Israk Mikraj berlaku setahun sebelum Rasulullah ﷺ  berhijrah ke Madinah. Israk Mikraj terbahagi kepada 2 fasa iaitu Israk yang bermaksud dibawa berjalan dimana Rasulullah ﷺ menaiki Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Manakala Mikraj bermaksud diangkat  keatas iaitu perjalanan Rasulullah ﷺ  dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha yang terletak di langit yang ketujuh. Peristiwa Israk Mikraj diraikan oleh umat islam pada tarikh 27 Rejab setiap tahun.

israk mikraj

Sumber: Encikshino

Kejadian sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah ﷺ mengalami kemurungan yang amat sangat akibat kematian Abu Talib & Siti Khatijah. Lalu Rasulullah ﷺ membawa diri ke Taif kemudian pulang semula ke Mekah. Dakwah Rasulullah ﷺ juga terganggu akibat kemurungan yang baginda alami.

Lalu Allah memerintahkan Malaikat Jibrail untuk membawa Rasulullah ﷺ melalui Israk & Mikraj. Sebelum dibawa berjalan, Malaikat Jibrail & Malaikat Mikail membedah dada Rasulullah ﷺ dimana ketulah hitam dikeluarkan dari hati baginda lalu dibersihkan dengan air zam-zam.

Kemudian kedua-dua malaikat tadi memasukkan ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah ﷺ semula serta dimeteri dengan “khatimin nubuwwah”.  Selesai pembedahan, seekor binatang bernama Buraq datang membawa nabi melalui Israk sambil diiringi oleh Malaikat Jibrail.

Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa

Dalam perjalanan ke Masjidil Aqsa, Rasulullah ﷺ telah diarahkan untuk solat 2 rakaat Madinah, Bukit Tursina, dan  Baitul-Laham iaitu tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan. Terdapat pelbagai peristiwa ajaib yang disaksikan oleh RAsulullah. Di antaranya ialah:

  • Rasulullah ﷺ diganggu oleh Jin Ifrit dengan api jamung.
  • Rasulullah ﷺ melihat kaum yang sedang bercucuk-tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil yang bar uterus keluar dari pokok tanpa perlu menunggu. Perkara tersebut disaksikan oleh Rasulullah ﷺberulang-ulang. Malaikat Jibrail memberitahu RAsulullah ﷺ bahawa mereka adalah kaum yang berjihad ke jalan Allah. Allah menggandakan pahala kebajikan mereka sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Rasulullah ﷺ melalui kawasan yang sangat harum dan wangi. Rasulullah ﷺ diberitahu oleh Jibrail bahawa bau harum tersebut datang dari kubur Masyitah iaitu tukang sikat rambut anak Fir’aun.
  • Rasulullah melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala sendiri. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan sembuh kembali, lalu dipecahkan semula. Ia berlaku berulang-kali. Malaikat Jibrail memberitahu Rasulullah ﷺ bahawa itulah kumpulan manusia yang berat kepala untuk bersujud menunaikan solat kepada Allah.
  • Rasulullah ﷺ melihat sekumpulan manusia yang berbogel dengan hanya kemaluan mereka ditutup dengan kain yang kecil. Mereka dihalau ke sana-ke sini seperti seperti binatang ternakan yang sedang digembala. Mereka diberi makan bara api dan batu dari neraka. Kata Malaikat Jibrail, mereka adalah manusia yang tidak mengeluarkan zakar harta.
  • Rasulullah ﷺ melihat satu kumpulan manusia yang sedang makan daging mentah dan busuk sedangkan daging masak yang elok dan cantik ada di sisi mereka. Kata Malaikat Jibrail, mereka adalah manusia yang berzina sedangkan ada suami & isteri yang halal.
  • Rasulullah ﷺ melihat lelaki yang sedang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Malaikat Jibrail, mereka adalah orang yang makan riba.
  • Rasulullah ﷺ melihat lelaki yang mengumpulkan kayu dengan banyak hingga dia tak mampu untuk memikulnya namun masih ditambah lagi kayu yang lain. Kata Malaikat Jibrail, itu adalah manusia yang tidak mampu untuk menunaikan amanah namun masih menerima amanah yang baru.
  • Rasulullah ﷺ melihat sekumpulan manusia yang menggunting bibir & lidah mereka sendiri. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka akan tumbuh semula.  Kata Malaikat Jibrail, itu adalah manusia yang suka menfitnah dan tidak berkata benar.
  • Rasulullah ﷺ melihat kaum yang mencakar muka dan dada sendiri dengan kuku tembaga mereka. Kata Malaikat Jibrail, mereka adalah manusia yang mengumpat, menjatuhkan maruah, mencela, dan menghina orang lain.
  • Rasulullah ﷺ melihat seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sangat sempit. Lembu tadi cuba untuk masuk semula ke dalam lubang tersebut namun gagal. Kata Malaikat Jibrail, itulah manusia yang suka bercakap besar lalu menyesal namun sudah terlambat.
  • Rasulullah melihat seorang wanita membawa sebuah dulang yang penuh dengan perhiasan namun tidak dipedulikan oleh Rasulullah ﷺ. Kata Malaikat Jibrail, itulah dunia. Jika Rasulullah tertarik kepadanya, semua umat manusia akan melebihkan dunia daripada akhirat.
  • Rasulullah ﷺ melihat seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ berhenti namun tidak dihiraukan oleh baginda. Kata Malaikat Jibrail, itulah manusia yang mensia-siakan hidupnya sehingga tua.
  • Rasulullah ﷺ melihat seorang perempuan bongkok tiga menahan baginda untuk bertanyakan sesuatu. Kata Malaikat Jibrail, itulah gambaran usia bumi yang sangat tua dan menunggu masa untuk kiamat.
israk mikraj

