Mengapa malu itu penting? Dan kenapa seseorang wanita itu harus mempunyai sifat malu? Mari kita pelajari bersama.

Malu adalah satu perasaan yang berasa aib atau tidak selesa untuk melakukan sesuatu yang buruk kerana tidak mahu dihina. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malu adalah aib, hina, rendah diri atau  tidak senang kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan.

Semua  manusia yang mempunyai akal fikiran yang sihat seharusnya mempunyai rasa malu, iaitu had dalam melakukan sesuatu perkara agar tidak terlanjur atau melampaui batasan norma manusia.

Boleh disimpulkan bahawa malu itu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang buruk lantaran takut akan celaan dari orang lain. Malu juga salah satu sifat terpuji dan mulia yang menghalang seseorang itu melakukan keburukan atau dosa.

Sejajar dengan ajaran Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai  panduan hidup yang lengkap, untuk umat manusia melengkapkan diri dengan nilai-nilai kebaikan dan akhlak yang mulia.

Salah satu akhlak yang penting sebagai teras ajaran Islam ialah perasaan malu atau dalam bahasa Arab disebut ‘al-haya’. Dengan ‘malu’ inilah membezakan kualiti takwa seseorang muslim itu. Bahkan diumpamakan seperti perhiasan, khasnya kepada golongan wanita.

Dalam al-Quran juga, Allah SWT juga menyebutkannya melalui kisah anak Nabi Syuaib yang pemalu. Iaitu melalui peristiwa Nabi Musa yang membantu dua anak gadis Nabi Syuaib mengambil air di telaga yang dipenuhi dengan para lelaki.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Kemudian salah seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternakan kami.”

(al-Qasas: 25)

Malu mempunyai banyak keutamannya, dan begitu penting untuk semua orang memilik sifat malu ini. Berikut beberapa kepentingan malu itu;

1. Malu Tanda Keimanan

Sifat malu akan mengukuhkan lagi akidah dan ibadah seorang muslim.

Rasulullah SAW turut menegaskan hal ini bahawa iman dan malu itu adalah seiringan.

“Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.”

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Secara logiknya juga seseorang yang beriman sudah pasti akan menjaga maruah dan perlakuannya. Iaitu berasa malu untuk melakuan sesutu yang mengaibkan atau yang mendetangkan kemurkaan Allah SWT.

Jelaslah semakin tinggi iman seseorang itu, semakin tinggilah malunya. Inilah yang membantunya untuk mencegah dari hal dilarang agama.

Tepat dengan sabda Baginda Rasulullah SAW;

“Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Mengelak Keburukan

Sifat malu akan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang mengaibkan. Orang yang mempunyai sifat malu pasti tidak akan melakukan dosa dan maksiat, selain malu untuk meninggalkan perintah Allah yang lain.

Bagi mereka walaupun tidak ada sesiapa yang nampak, tetapi Allah SWT selalu ada dan sentiasa mengetahui semua yang dilakukan.

Sebab itulah malu akan dapat mendorong mencegah keburukan yang dibenci atau tercela. Tanpa rasa malu sudah tentu seseorang itu bebas dan tidak segan berbuat keaiban terhadap  dirinya dan agama.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya antara perkara yang telah diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

3. Elak Berlakunya Maksiat

Sesuatu perkara mungkar selalunya berlaku apabila tidak ada rasa malu dalam diri sendiri. Tambahan pada hari ini kemodenan dan keterbukaan dalam media sosial menjadikan umat Islam semakin hilang rasa malu dalam berlumba menonjolkan keaiban diri.

Bahkan secaraa terang terangan dan terbuka menonolkan maskiat kepada khalayak. Bahkan ada yang melakukan maksiat tanpa berselindung. Begitulah jika sifat malu itu tidak dipupuk dari awal.

Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan umat Baginda tentang larangan membuka aib diri sendiri apabila Allah SWT telah menutupnya.  Daripada Abu Hurairah Baginda bersabda:

“Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam bermaksiat (kerana hilang sifat malu). Iaitu seseorang yang telah berbuat dosa di malam hari lintas di pagi harinya ia berkata bahawa ia telah berbuat dosa ini dan itu padahal Allah telah menutupi dosanya. Pada malam harinya, Allah telah menutupi aibnya, namun di pagi harinya ia membuka sendiri aib yang telah Allah tutupi.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Sifat Malu Adalah Fitrah Wanita

Sifat malu juga adalah sebahagian daripada fitrah wanita. Ini akan menggalakkan seseorang wanita itu menjaga maruah dan kehormatan diri, termasuklah menghindarkan diri daripada perkara yang dimurkai Allah. Malu adalah perisai yang membuatkan seseorang wanita itu memelihara batas pergaulan dan agama dengan sebaiknya.

Namun begitu, malu bukan sahaja untuk kaum wanita malah kaum lelaki juga wajib memiliki perasaan malu dalam diri. Kerana dengan malu inilah mebantu mengejar reda Ilahi dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya.

Malu adalah bagian dari iman, sedang iman tempatnya di Surga. Sedangkan perkataan kotor adalah bagian dari tabiat kasar, dan tabiat kasar tempatnya di Neraka.”

 (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

5. Malu Itu Kunci Kebaikan 

Rasulullah SAW bersabda;

Semua malu itu adalah baik.

(Hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya sifat malu itu mendatangkan kebaikan kepada pemiliknya. Ini kerana sesiapa yang memiliki sifat malu terhadap Allah SWT akan meninggalkan larangan-Nya dan melakukan perintah-Nya. Bahkan orang yang memiliki sifat malu terhadap manusia akan menahan diri daripada melakukan penganiayaan, kezaliman dan semua keburukan sesama manusia.

Sebab itulah, kunci semua kebaikan adalah apabila sifat malu yang tinggi dalam diri. Sifat malu akan melemahkan semua sikap buruk.

“Sifat malu itu tidak akan datang melainkan dengan perkara-perkara yang baik.”

(Hadith Riwayat Bukhari)

6. Malu Sebahagian Dari Sunah

Malu bukan sahaja sifat terpuji tetapi akhlak yang disunnahkan. Rasulullah SAW seorang yang pemalu dan sangat menganjurkan agar umatnya turut menjaga sifat malu.

Malu Baginda SAW melebihi malunya seorang anak gadis. Abu Said al-Khudri berkata,

“Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan lebih malu berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya. Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai umat dan pengikutnya, haruslah mengikuti sifat Baginda yang pemalu dan terpuji ini.

Penutup: Malu Adalah Akhlak Para Nabi

Sifat malu adalah penanda bahwa hidupnya hati. Dengan sifat ini juga yang menghantarkan kita ke syurga atau neraka kelak.

Dalam seorang ulama berkata;

“Malu adalah bagian dari hidup. Kerana hati yang hidup dapat menghadirkan sifat malu. Sebaliknya, sedikitnya rasa malu akibat dari hati dan jiwa yang diganti.”

(Al-mausu’ah al-Fiqhiyah)

Sewajarnya kita memiliki sifat malu itu. Bukanya malu atas sebab kekuarangan dan kelemahan diri, tetapi tanda iman dan takwa kepada Allah SWT.

Tanpa malu pasti syariat dan maruah diri tergadai. Tanpa malu juga semakin terhakislah keperibadian umat Islam yang sejati.

Rujukan:

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.