Mencari info tips makanan sihat makanan ibu berpantang? Bagi ibu yang sedang berpantang, waktu ini merupakan tempoh waktu yang sangat penting untuk memulihkan diri selepas bertarung melahirkan anak dan mengandungkan bayi berbulan-bulan lamanya.

Tempoh ini juga merupakan waktu yang paling intim untuk si ibu menjalinkan perhubungan dengan anak yang baru lahir. Untuk mengumpul kekuatan tersebut, si ibu kini berada dalam fasa yang dipanggil ‘berpantang’ oleh masyarakat Melayu kita.

Secara perubatan, waktu berpantang atau post-natal ialah ketika tubuh badan wanita sedang mengeluarkan darah nifas atau ketulan darah yang terkumpul semasa dinding rahim menebal untuk menampung kehamilan bayi. Selain mengurangkan aktiviti fizikal yang berat, rehat yang mencukupi amat diperlukan oleh para ibu yang berpantang ini. Di samping itu, pemilihan diet makanan adalah amat penting bagi memastikan tubuh badan si ibu kekal sihat. Apatah lagi sekiranya si ibu ingin memberikan susu badan kepada si anak.

Oleh itu, artikel ini akan mengupas mengenai cadangan diet makanan dan pilihan makanan yang sesuai untuk ibu mengandung. Diet makanan sihat untuk ibu berpantang ini diolah berdasarkan kajian penyelidikan berkaitan perubatan, kesihatan dan sain makanan yang pernah diterbitkan dalam jurnal terkemuka sebelum ini.

Makanan Ibu Berpantang

Penyelidikan bersama para pengkaji di university-universiti terkemuka di Amerika Syarikat telah menerbitkan laporan berkenaan diet makanan sihat untuk ibu berpantang dan menyusukan anak pada tahun 2019 di jurnal Nutrients.

Mereka mendapati bahawa nutrisi makanan yang diambil oleh ibu ketika mengandung dan berpantang ini adalah sangat penting kerana bakal menentukan risiko kesihatan si anak untuk membesar. Terdapat kes yang dilaporkan bahawa diet tidak sihat si ibu boleh menyebabkan si anak mendapat risiko penyakit kronik dan masalah obesiti.

Berikut ialah antara cadangan makanan ibu berpantang yang boleh diamalkan:

Nasi dan Sumber Karbohidrat Lain

Imej via Bidadari

Ada yang berpendapat nasi merupakan musuh utama dalam diet lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang berdiet, terutamanya ketika sedang berpantang ini. Namun, nasi adalah sangat penting untuk membekalkan tenaga mencukupi sebagai sumber karbohidrat bagi meneruskan urusan seharian. Apatah lagi ibu berpantang yang perlu menyusukan si anak, lebih tenaga akan diperlukan.

Tiada salahnya diet makan nasi bagi ibu yang berpantang. Namun, antara pilihan lebih sihat yang boleh dibuat ialah diet beras perang yang mempunyai kurang indeks glisemik atau kurang gula dan kanji berbanding nasi putih.

Sekiranya anda ingin mengalih selera, antara sumber bekalan karbohidrat yang baik adalah seperti roti gandum, barli, ubi, oat, bijirin penuh, spaghetti dan sebagainya.

Makanan Tinggi Protein

Imej via Bidadari

Pelbagai pilihan protein di pasaran boleh dibuat untuk ibu berpantang bagi mengelakkan jemu makan makanan yang sama. Makanan tinggi protein ini juga amat penting bagi memulihkan tubuh si ibu yang baru sahaja selesai melahirkan anak dan memerlukan penggantian sel dan tisu baharu. Kehadiran protein dalam diet makanan boleh menyumbang kepada proses penyembuhan luka melahirkan anak secara lebih cepat.

Antara pilihan makanan tinggi protein untuk ibu berpantang termasuklah:

  • Telur
  • Isi ayam
  • Ikan
  • Kekacang
  • Tempe

Minum Air Secukupnya

Imej via Bidadari

Masyarakat dahulu ada menegah pengambilan air dan hanya memberikan sedikit sahaja air kepada ibu yang berpantang sehingga ‘menyeksa’ mereka yang kehausan. Air sebenarnya sangat penting bagi sistem tubuh, apatah lagi buat si ibu yang baru melahirkan anak.

