Mari bersama ketahui apakah peristiwa penting dalam Islam yang berlaku pada bulan Syawal.

Bulan Syawal bukan sahaja istimewa kerana sambutan hari raya Aidilfitri, iaitu hari untuk umat Islam meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Dalam kesyukuran dan keseronokan meraikan Aidilfitri, harus diketahui bahawa terdapat banyak peristiwa yang terakam dalam sejarah Islam sepanjang bulan Syawal.

Jadi, dalam meraikan kemuliaan Syawal dengan lebaran, sebaiknya kenangkan juga beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam, untuk mengambil pengajaran dan  iktibar daripadanya.

Antara peristiwa tersebut adalah:

1. Perang Uhud

Peperangan Uhud berlaku pada 15 Syawal tahun ke-3H. Perang ini berlaku rentetan rasa tidak puas hati dan dendam kaum kafir Quraisy yang kalah dalam Perang Badar setahun sebelumnya.

Pada awal perjalanan ke Bukit Uhud untuk berperang, terdapat 1,000 tentera Islam mengikuti pimpinan Rasulullah SAW. Namun, selepas dihasut oleh Abdullah bin Ubai, 300 orang telah berpaling tadah dan tidak menyertai peperangan.

Lalu, tinggallah 700 orang yang menentang 3,000 tentera Quraisy. Dalam peperangan ini telah memperlihat kekalahan pasukan Islam lantaran lalai dengan pesanan Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan tempat memanah.

Ketika itu, Khalid al-Walid yang belum lagi memeluk Islam bertindak berpatah balik dan menyerang pasukan Islam sehingga ramai yang gugur, termasuklah bapa saudara Baginda  Nabi, Hamzah bin Abdul Mutalib.  

2. Perang Khandaq

Perang Khandaq juga dikenali sebagai Perang Ahzab berlaku pada bulan Syawal sehingga tiba bulan Zulkaedah tahun ke-5H.

Perang Khandaq menjadi pertempuran terbesar dalam bulan Syawal, dengan jumlah tentera kafir ketika itu seramai 10,000 orang berbanding 3,000 tentera Islam. Namun pasukan Islam tetap memenangi peperangan itu dengan bantuan Allah SWT, yang menurunkan ribut kencang sehingga semua musuh bertempiaran lari.

Dalam perang itu juga, pasukan Islam yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah telah menggali parit (sebab itulah dinamakan sebagai ‘Perang Khandaq’) bagi mempertahankan kota Madinah. Cadangan itu dikemukakan oleh Salman al-Farisi.

3. Perang Bani Sulaim

Peperangan Bani Sulaim atau Perang Al-Kudr melibatkan pasukan Islam dengan tentera Bani Sulaim di Qarqarah Al-Kudr pada bulan Syawal tahun ke-2 H. Pada awalnya terdapat khabar bahawa bani Bani Salim dan Bani Ghatafan akan melancarkan peperangan ke kota Madinah, lalu pasukan Islam bertindak terlebih dahulu mengawal serangan tersebut.

Pasukan Islam pimpian Baginda Rasulullah seramai 200 orang memenangi peperangn ini apabila pasukan Bani Salim dan Bani Ghatafan melarikan diri sebelum pasukan muslimin tiba di wilayah mereka.

4. Perang Bani Qainuqah

Peperangan ini bermula daripada sikap bani Yahudi yang meremeh dan tidak menghormati umat Islam. Bermula dari pergaduhan dan pembunuhan seorang lelaki Yahudi oleh lelaki muslim kerana telah menggangu seorang wanita muslimah. Namun akhirnya lelaki muslim itu pula dibunuh oleh sekumpulan Yahudi lain. Sehingga akhirnya berita ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW.

Baginda mengambil tindakan tegas dengan mengumpulkan pasukan Islam dan mengisytiharkan peperangan dengan Bani Qainuqa dan mengepung mereka selama 15 hari dalam bulan Syawal sehingga tiba bulan Zulkaedah. Akhirnya Bani Qunaiqa takut dan menyerah kalah. Mereka akur dengan keputusan Rasulullah SAW.

Abdullah bin Ubay yang munafik memohon Nabi Muhammad agar tidak membunuh mereka. Namun mereka diusir dari kota Madinah dan Baginda menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Ka’ab bin Al’Asyraf iaitu seorang Yahudi yang sangat membenci Islam dan memporakperandakan masyarakat Madinah.

5. Perang Hunain

Perang Hunain berlaku pada bulan Syawal tahun 8H di Lembah Hunain, iaitu sebuah lembah yang menghubungkan kota Mekah dan Taif. Sebab itulah ia disebut sebagai ‘Perang Hunain’

Perang Hunain merupakan pertempuran antara pasukan Islam dengan Suku Hawazin dan Tsaqif.

Dalam peperangan itu pasukan Islam melebihi bilangan musuh dengan 12,000 orang berbanding 10,000 tentera, sehingga Islam berjaya memenangi peperangan tersebut.

Sebenarnya Perang ini berlaku rentetan daripada pembebasan kota Mekah, yang membuatkan banyak kaum Arab memeluk Islam dan beratus berhala dihancurkan. Namun terdapat dua kabilah Badwi yang belum tunduk dengan Islam, iaitu suku Hawazin dan Tsaqif. Mereka ingin bertindak menyerang pasukan Nabi dahulu sebelum diperangi dan ingin mempertahankan agama dan sembahan mereka.

6. Perang Taif

Perang Taif ini berlaku pada Syawal tahun ke-8H bersamaan 630 M, iaitu selepas berlakunya  Perang Hunain. Perang ini berlaku rentetan daripada saki baki pasukan Quraisy yang lari dari Perang Hunain dan menyembunyikan diri dalam kubu mereka di Taif.

Lalu pasukan Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW mengejar dan mengepung mereka selama lebih 20 malam. Namun kubu mereka yang kukuh telah menyukarkan pasukan Islam menembusinya.

Lalu Rasulullah SAW menggunakan kebijaksaannya dengan menyekat seluruh kawasan di wilayah Taif. Sehingga akhirnya penduduk Taif menyerah kalah dan tunduk dengan Islam.

Penutup: Begitu Banyak Peristiwa Penting Dalam Bulan Syawal Yang Tidak Disedari

Keseronokan dan keasyikan menyambut Aidilfitri dalam bulan Syawal hampir menutup ingatan dan pengetahuan terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam lipatan sejarah Islam terdahulu.

Sebagai muslim, hal sedemikian seharusnya sentiasa diingati untuk diambil pengajaran; bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat berjuang bermatian dalam menegakkan Islam tidak kira pada bila-bila masa pun.

Sebab itu sebagai muslim hari ini, bukannya berhari raya selama sebulan sahaja, tetapi  diambil tahulah akan peristiwa penting dalam Islam selama bulan Syawal ini. Semoga ibrahnya tertempias kepada umat muslim seluruhnya.

Bacaan lain:

Rujukan:

  1. Malayadaily.com
  2. Sang Yatim Janji dan Kemenangan Yang Dijanjikan,  Prof Dr Muhammad Sameh Said
  3. Maktabahalbakri

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.