Bengkung ialah kain yang dililit kemas dari bahagian abdomen badan hingga ke pinggul. Amalan pemakaian bengkung ini merupakan salah satu amalan wajib bagi wanita berpantang dalam masyarakat Melayu. Menurut amalan orang terdahulu, pemakaian bengkung bukan sekadar untuk membantu ibu berpantang mendapatkan semula bentuk badan yang ramping selepas hamil dan bersalin, tetapi juga baik untuk proses pemulihan ketika tempoh berpantang.
Jika dahulu bengkung dililit menggunakan tali kain, tapi bengkung kini leboh moden dan terdapat pelbagai jenis. Ada yang ikat menggunakan tali, menggunakan cangkuk atau pelekat velcro. Jadi ia lebih cepat dan mudah untuk dipakai atau ditanggalkan.
Kain lebar sepanjang 15 meter. Bengkung jenis ini adalah bengkung tradisional yang diamalkan oleh orang tua dahulu. Ia memerlukan kemahiran untuk melilit. Namun bengkung jenis ini lebih kejab, kemas dan cepat mengembalikan bentuk badan berbanding bengkung lain. Tetapi, sayangnya, bengkung ini susah untuk dipakai dan dibuka semula.
Kain lebar yang diikat dengan tali secara berselang-seli (seakan-akan zig-zag). Boleh dipakai seperti bengkung jawa. Bengkung bersalin jenis ini lebih mudah untuk dibuka. Hanya longgarkan ikatan zig-zag. Terdapat 2 jenis bengkung zig-zag, iaitu zig-zag 1 tali dan zig-zag 2 tali, tetapi, bagi anda yang bertubuh kecil, zig-zag 1 tali lebih sesuai kerana ikatannya akan jadi lebih kejab dan kemas.
Bengkung barut sama seperti bengkung bersalin yang dipakai oleh bayi baru lahir. Bengkung ini hadir dengan banyak tali di bahagian kiri dan kanan fabrik. Tali perlu diikat dengan ketat. Ia boleh dipakai sendiri dan mudah untuk dibuka, Cuma sedikit renyah kerana terlalu banyak tali.
Bengkung moden adalah inovasi serta gabungan konsep bengkung dan korset (ciptaan Barat). Ia seakan korset dengan cangkuk, zip, zap-on dan tiub. Lebih mudah untuk dipakai dan sangat sesuai untuk yang bersalin secara ceaser. Bengkung moden bersifat praktikal dan mudah untuk dipakai serta dibuka semula.
Menurut kepercayaan tradisional, pemakaian bengkung bagi ibu selepas bersalin bertujuan:
1) Mendapatkan bentuk badan yang ramping;
2) Mengelakkan masalah perut buncit;
3) Membantu menghilangkan sakit belakang;
4) Menguatkan kembali kedudukan asal tulang belakang;
5) Membakar lemak dan selulit;
6) Menggalakkan postur badan yang lebih baik;
7) Mengurangkan rasa lapar.
Namun begitu, sejauh mana faedah berbengkung ini disokong oleh fakta sains, masih belum dapat disahkan. Memandangkan pemakaian bengkung ini adalah amalan tradisional wanita Melayu, jadi, dalam artikel ini, kami bawakan pendapat daripada Barat pula tentang pemakaian bengkung bagi wanita selepas bersalin.
Menurut Dr Sherry Ross, seorang Pakar Ginekologi dan Obstetrik dan Kesihatan Wanita, tujuan utama bengkung adalah untuk menyokong dan menyelaraskan abdomen anda sehingga organ-organ dan otot-otot di abdomen anda boleh berfungsi secara normal semula. Bengkung juga boleh membantu kulit-kulit yang longgar selepas bersalin agar mengecut semula. Malah bengkung juga memberikan mampatan ringan untuk membantu mengecutkan uterus anda. Tambahan pula, jika anda bersalin secara pembedahan caesarean, bengkung boleh menyerap tekanan dari pembedahan tersebut semasa tempoh penyembuhan.
Manakala menurut Laura Arndt, seorang spesialis dalam senaman bagi pra dan pasca kehamilan, dan juga CEO Matriarc, bengkung juga boleh membantu mengurangkan kesakitan, meningkatkan mobiliti, menstabilkan lantai pelvik anda, dan juga membantu menyembuhkan diastis recti (keadaan pasca kehamilan yang biasa, di mana otot-otot perut anda tetap terpisah).
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Physiotherapy Canada, bengkung boleh membantu wanita untuk mudah berjalan selepas bersalin. Manakala, menurut kajian kedua yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Ginekologi dan Obstetrik, bengkung juga dapat membantu wanita mengurangkan kesakitan, penderitaan dan pendarahan selepas pembedahan caesarean.
Walau bagaimanapun, menurut Dr Sherry Rose, secara saintifiknya, bengkung tidak membantu penurunan berat badan dan mengawal pengekalan air dalam badan seperti yang sering didakwa oleh kebanyakan ibu. Namun begitu, disebabkan bengkung membantu mengurangkan kesakitan supaya ibu-ibu selepas bersalin boleh kembali aktif dan sihat, maka ia boleh membantu mengurangkan berat badan dengan cara itu secara tidak langsung.
Anda boleh mula memakai bengkung sejurus selepas bersalin jika doktor mengesahkan bahawa anda tiada masalah untuk memakai bengkung. Namun, bagi anda yang bersalin secara pembedahan caesarean, seeloknya tunggu beberapa minggu baru mula memakai bengkung. Namun begitu, anda tidak boleh memakai bengkung terlalu ketat kerana terlalu banyak mampatan boleh melambatkan penyembuhan. Anda sepatutnya dapat bernafas dengan selesa dan tidak berasa terhad dalam pergerakan anda ketika memakai bengkung.
Mengikut amalan tradisional Melayu, pemakaian bengkung mempunyai aturan tersendiri. Bengkung hanya boleh dipakai dalam masa 5 jam sehari, jangan sesekali pakai lebih dari 8 jam atau 24 jam. Dan tidak digalakkan memakai bengkung sewaktu tidur.
Selain itu, bagi wanita yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan, terutamanya pada luka pembedahan caesarean, atau mempunyai komplikasi kehamilan seperti preeklampsia atau anmionitis harus mengelakkan berbengkung.
Amalan berbengkung bagi wanita selepas bersalin banyak faedahnya. Bukan sekadar untuk mendapatkan bentuk badan yang ramping, tetapi juga membantu proses penyembuhan ibu selepas bersalin. Namun begitu, anda harus memakai bengkung dengan cara yang betul. Bimbang sekiranya tersalah pakai, ia akan memudharatkan.
Rujukan: