Jom kenali penyakit HMFD.
HFMD adalah singkatan bagi Hand, Foot and Mouth Disease (Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut). HFMD terjadi disebabkan oleh virus kumpulan enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV71) dan biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.
Kebiasaannya, penyakit ini akan surut dalam masa 1 minggu, mungkin kurang atau lebih. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya beransur hilang pada hari ketiga atau keempat. Namun, ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga ketujuh, manakala lepuh dan bintik-bintik merah di tangan dan kaki akan biasanya mengambil masa untuk hilang dalam tempoh 10 hari.
Penularan penyakit/virus HFMD adalah melalui sentuhan. Sama ada sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti, atau sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.
Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti:
Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.
Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa demam disebabkan virus. Air garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam) boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.
Rawatan untuk mengurangkan gejala HFMD adalah dengan menjada kebersihan diri dan persekitaran. Kuarantinkan anak yang terkena jangkitan dan jauhi tempat-tempat awam. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.
#1 Kawal Suhu Badan Anak
Anak yang terkena jangkitan HFMD akan mengalami demam ringan. Namun, penting untuk ibu bapa mengawal suhu badan anak. Sekiranya demam anak melarat, segera ke klinik atau hospital untuk dapatkan rawatan lanjut.
#2 Jaga Makan Minum Anak
Ulser yang berada di tekak, lidah dan mulut anak akan menyebabkan mereka tidak selera makan. Malah ada sesetengah bayi yang menolak untuk minum susu kerana terasa sakit di bahagian mulut. Pastikan anak tidak terdehidrasi. Jika anak langsung tidak mahu makan dan minum, kemungkinan anak anda akan mengalami dehidrasi dan perlu masuk air di hospital.
#3 Ambil Cuti Kuarantin
Bagi ibu bapa yang bekerja kerajaan, anda layak memohon Cuti Kuarantin (Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016) untuk menjaga anak anda yang perlu dikuarantin. Namun, bagi pekerja swasta, anda boleh memohon cuti tahunan atau perlukan budi bicara majikan agar anda dapat menjaga anak anda di rumah.
Ini kerana, anak yang terkena jangkitan HFMD perlu kuarantin dan tidak boleh di hantar ke pusat jagaan kerana bimbang ia menularkan jangkitan tersebut kepada anak asuhan yang lain.
Walaupun pihak pengamal perubatan mengatakan tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan HFMD, namun anda boleh berusaha kaedah yang sesuai untuk mempercepatkan penyembuhan. Antaranya:
1) Aiskrim & Makanan Sejuk
Kebiasaannya, anak yang mengalami ulser di mulut akan menolak makanan dan minuman kerana terasa perit. Anda boleh cuba berikan aiskrim lembut atau puding kerana ia mampu memberi kelegaan kepada anak. Anda boleh membuat sendiri aiskrim tanpa gula dengan menggunakan buah-buahan yang dicampur dengan susu ibu atau susu segar. Anda juga boleh berikan anak anda susu ibu atau susu segar yang telah disejukkan untuk anak anda minum.
2) Air Kelapa Muda
Air kelapa muda sememangnya petua yang diajarkan oleh orang tua-tua untuk menurunkan suhu demam. Berikan air kelapa muda yang segar kepada anak anda. Elakkan menambah gula. Sebagai alternatif, boleh juga memberi air barli. Ia mengandungi antioksidan yang melawan virus, sekaligus membantu menurunkan suhu demam anak.
3) Buah-Buahan & Jus
Selain air kelapa, anda juga boleh berikan jus buah-buahan yang lain seperti oren atau epal yang kaya dengan vitamin C. Kalau jus tersebut disejukkan adalah lebih baik. Ini kerana, lebih mudah untuk anak minum. Dan lebih bertambah baik jika elakkan gula dalam jus tersebut. Buah-buahan itu sendiri sudah mengandungi gula dan boleh memberi tenaga kepada anak.
4) Sup atau Bubur Ayam
Sup dan bubur ayam adalah antara makanan yang paling mudah diterima oleh anak-anak ketika tidak sihat. Pastikan anda melebihkan bahan yang bersifat antiviral seperti bawang putih dan sayuran seperti lobak merah ke dalam sup dan bubur tersebut.
5) Sabun Anti-Bakteria
Mandikan anak dengan sabun anti-bakteria seperti Lifebouy, Dettol atau Protect. Mandikan anak dengan kerap. Selain daripada dapat membersihkan anak, mandi juga membantu menurunkan suhu demam anak.
6) Pencuci Lantai Anti-Bakteria
Bersih dan mop lantai di rumah anda setiap hari dengan pencuci lantai anti-bakteria. Persekitaran yang bersih dapat mengelakkan virus ini terus menular.
7) Sapukan Losyen Pada Ruam
Sapukan losyen yang bersesuaian atau Calamine Zinc Oxide + Menthol agar anak kurang rasa gatal-gatal. Bila anak rasa kurang gatal, mereka tidak akan kerap menggaru ruam-ruam tersebut.
8) Sembur Ubat Pada Ulser
Semburkan ubat semburan yang sesuai pada ulser yang terdapat dalam mulut anak. Anda boleh gunakan AftaMed Spray atau Gengigel Spray untuk masalah ulser anak anda. Kebiasaannya selepas 30 minit semburan, anak akan mula rasa lega dan sudah boleh menerima makanan dan minuman seperti biasa.
HFMD sangat mudah menular dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu sangat penting agar kita menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Manakala, anak-anak yang telah dijangkiti HFMD, ibu bapa perlu PRIHATIN UNTUK KUARANTINKAN ANAK agar virus ini tidak menular kepada orang lain.
Walaupun pelbagai petua yang dikongsikan untuk merawat HFMD, tetapi adalah sangat penting untuk anda berbincang dahulu dengan pengamal perubatan yang mendiagnosis anak anda agar ubat atau rawatan yang anda berikan kepada anak anda selamat dan sesuai.
Bagaimana dengan artikel berkenaan HFMD yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?
Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu: