Apakah kelebihan membaca surah Yassin? Mari ketahui bersama-sama.
‘Yassin’; merupakan surah ke-36 yang terdapat dalam al-Quran dan. Surah yang mempunyai 83 ayat ini dimulakan dengan dua abjad; ‘Ya’ dan ‘Sin’.
Yassin juga merupakan salah satu surah Makkiyah, iaitu surah diturunkan di Makkah ketika awal dakwah Nabi Muhammad SAW. Pada waktu itu Baginda menghadapi tentangan hebat dari masyarakat Quraisy yang teguh berpegang kepada penyembahan berhala dan kepercayaan banyak tuhan.
Allah SWT menurunkan surah ini sebagai memperkuat iman umat Islam ketika itu agar terus bersama dengan perjuangan Rasulullah SAW.
Ini kerana kandungan surah ini adalah tentang keesaan Allah, hari kebangkitan, dan balasan di akhirat yang bertujuan untuk mengukuhkan keimanan dan menggalakkan umat Islam sentiasa beramal soleh .
Seperti membaca ayat-ayat al-Quran yang lain, membaca surah Yassin juga adalah satu ibadah dan mendapat ganjaran pahala.
Walaupun tedapat banyak hadis dhaif (lemah) atau palsu berkaitan dengan kelebihan surah Yasin, namun umat muslim sangatlah dituntut untuk melazimi membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membaca satu huruf dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Sebelum membaca surah Yasin, digalakkan untuk melafazkan bacaan-bacaan seperti:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الْمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ أَحْيِنَا بِالْإِيْمَانِ، وَأَمِتْنَا بِالْإِيْمَانِ، وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْإِيْمَانِ، اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صَغِيرًا، اللهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ، رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءٍ الْخَاتِمَةِ، رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ، رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
“Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, pujian yang memadai dan menyamai akan pertambahan segala nikmatNya. Wahai Tuhan kami, untukMu segala puji sebagaimana layak kebesaran dan kehebatan kekuasaanMu. Ya Allah, kami pohon selawat dan salamMu ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga serta sahabat Baginda semuanya. Ya Allah, dengan keberkatan Surah Yasin dan kitab Al-Quran yang penuh hikmat dan sesiapa yang Engkau pilih untuk membawa risalah, kenabian, penolong dan petunjuk hingga Sirat al-MustaqimMu. Dengan kitab Al-Quran yang dibawa oleh Malaikat Jibril, dan dengan kekuatan huruf-huruf dan nama-nama yang sempurna yang Engkau miliki dan dengan apa yang Engkau perjelaskan dalam Al-Quran tentang kewujudan setiap tanda-tanda yang menunjukkan (kewujudanNya), dan dengan limpah kurniaMu dapat menghilangkan keluh kesah dan dapat menyelesaikan beban hutang. Wahai Tuhan yang mengendalikan pergerakan laut dan matahari, Wahai Tuhan yang menjadikan khazanahNya di antara huruf kaf dan nun, Tuhan yang Maha Mengetahui sebelum dan selepas sesuatu keadaan. Kami memohon kepadaMu Ya Allah agar membuka ruang keredhaanMu, jadikanlah kami bersatu padu memuji dan memuja kekayaanMu agar Engkau permudahkan segala kehendak dan permintaan kami. Engkau jadikanlah keredhaanMu sebagai teman hidup kami dan dengan limpah kebesaranMu Engkau tunaikan permintaan kami secepat mungkin, perkenanlah doa kami Ya Allah dan benarkanlah harapan kami disisiMu dan masukkanlah kami ke dalam rahsia firmanMu.
