Mengalami gastrik? Ini adalah tips makanan untuk untuk gastrik. Tips dan petua berdasarkan research.

Gastrik atau juga dikenali sebagai pedih ulu hati merupakan masalah pada sistem pencernaan yang agak biasa ditemui dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan gastrik ini boleh berlaku apabila lapisan dinding perut tercedera oleh sebab-sebab tertentu. Kesannya, sejenis cecair mukus akan dihasilkan untuk melindungi perut daripada hakisan asid perut. Namun, lapisan perut tersebut masih boleh terbakar atau mengalami keradangan yang disebabkan oleh peningkatan asid secara berlebihan tersebut.

Antara punca gastrik adalah seperti berikut:

  • Jangkitan kuman melalui makanan atau air yang tercemar oleh bakteria H. pyroli dan boleh disebarkan oleh satu individu kepada individu yang lain.
  • Kesan sampingan ubat tahan sakit seperti aspirin dan ibuprofen.
  • Tabiat merokok dan minum minuman beralkohol.
  • Penuaan yang menyebabkan lapisan perut menipis.
  • Penyakit autoimun.

Masalah gastrik ini boleh dikawal jika dikesan di peringkat awal. Namun, masalah ini boleh berlarutan sehingga mengancam nyawa dengan menyebabkan berlakunya kanser perut. kanser perut adalah sangat berbahaya yang boleh mambawa maut yang merupakan kanser ke-4 punca kematian disebabkan kanser selepas kanser paru-paru, hati dan kolorektal. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tips diet makanan yang boleh diamalkan untuk pesakit gastrik untuk mencegah atau mengurangkan gejala penyakit gastrik.

Makanan Punca Gastrik

Penyelidik dari Universiti Illinios, Amerika Syarikat, Aqsa Iqbal pada tahun 2017 ada menerbitkan kajian beliau berkenaan makanan yang menjadi punca gastrik seterusnya mencadangkan pesakit gastrik untuk mengelak pemakanannya.

Elak Makanan Tinggi Kandungan Garam

Imej via Bidadari

Kandungan garam yang tinggi dalam makanan bukan sahaja boleh menyebabkan masalah gastrik, malah juga beberapa keadaan penyakit berbahaya yang lain seperti tekanan darah tinggi, mengundang serangan asma, masalah osteoporosis, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Kajian tersebut juga mendapati bahawa penduduk di negara yang banyak mengamalkan diet makanan tinggi garam menunjukkan kadar pesakit gastrik yang lebih ramai berbanding penduduk negara yang kurang mengambil garam dalam masakan.

Kehadiran kandungan garam yang tinggi ini akan merosakkan lapisan dinding pada permukaan perut yang mengakibatkan berlakunya atropi ataupun keradangan. Tambah memburukkan lagi keadaan, luka akibat lapisan yang rosak itu boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria yang akan menyebabkan keadaan gastrik bertambah teruk.

Seterusnya, kajia tersebut menyenaraikan antara makanan yang boleh menyebabkan potensi gastrik yang tinggi:

  • Makanan yang diawet dan diproses
  • Soda
  • Daging yang diperap dengan garam
  • Ikan masin
  • Dongchimi (kimchi yang diperbuat daripada lobak putih)
  • Daging bakar
  • Jeruk

Pengawet Makanan Punca Gastrik

Penggunaan pengawet makanan dalam industri makanan adalah untuk memanjangkan tempoh hayat makanan, mengelak risiko pertumbuhan bakteria yang boleh merosakkan makanan dan memberikan perasa atau pewarna tertentu kepada makanan yang diawet.

Menurut kajian lepas, pengawet makanan dan pemanis tiruan yang dimasukkan ke dalam makanan ini terdiri daripada sebatian kimia seperti N-nitrosamines, nitrosamides dan nitrosaminidine. Bahan kimia ini jika digunakan untuk jangka masa yang lama dan kerap, boleh menyebabkan masalah gastrik dan seterusnya kanser perut. Antara makanan yang menggunakan bahan pengawet tersebut ialah:

  • Sosej
  • Nugget
  • Daging beku diawet
  • Makanan bergaram yang diawet
  • Beer
  • Whiskey

Cadangan Makanan untuk Pesakit Gastrik

Seterusnya, bagi mengawal gejala gastrik atau mencegah daripada berlakunya masalah kesihatan yang lebih buruk seperti kanser perut, terdapat beberapa cadangan diet makanan yang boleh diamalkan. Kandungan sebatian biokatif dalam makanan-makanan ini ternyata menyumbang kepada perlindungan tubuh daripada risiko bahaya penyakit gastrik.

Amalkan Bawang Putih

Imej via Bidadari

Bawang putih kaya dengan pelbagai sebatian aktif dan kumpulan utama yang terdapat di dalamnya ialah allium. Kumpulan allium ini memberikan potensi kesan kesihatan yang pelbagai antaranya antibakteria, antihipertensif dan antikanser.

Dengan lebih 2000 sebatian aktif dan masih terus dijumpai oleh para pengkaji, bahan antioksidan dalam bawang putih dan sebatian sulfur mampu memberi perlindungan kepada perut.

Buah-buahan dan Sayuran-sayuran Segar

Imej via Bidadari

Anugerah alam dan sumber alam semula jadi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran segar perlulah dimanfaatkan untuk kesihatan diri kita. Analisis makmal telah banyak membuktikan kesan kesihatan yang positif daripada memakan buah dan sayuran segar. Karotena, vitamin C, vitamin E, garam galian dan multi vitamin yang lain merupakan antara kandungan nutrien yang sangat berharga.

Antara cadangan buah dan sayuran segar berdasarkan kajian lepas ialah buah buahan sitrus, cendawan, sayuran hijau, tembikai, tomato dan sebagainya.

Susu dan Produk Tenusu

Imej via Bidadari

Bagi meredakan gejala gastrik dan simptom berkaitan sakit perut, pengambilan susu dan produk adalah amat digalakkan. Antara susu dan produk tenusu yang boleh diamalkan ialah susu lembu, susu kambing, susu biri-biri, yoghurt, keju, dadih dan sebagainya.

Produk tenusu ini mempunyai kandungan protein yang tinggi yang boleh membantu membaiki kerosakan sel dan tisu tubuh dengan kadar yang lebih cepat. Selain itu, terdapat banyak enzim dalam susu yang boleh membantu fungsi sistem tubuh berjalan dengan lebih lancar. Namun, terdapat juga sebilangan mereka yang tidak boleh mengambil susu dan produk tenusu disebabkan masalah kesihatan atau lactose intolerance. Mereka boleh menggantikannya dengan alternatif seperti susu badam (almond milk), susu soya dan sebagainya.

Kesimpulan

Masalah gastrik merupakan ancaman kesihatan yang berbahaya jika tidak dipantau dan dikawal dengan baik. Pembentukan kanser perut yang disebabkan oleh gastrik ini boleh menyebabkan risiko kesihatan yang mengancam nyawa. Jadi, langkah pencegahan awal perlu diambil dengan mengubah gaya hidup dan menjada diet makanan.

Selain itu, amalan makan makanan yang berkhasiat boleh membantu sistem tubuh yang lebih sihat secara keseluruhan. Kerap bertemu doktor dan jalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan sistem tubuh badan kita sentiasa dalam keadaan yang terbaik.

Rujukan

  • Iqbal, A. (2017). Effect of food on causation and prevention of gastric cancer. J. Cancer Prev. Curr. Res8(00289), 10-15406.(link)  
  • Tsugane, S. (2005). Salt, salted food intake, and risk of gastric cancer: epidemiologic evidence. Cancer science96(1), 1-6. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.