Sumber: Kumparan

Semasa di Masjidil Aqsa

Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah ﷺ turun dari Buraq, masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat. Rasulullahﷺ berasa dahaga lalu Malaikat Jibrail membawa 2 bekas kepada baginda. Satu bekas berisi arak manakala satu lagi berisi susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu minum. Kata Malaikat Jibrail, Rasulullah ﷺ membuat pilihan yang tepat. Jika baginda memilih arak, nescaya seluruh umat islam akan sesat.

Perjalanan Mikraj

Semasa Mikraj, Rasulullah dibawa naik ke Hadhratul-Qudus untuk menemui Allah. Di sini Rasulullah ﷺ dan Malaikat Jibrail menaiki tangga syurga yang indah.

  • Di Tangga Pertama.

Rasulullah ﷺ dan Malaikat Jibrail masuk ke langit pertama dan berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Rasulullah melihat hukuman bagi mereka yang makan riba  dan mengambil harta anak yatim. Rasulullah melihat penzina lelaki bergantung pada payudara penzina perempuan.

  • Di Tangga Kedua.

Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

  • Di Tangga Ketiga.

Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

  • Di Tangga Keempat.

Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Idris A.S.

  • Di Tangga Kelima.

Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Harun A.S.

  • Di Tangga Keenam.

Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ melihat  70,000 umatnya yang masuk syurga tanpa hisab.

  • Di Tangga Ketujuh.

Rasulullah ﷺ bertemu Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur menghadap kaumnya. Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumpa dengan Allah سبحانه وتعالىpada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:

“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”

Rasulullah ﷺ dan Malaikat Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat.

israk mikraj

Sumber: Slideshare

  • Di Tangga Kelapan.

Tangga kelapan dikenali sebagai “al-Kursi” di mana terletaknya dahan dari pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺ menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok tersebut. Di antaranya ialah:

  1. Sungai air yang tak berubah
  2. Sungai susu
  3. Sungai arak dan sungai madu lebah
  4. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah
  5. Unggas-unggas emas berterbangan bebas keriangan
  6. Sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga

Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

  • Di Tangga Kesembilan.

Tangga kesembilan terletak di pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺmasuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Rasulullah ﷺ melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

  • Di Tangga Kesepuluh.

Rasulullah ﷺ sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat berjumpa Allah. Rasulullah terus sujud dan berlakulah dialog antara Allah dan Rasulullah ﷺ.

Allah: “Ya Muhammad!”

Nabi Muhammad ﷺ: “Labbaika.”

Allah: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”

Nabi Muhammad ﷺ : “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi.

Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”

Allah: “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu.

Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy.

Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji² Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”

Rasulullah bertemu Nabi Ibrahim & Nabi Musa

Selepas selesai munajat, Rasulullah ﷺ dibawa menemui Nabi Ibrahim A. S. & Nabi Musa A.S. Kedua-dua nabi tersebut menyuruh Rasulullah ﷺ merayu supaya jumlah solat dikurangkan.  Selepas sembilan kali merayu, akhirnya Allah memfardhukan solat lima waktu sehari semalam.

israk mikraj

Sumber: Iluminasi

Selepas Mikraj

Rasulullah ﷺ menunggang Buraq dan pulang semula ke Mekah.  Semua peristiwa Israk Mikraj berlaku dalam satu malam sahaja. Ia adalah bukti kebesaran Allah & merupakan salah satu daripada tanda kenabian Rasulullah ﷺ. Peristiwa Israk Mikraj seharusnya dijadikan sebagai iktibar kepada kita semua supaya menjauhkan diri daripada dosa.

Sumber: Shafiqolbu

Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai solat taubat, solat tahajud dan solat dhuha.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.