Ketahui Jenis Ketumbit Atau Tempelan Di Kelopak Mata
Kelopak mata mempunyai kelenjar-kelenjar yang menghasilkan minyak yang membantu melembapkan permukaan hadapan bola mata dan bulu mata yang berfungsi…

Ringkasan Ringkas
- Ketumbit adalah keradangan kelenjar pada kelopak mata akibat jangkitan kuman atau salur tersumbat, bukan disebabkan mengintai orang mandi.
- Keradangan kelenjar sebasea menyebabkan ketumbit jenis stye dengan gejala bintil merah yang bernanah dan sakit.
- Keradangan kelenjar Meibomian menyebabkan ketumbit jenis chalazion dengan gejala bengkak di tengah kelopak mata tetapi tidak terlalu sakit.
- Rawatan asas melibatkan tuaman suam dan pembersihan tepi kelopak mata dengan syampu bayi.
- Kes yang tidak sembuh mungkin memerlukan sapuan antibiotik atau pembedahan kecil untuk chalazion.
- Pencegahan termasuk membuang solekan sebelum tidur dan kebersihan tangan ketika mengendali kanta sentuh.
Kelopak mata mempunyai kelenjar-kelenjar yang menghasilkan minyak yang membantu melembapkan permukaan hadapan bola mata dan bulu mata yang berfungsi memerangkap habuk daripada memasuki mata.
Pernahkah anda mengalami ketumbit atau tempelan di bahagian kelopak mata? Ia bukanlah disebabkan oleh perbuatan mengintai orang mandi. Ia disebabkan kuman yang telah merebak di kelopak mata.
Mari kami kongsikan kepada anda info sebenar mengenai jenis-jenis ketumbit. Info ini dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin. Beliau merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau juga antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia. Mari kita baca info yang dikongsikan oleh Dr Kamarul.
Maksud ketumbit
Ketumbit adalah keradangan kelenjar pada kelopak mata atau pada akar bulu mata. Ia berlaku kerana jangkitan kuman, atau salur kelenjar tersumbat dengan bendasing (debu/solekan/dsb).
Jenis-jenis ketumbit

Imej via Facebook
Terdapat beberapa jenis kelenjar pada kelopak mata, antaranya, kelenjar sebasea(sebaceous) dan kelenjar Meibomian.
Keradangan pada kelenjar sebasea menyebabkan ketumbit jenis stye. Gejalanya adalah, bintil merah pada tepi kelopak mata, bernanah, dan sakit.
Keradangan pada kelenjar Meibomian menyebabkan ketumbit jenis chalazion. Gejalanya adalah, bengkak pada tengah kelopak mata, tapi tak begitu sakit.
Rawatan kedua-dua jenis tembel ni hampir sama, iaitu:
1. Tuam ketumbit beberapa kali sehari dengan tuaman suam. Bersihkan tepi kelopak mata dengan syampu bayi guna putik kapas.
2. Sekiranya tidak sembuh selepas dituam dan dibersihkan beberapa hari, rawatan antibiotik dalam bentuk sapuan mungkin diperlukan.
3. Dalam kes yang lebih teruk chalazion dirawat dengan pembedahan kecil untuk mengeluarkan minyak yang terkumpul.
Jika tidak dirawat, keradangan boleh merebak ke seluruh kelopak mata (blepharitis) dan lapisan lemak dibawah kulit (cellulitis). Ia menyebabkan bengkak dan sakit yang teruk.
Untuk elakkan ketumbit, pastikan solekan kelopak mata dibuang sebelum tidur. Pastikan tangan bersih semasa memakai atau menanggalkan kanta sentuh.
*Selepas ini, jika ada ketumbit di mata, jangan memandai-mandai kata puncanya disebabkan suka mengintai orang mandi. Ia adalah mitos yang sering dikatakan oleh orang dulu-dulu sebagai gurauan. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Boleh baca artikel asal di sini.