Kadar 8 gelas sehari air adalah memadai untuk ibu berpantang mendapat bekalan air yang mencukupi. Sistem tubuh badan amat memerlukan air yang mencukupi untuk beroperasi dengan baik dan kembali kepada rutin sebelum melahirkan anak. Bagi ibu yang menyusukan anak, air yang mencukupi dalam tubuh juga amatlah mustahak supaya tidak ‘menyeksa’ para ibu ini.

Buah-buahan Segar dan Sayuran Hijau

Imej via Bidadari

Kajian lepas juga melaporkan peningkatan kesihatan sebanyak 80% bagi ibu berpantang yang mengamalkan diet buah segar dan sayuran hijau. Didapati, keradangan dan tekanan oksidatif di peringkat sel adalah berkurangan dengan kehadiran antioksidan yang tinggi dalam buah dan sayuran.

Lokasi negara kita yang merupakan zon tropical adalah sangat ideal dengan tumbuhan buah-buahan dan sayuran yang pelbagai. Tambahan pula, buah-buahan yang diimport masih mengekalkan kesegaran dan kualiti masing-masing. Antara pilihan buah-buahan dan sayuran yang boleh diamalkan ibu berpantang ialah:

  • Epal
  • Pisang
  • Betik
  • Jambu batu
  • Anggur
  • Strawberi
  • Tembikai
  • Tomato
  • Sawi
  • Bayam
  • Kale
  • Timun
  • Salad

Makanan yang Perlu Dielak oleh Ibu Berpantang

Sekumpulan penyelidik di King’s College London telah mengkaji hubungan antara pengambilan diet tidak sihat dan kesannya ke atas kesihatan mental ibu yang sedang berpantang. Antara kesan negatif diet makanan berpantang yang tidak sihat adalah seperti kemurungan atau masyarakat kita panggil ‘meroyan’, tekanan jiwa dan ikatan hubungan yang berkurangan dengan anak. Hal ini menunjukkan bahawa diet makanan ibu yang sedang berpantang adalah amat penting bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan diri mereka.

Antara makanan tidak sihat dan tidak digalakkan diambil oleh ibu yang sedang berpantang ialah:

  • Hiperkalorik atau kalori tinggi
  • Makanan yang disediakan secara minyak berlebihan, terlampau berlemak
  • Tinggi gula dan garam

Kesimpulan

Tempoh berpantang merupakan suatu tempoh yang agak mencabar kerana si ibu baru sahaja lepas melalui fasa mengandung dan melahirkan anak yang agak esktrim. Sokongan daripada pelbagai pihak adalah amat penting bagi memastikan kesihatan si ibu dan si anak sentiasa berada di tahap yang optimum.

Pengambilan diet yang sihat untuk ibu berpantang ini bukan sahaja penting untuk penyembuhan luka si ibu tetapi juga untuk jangka masa panjang dan kesejahteraan si anak.

Artikel menarik lain:

Rujukan

  • Pina-Camacho, L., Jensen, S. K., Gaysina, D., & Barker, E. D. (2015). Maternal depression symptoms, unhealthy diet and child emotional-behavioural dysregulation. Psychological Medicine45(9), 1851.(link)
  • Tahir, M. J., Haapala, J. L., Foster, L. P., Duncan, K. M., Teague, A. M., Kharbanda, E. O., … & Demerath, E. W. (2019). Higher maternal diet quality during pregnancy and lactation is associated with lower infant weight-for-length, body fat percent, and fat mass in early postnatal life. Nutrients11(3), 632. (link)
  • Vickers, M. H., Breier, B. H., McCarthy, D., & Gluckman, P. D. (2003). Sedentary behavior during postnatal life is determined by the prenatal environment and exacerbated by postnatal hypercaloric nutrition. American Journal of Physiology-Regulatory, Integrative and Comparative Physiology285(1), R271-R273. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.