempunyai jerawat batu yang mengandungi nanah.

Sebenarnya masalah jerawat berlaku di mana-mana bahagian tubuh. Ada di wajah, di belakang badan atau di dada. Ia merupakan perkara normal dan tidak perlu ditakuti. Kesan paling ketara apabila terdapat banyak jerawat, kita akan berasa kurang keyakinan diri.

Bahagian muka merupakan anggota tubuh yang kerap terdedah kepada masalah jerawat. Ini disebabkan wajah merupakan kawasan yang paling mudah terdedah dengan persekitaran. Debu, habuk, pencemaran dan bahan kimia di sekeliling mudah melekat pada wajah.

Jerawat di wajah berlaku di bahagian dahi, pipi, keseluruhan wajah atau dagu saja. Namun, dalam artikel ini penulis akan kongsikan punca berlakunya jerawat di dagu dan tips rawatan bagi mengatasi masalah ini. Jom baca!

Punca Jerawat Di Dagu

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah jerawat di dagu ini. Antaranya ialah:

1. Hormon tidak stabil

Masalah hormon bermula sejak kita mencapai umur akil baligh. Ia merupakan masalah yang kerap terjadi pada usia tersebut. Ini disebabkan remaja mengalami pelbagai perubahan hormon.

Perubahan hormon ini menyebabkan tubuh mereka tidak dapat menyesuaikan diri lagi pada proses pertumbuhan itu. Kesannya akan menyebabkan jerawat tumbuh di permukaan yang berminyak seperti di bawah dagu.

2. Kitaran haid yang tidak tetap

Kitaran haid yang tidak sekata mungkin berpunca daripada masalah pada bahagian ovari atau rahim. Wanita yang mengalami masalah ini seharusnya perlu bertemu dengan pakar ginekologi. Jika dibiarkan mungkin akan menyebabkan masalah lain seperti jerawa di dagu atau bahagian yang lain.

3. Teknik penjagaan wajah yang salah

Ramai yang mengabaikan rutin penjagaan wajah mereka. Selepas seharian berada di luar rumah, kita perlu membersihkan wajah daripada sebarang solekan dan produk kulit. Walaupun anda berada di rumah saja, wajah tetap perlu dibersihkan.

Kotoran yang terperangkap di wajah, perlu dibersihkan dengan betul. Kita tak sedar ketika membasuh wajah, kita hanya fokus pada bahagian pipi. Bahagian bawah dagu selalu terlepas pandang. Namun, di situlah banyak kotoran yang terkumpul. Belum campur dengan sisa minyak daripada makanan yang terlekat di situ.

4. Masalah sebum di T-Zone

Zone terdiri daripada dahi, hidung dan dagu. Pada ketiga-tiga bahagian ini, pengeluaran minyak (sebum) berlaku secara berlebihan bagi sesetengah orang. Ini disebabkan terdapat banyak kelenjar sebum yang terdapat di permukaan tersebut.

Apabila sebum dan kotoran tak dibersihkan dengan betul akan menyebabkan iritasi. Kotoran tersebut akan terperangkap di liang pori-pori kulit. Lama-kelamaan, ia akan menyebabkan berlakunya jerawat.

5. Tidak cukup tidur dan rehat

Apabila anda tidak mendapatkan tidur yang mencukupi, wajah akan menjadi lesu dan kurang bermaya. Ini juga akan menyebabkan pengeluaran sebum yang aktif di bahagian wajah. Malahan, anda juga perlu dapatkan rehat yang secukupnya jika sedang bercuti atau sakit.

6. Gaya pemakanan yang kurang sihat

Gaya pemakanan yang tidak sihat juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah ini. Makanan yang berlemak dan berminyak akan menyebabkan jerawat terutamanya di dagu. Jika anda ada alergik, elakkan makanan laut dan kekacang.

