Dalam hidup berumah tangga, kita tidak akan lari dari badai dan ujian dalam kehidupan ini. Sedangkan lidah dan gigi pun boleh tergigit, inikan pula suami dan isteri. Artikel ini khusus ditulis buat suami bagaimana untuk memahami dan menangani hati isteri yang terguris.

Halusnya hati seorang wanita bergelar isteri

hati isteri yang terguris

Wanita dan isteri adalah insan yang dikurniakan jiwa sensitif. Biarpun mereka mampu untuk menanggung lelahnya mengandung, menahan sakitnya beranak, menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu, dan menjadi tulang belakang pada suami, seorang wanita itu tetap insan biasa yang sangat lembut jiwanya.

Itulah yang istimewanya Allah kurniakan bagi seorang wanita. Luarannya tampak tidak ambil peduli, namun dalam diamnya dia mahukan perhatian seorang suami.

Oleh kerana itulah, seorang lelaki khususnya suami perlu memahami hati wanita lebih-lebih dalam hidup berumah tangga. Bila isteri merajuk dan mahu dimanja, sebenarnya mereka mahukan belaian suami.

Suami yang tidak memahami akan membiarkan begitu sahaja. Jaga-jaga, walaupun hanya sekali hati isteri yang terguris oleh ulah suami, ingatannya itu akan kekal selamanya.

Jangan biarkan isteri merajuk, pujuk dan santunilah

Ramai lelaki pandang enteng pada masalah “pujuk-memujuk”. Apatah lagi pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga, bak kata orang sudah pudar “harumnya”.

Mereka ini lebih cenderung untuk membiarkan begitu sahaja pasangan berlarutan dengan kemahuan sendiri.

Para suami biasanya menganggap bahawa memujuk isteri bukanlah perkara yang besar untuk difikirkan. Inilah silapnya yang berlaku.

Hati isteri ada tarikh luputnya. Dengan tindakan kita membiarkan isteri tanpa dipujuk, dalam tidak sedar kita akan membuka lebih banyak masalah yang berpunca kepada penceraian.

Mulanya dari yang kecil sedikit, demi sedikit menjadi besar sehingga tidak mampu lagi untuk kita selamatkan rumah tangga tersebut.

Cara berkesan untuk suami agar menjaga hati isteri

Menurut perkongsian yang dibuat oleh pendakwah bebas, Imam Muda Hassan, para suami mempunyai beberapa tips berguna untuk menjaga hati isteri dari terguris. Berikut ini adalah cara-caranya:

1. Jangan samakan hati suami dengan isteri

Hati lelaki tidak sama dengan perempuan. Orang lelaki lebih cepat untuk memaafkan berbanding wanita disebabkan lelaki lebih banyak rasional berbanding emosi.

Orang perempuan pula lebih banyak melayani emosi kerana itulah fitrah yang Allah jadikan buat mereka. Justeru itu, jangan marahkan mereka sekiranya bersikap sedemikian tetapi cubalah untuk memahami.

2. Jangan biarkan isteri berlarutan dengan emosinya

Apabila isteri merajuk, jangan biarkan isteri tersadai dengan emosinya bersendirian. Kita sebagai suami mulakan langkah pertama untuk memulihkan keadaan.

Cubalah bertindak atas rasa sayang dan tanggungjawab kerana hanya dengan rasa itu keegoan kita akan ditepis sejauh mungkin.

Tidak rugi sama sekali kita membelai, memujuk, memeluk, dan mengucapkan kata-kata maaf kepada seorang isteri.

Bukan sahaja ia dapat mengembirakan hati isteri, malah bertambah lagi keharmonian dan keberkatan dalam rumah tangga

Adab-adab suami kepada isteri yang perlu suami tahu

hati isteri yang terguris

Imam Al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitabnya yang bertajuk Al-Adab fid Din berkenaan dengan adab suami kepada isterinya.

Antara adab-adabnya itu adalah seperti:

  • berinteraksi dengan lemah lembut
  • bertutur dengan kata-kata yang baik
  • menunjukkan cinta dan kasih sayang
  • tidak mencari dan mempersoalkan kesalahan pasangan
  • memaafkan isteri jika ada membuat salah
  • menjaga harta isteri
  • tidak berdebat, memberi nafkah dan membiayainya dengan tidak kedekut
  • memuliakan keluarga isteri
  • sentiasa memberi janji yang baik
  • selalu bersemangat dengan pasangannya

Tambahan lagi, dalam sebuah hadis ada juga menerangkan tentang berakhlak baik kepada seorang isteri:

     عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ : أَكْمَل الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ

Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang mukmin yang paling baik akhlaknya dan sebaik-sebaik kamu adalah orang yang paling baik kepada isterinya” (Hadis Riwayat. At-Tirmidzi, 3/466;  Ahmad, 2/250 dan Ibnu Hibban, 9/483. Hadis dinyatakan sahih oleh Imam at-Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Syaikh al-Albani.)

Contohi Rasulullah sebagai model suami idaman dan romantik

Rasulullah SAW yang menjadi pemimpin umat Islam dan kekasih Allah pun tidak lari dari ujian dalam rumah tangga. Namun, Baginda tidak membabitkan emosi dalam setiap menangani ujian tersebut.

Ketika marah kepada Aisyah, Nabi SAW menyuruh isterinya menutup mata hingga berasa cemas dan khuatir dimarahi, tetapi Baginda terus memeluknya sambil menyatakan marah itu hilang setelah memeluknya.

Kesimpulannya, suami dan isteri perlu sentiasa berusaha mendalami ilmu dalam rumah tangga untuk supaya setiap konflik rumah tangga dapat diselesaikan dengan aman dan damai.

Jauhi sikap ego terhadap pasangan, dan sebaliknya tanamlah sifat pemaaf, bersangak baik dan sentiasa bermusahabah diri kepada Allah SWT.

Diharapkan tips dan panduan yang disampaikan kali ini mengenai isu hati isteri yang terguris dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Selain dari info ini, anda juga boleh baca artikel kami berkenaan dengan hubungan suami isteri yang lain seperti:

Rujukan:

  1. Facebook Syahr Musafir
  2. Belai dan Peluk Isteri Dapat Harmonikan Rumah Tangga. Wacana
  3. Elak “Silent Treatment” Dalam Rumah Tangga, Komunikasi Suami Isteri Amat Penting. Wedpedia

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.