Sesungguhnya pekerjaanMu apabila mengkehendaki sesuatu hanya dengan berkata: Jadi, maka jadilah ia.Maha Suci Tuhan yang menguasai setiap sesuatu dan kepadaNyalah Kembali semuanya. Maha Suci Tuhan yang dapat menghapuskan segala dukacita, Maha Suci Tuhan yang dapat menghilangkan kesusahan dan Maha Suci Tuhan yang dapat menyelesaikan beban hutang dan Maha Suci Tuhan yang kerjaNya apabila menghendaki sesuatu hanya dengan berkata: Jadilah, maka jadilah. Wahai Tuhan yang menghilangkan dukacita, hilangkan, hilangkan. Ya Tuhan yang menghilangkan dukacita. Wahai yang menghilangkan, hilangkanlah, Wahai yang menghilangkan, hilangkanlah, hilangkanlah dari kami dukacita. Wahai Tuhan Yang Hidup, Yang Kekal dan Yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.Dan Allah telah beri rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Dan segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam.”
Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan dan fadhilat membaca Surah Yassin. Berikut adalah antara manfaat dan faedah membaca surah ini:
Allah SWT akan memberikan keampunan atas segala dosa kepada sesiapa yang melazimi membaca surah ini.
Jundub R.A. berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca surah Yassin dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredhaan Allah nescaya akan diampunkan dosanya.”
(Hadis Riwayat Malik, Ibnus-Sunni dan Ibnu Hibban)
Daripada Ma’qal bin Yaasar RA bahawasanya Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Hati al-Quran ialah surah Yasin, tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya dan bacalah surah Yasin kepada mereka yang hampir mati dan selepas mati.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai)
Surah Yassin juga merupakan surah yang sesuai untuk dibaca ketika seseorang itu sedang berada dalam keadaan nazak atau menghampiri waktu sakaral.
Surah Yassin dipercayai sebagai permintaan kepada Allah agar dimudahkan kematian dan mengurangkan siksa roh ditarik yang begitu menyakitkan dan dapat mengadap Allah dalam keadaan husnul khotimah.
Daripada Ma’qal bin Yasar berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Bacalah ia pada orang yang mati di kalangan kamu – yakni surah Yassin.”
Sehingga hari ini, surah Yassin menjadi kelaziman jika terdapat kematian.
Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang membaca surah Yassin, iaitu pahala berlipat kali ganda seolah-olah telah membaca al-Quran sebanyak 10 kali.
Dari Anas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca surah Yasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai 10 kali membaca seluruh al-Quran.”
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Surah Yasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan ‘Al-Muimmah’ (yang menyelubungi) pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat dan yang menanggung segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan juga sebagai perisai dan penunai hajat, yang melindungi pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan.”
(Hadis Riwayat Said bin Mansur dan al-Baihaqi dari Hasan bin Aziah)
Surah Yassin juga sesuai dibaca untuk memohon hajat dan permintaan kepada Allah SWT.
Apatah lagi bagi golongan penuntut ilmu yang mahukan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, para pekerja yang inginkan kenaikan pangkat, dimudahkan urusan seharian dan sebagainya.
Mohonlah pada Allah dengan bersungguh-sungguh dan lazimi bacaan Yassin agar Allah menunaikan permintaan dan hajat. Selebihnya berserah kepada Allah SWT. Bacaan Yassin hanyalah sebagai ikhtiar dan izin Allah SWT.
Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran mengandungi mukjizat yang mampu untuk melembutkan hati bagi sesiapa yang membaca dan mendengarnya.
Daripada Abi Ja’far Muhammad bin Ali berkata:
“Barangsiapa yang mendepati hatinya keras, maka tulislah ayat ‘Walqurani Yassin’ di dalam bekas perak yang dicampur dengan Za’faran, kemudian minumlah airnya.”
Ayat-ayat al-Quran adalah pelindung kepada umat muslim. Namun surah Yassin sering emnjadi baan dalam perubatan Islam atau sebagai surah penawar bagi mengubati penyakit.
Surah yassin juga sebagai perisai dan ikhtiar dalam menjaga diri dan mengelakkan dari sebarang keburukan dan malapetaka.
Surah Yassin merupakan surah-surah yang terpenting, bukan sahaja dituntut untuk membacanya, sebaiknya diamalkan secara kerap. Bahkan umat muslim juga sangat digalakkan untuk menghafaznya.
Semoga dengan keberkatan ayat al-Quran dapat menjadikan kita semua sebaik-baik muslim.