7. Suka memicit jerawat

Anda suka picit jerawat? Hentikan tabiat ini. Apabila anda memicit jerawat, kotoran  seperti darah, nanah dan isi jerawat akan keluar. Kotoran ini mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan bahagian lain juga ditumbuhi jerawat.

Selain menggalakkan pertumbuhan jerawat, tabiat ini juga akan menyebabkan luka dan parut. Parut tersebut tak mudah hilang dan akan mengambil masa. Kesan parut ini akan mencacatkan lagi penampilan anda.

8. Kesan pengambilan ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat yang akan menyebabkan kesan sampingan iaitu jerawat di wajah yang tertumpu di dagu. Antaranya ialah ubat perancang, vitamin B, corticosteroid dan anti depressants. Walaupun ubatan ini penting bagi merawat penyakit berkaitan, namun tetap ada kesan sampingan.

jerawat

Imej via Bidadari

 9. Kurang kebersihan diri

Jika anda sering ditumbuhi jerawat di wajah terutama dagu, sila perhatikan tuala, sarung tilam dan bantal anda. Adakah semua itu kerap ditukar? Tuala yang basah dan lembap akan menyebarkan bakteria dan kulat apabila dilap pada wajah.

Sarung tilam dan bantal pastinya dipenuhi ‘peta dunia’ jika jarang ditukar. Segala habuk, bakteria, air liur dan sebagainya berkumpul di situ. Jika anda tidur, kotoran itu melekat pula di muka.

Tips Rawatan Jerawat Di Dagu

Bagi yang menghadapi masalah jerawat di dagu, ada beberapa tips yang boleh diamalkan. Jangan risau, masalah ini boleh diselesaikan jika anda peka dengan keadaan kulit dan persekitaran. Apakah tips tersebut?

1. Menggunakan ubatan

Ubat ni sangat berkesan untuk mengecutkan jerawat. Namun, ia perlu diambil dengan arahan doktor. Cara penggunaannya perlu dipatuhi untuk mengelakkan masalah menjadi lebih teruk.

Jika jerawat yang timbul ada terkandung nanah, maka anda perlu menggunakan ubat yang mengandungi antibiotik. Antibiotik dapat membunuh bakteria, mengecutkan jerawat dan menghilangkan parut. Jika masalah jerawat terus berlarutan, dapatkan nasihat pakar kulit.

2. Amalkan gaya hidup sihat dan aktif

Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang dalam diet harian anda. Jika anda nak kulit yang bersih, berseri-seri dan licin, banyakkan ambil makanan yang kaya dengan vitamin. Sayur-sayuran dan buah-buahan sangat baik untuk kesihatan kita.

Selain itu, dapatkan tidur yang berkualiti sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Jauhi stres dan amalkan senaman untuk mendapatkan tubuh yang sihat.

3. Jaga kebersihan wajah dan diri

Rajinkan diri membasuh muka dengan betul. Gunakan produk wajah yang sesuai dengan jenis kulit. Jangan sesekali membeli produk timbang kilo yang hanya indah khabar dari rupa.

Jangan lupa menggunakan tuala yang berlainan untuk wajah. Selain itu, kerap membersihkan bilik tidur dan tukar cadar katil. Ini akan meminimumkan punca masalah jerawat di dagu atau bahagian lain.

Itulah saja perkongsian penulis tentang topik punca dan tips rawatan jerawat di dagu. Anda boleh kongsikan artikel ni kepada ahli keluarga dan rakan-rakan. Masalah jerawat di dagu boleh berlaku kepada sesiapa saja. Mungkin ada yang tak tahu punca dan cara mengatasi masalah ini. Semoga bermanfaat.

Jemput juga baca tentang makanan punca jerawat dan tips kecutkan jerawat

Rujukan

  • Punca Jerawat (Acne) Di Dagu Dan Cara Menghilangkannya? (link)
  • Ini Maksud Sebenar Jerawat Yang Tumbuh Di Muka Anda (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.